Jumaat, 14 Februari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Kerajaan bantu mangsa kebakaran

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

ASIAH Md. Ariff (kiri) dan Hahasrin Hashim (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada mangsa kebakaran selepas menyampaikan bantuan di Balai Raya, Pekan Nanas, Pontian, Johor, kelmarin. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN

PONTIAN 13 Feb. - Kerajaan negeri akan membantu 59 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Wak Musa, Pekan Nanas, di sini Selasa lalu supaya kebajikan mereka terjamin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md. Ariff berkata, bantuan tersebut melibatkan sumbangan awal, sederhana dan jangka panjang dengan harapan mereka dapat ditempatkan di kawasan perumahan yang wajar.

"Bantuan awal kita beri RM40 bagi setiap orang iaitu jika keluarga terbabit mempunyai lima orang, maka mereka akan menerima RM200 di samping bungkusan berupa barangan keperluan harian.

"Bantuan jangka sederhana pula selain makan minum, mangsa yang kini ditempatkan di Balai Raya Pekan Nanas akan menerima barangan keperluan harian," katanya selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi Selasa lalu, sebanyak 22 buah rumah, lima buah motosikal dan sebuah van musnah dalam kebakaran itu.

Asiah berkata, bantuan jangka panjang pula setiap keluarga akan menerima bantuan wang tidak kurang RM5,000 dan wang tersebut akan diserahkan dalam tempoh dua minggu lagi.

Sementara itu, Pemuda UMNO negeri dengan kerjasama Sekretariat Bertindak Sukarelawan Pemuda Johor serta agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan memberikan bantuan berdasarkan keperluan mangsa.

Ketuanya, Hahasrin Hashim memberitahu, pihaknya akan menghantar sukarelawan untuk membantu menguruskan keperluan harian mangsa sepanjang mereka menetap di balai raya tersebut.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara turut memaklumkan pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latif Bandi untuk menyediakan rumah transit kepada mangsa.

MDP cipta sejarah lantik wanita jadi Ketua Whip

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

NORZITA A. Kahar (tengah) mengetuai majlis angkat sumpah sebagai Ahli Majlis, Majlis Daerah Pontian bagi tempoh 1 Februari 2014 hingga 31 Disember 2015 di Dewan Persidangan MDP di Pontian, Johor, semalam. - UTUSAN/MUHD. ZIKRI

PONTIAN 13 Feb. - Majlis Daerah Pontian (MDP) mencatat sejarah tersendiri apabila seorang wanita dipilih sebagai Ketua Whip yang baharu bagi tempoh 1 Februari 2014 hingga 31 Disember 2015.

Pemilihan seorang peguam, Norzita A. Kahar, 40, bagi menggantikan Ketua Whip sebelum ini, Abd. Malik Ibrahim merupakan yang pertama sejak MDP ditubuhkan pada 1976.

Ketika ditemui selepas majlis angkat sumpah Ahli Majlis MDP di hadapan Yang Dipertua MDP, Miswan Yunos, Norzita melahirkan perasaan terharu kerana diberikan tanggungjawab bagi mengetuai Ahli Majlis.

Beliau berharap akan mendapat kerjasama daripada ahli majlis serta ketua-ketua jabatan bagi merealisasikan peranan mereka untuk sama-sama menjayakan agenda serta perancangan MDP.

Dalam masa yang sama, beliau berjanji untuk menjaga suara pembayar cukai serta menyelesaikan masalah berbangkit dengan bijaksana mengikut peraturan sedia ada.

"Dengan kepercayaan yang diberikan ini, saya akan berusaha meningkatkan prestasi serta peranan ahli majlis sebagai penghubung antara MDP dengan pembayar cukai supaya mereka mendapat perkhidmatan yang memuaskan," katanya yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Pontian.

Selain Norzita, turut mengangkat sumpah ialah Zarina Mohd. Bain, Noor Shuhada Sulaiman, Nasrihat Turiman, Mohd. Don Abdullah, G.D.T. Sarvendaraja, Ang Lin In, Khalid Ibrahim, Hairulanuar Tukijo, L. Krishnanan, Mohd. Helmi Buang, Mohd. Nasrol Hassan Md. Amin, Roselee Mohd. Tahir dan Md. Israk Abdullah.

Sembilan tempat yang sepatutnya diisi oleh wakil MCA dari Bahagian Tanjung Piai dan Pontian dijangka akan dipenuhi selewat-lewatnya bulan depan.

Sementara itu, Miswan Yunos dalam ucapannya menyasarkan MDP mampu mengutip hasil cukai sebanyak RM20 juta pada tahun ini berbanding RM19 juta pada tahun lalu.

"Selain kutipan cukai pintu sama ada kediaman dan industri, hasil turut disumbangkan oleh pembangunan industri yang dijalankan di kawasan pembangunan Tanjung Bin, Serkat dan Pekan Nanas," katanya sambil berharap ahli majlis yang baharu dapat menyumbang idea dan membantu menjayakan semua agenda pembangunan yang dirancang pihaknya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved