Jumaat, 14 Februari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Dakwa tercicir bantuan banjir

Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

KUANTAN 14 Feb. - Mangsa banjir di daerah ini yang tidak disenarai sebagai penerima bantuan RM750 yang mula diagihkan sejak tiga hari lalu diminta segera memaklumkan perkara tersebut kepada pihak kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku keciciran kerana terdapat 18,000 keluarga terlibat dengan bencana banjir baru-baru ini di Kuantan.

"Saya tidak terkejut jika timbul beberapa masalah kerana membabitkan jumlah yang ramai iaitu lebih 20,000 mangsa banjir di negeri ini.

"Bagaimanapun, saya mohon mereka bersabar dan segera memaklumkan perkara tersebut kepada pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan," katanya selepas Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula Hotel Vistana di sini hari ini.

Adnan mengulas keluhan sebahagian kecil mangsa banjir yang mendakwa tidak disenaraikan sebagai penerima wang bantuan tersebut.

Menurut Adnan, bancian terhadap mangsa banjir akan diteruskan untuk memastikan tiada masalah pertindihan maklumat dan permohonan palsu.

"Kita akui sukar untuk menentukan mangsa banjir melainkan kawasan-kawasan yang dilanda banjir seperti Sungai Isap yang tidak perlu dinilai kerana sememangnya semua layak mendapat bantuan.

"Ada rumah yang terlibat banjir tetapi pemiliknya tidak tinggal di situ, jadi kita perlu kenal pasti semua itu dan saya berharap rakyat bersabar," jelasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Adnan memberitahu, Pahang tidak terjejas atau mengalami masalah bekalan air ekoran kemarau yang melanda beberapa negeri ketika ini.

Sukan akrabkan pegawai kerajaan, rakyat - Tengku Abdullah

Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST

TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah (kanan) diperkenalkan kepada peserta luar negara yang menyertai Program Piala Tengku Amir - 45 Enduro Challenge 2014 di Tasik Burung Mandi, Kemahang Hilir di Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 14 Feb. - Penganjuran aktiviti sukan dan rekreasi mampu merapatkan hubungan antara pemimpin, pegawai kerajaan dan rakyat kerana semua pihak perlu berganding bahu dari segi tenaga dan idea bagi menjayakannya.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, pihak istana sendiri kerap bersama-sama rakyat dalam acara sukan yang dianjurkan kerana dengan cara itu mampu menzahirkan hubungan erat, di samping dapat memajukan sukan berkenaan.

"Penganjuran setiap kejohanan sukan perlu melibatkan gandingan idea serta tenaga penduduk, agensi kerajaan, pemimpin setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ini mampu membentuk teladan yang baik.

''Selain itu, aktiviti sukan termasuk sukan ekstrem seperti motocross mampu mengukuhkan pembentukan nilai jati diri dan disiplin generasi muda," titah baginda semasa melancarkan Kejohanan Motocross Piala Tengku Amir - 45 Enduro Challenge 2014 di Tasik Burung Mandi, Kemahang Hilir, Benta, dekat sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ir. Mohd Soffi Abdul Razak; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd. Johari Hussain dan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Seramai 400 peserta dari 10 negara menyertai kejohanan tersebut melibatkan lima kategori termasuk penyertaan anakanda Tengku Abdullah, Tengku Amir Naseer yang merupakan penaung Kelab Motor Sport Tasik Burung Mandi.

Tengku Abdullah bertitah, acara sukan motocross ini diharap mampu memperkenalkan negeri ini dalam kalangan pelancongan termasuk pelumba antarabangsa.

Sehubungan itu, baginda mahu penduduk dan pengunjung ke litar berkenaan supaya menjaga kebersihan dan kemudahan yang ada agar Taman Tasik Burung Mandi (TTBM) sentiasa menjadi tumpuan pelawat dan peminat sukan ekstrem berkenaan.

Sementara itu, Mohd. Johari berkata, litar TTBM di Kampung Kemahang Hilir dekat sini bakal

dijadikan lokasi tetap kejohanan motosikal lasak dan sukan ekstrem lain di negeri ini.

"Taman ini terletak di lokasi strategik kerana berdekatan jalan ke Raub, Benta dan Lipis dan ini memudahkan penganjuran termasuk yang bertaraf antarabangsa.

"Kerajaan negeri juga sentiasa memberi galakan terhadap penganjuran sukan ekstrem membabitkan pertandingan motosikal lasak yang boleh menarik minat belia tempatan," ujarnya.

Pada kejohanan itu, pelumba Johor, Muhammad Khairi Zakaria muncul juara kejohanan terbuka dan membawa pulang hadiah bernilai RM3,000, trofi kejohanan berserta jersi.

Pemuda, Puteri UMNO bantu 60 murid miskin

Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST

MOHD. Farid Mohd. Noor (empat dari kiri) bersama-sama ahli Pemuda UMNO Lipis menyampaikan beg sekolah kepada dua murid miskin di Kampung Budu, Benta, Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 14 Feb. - Seramai 60 orang murid miskin di enam buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta menerima beg sekolah yang disumbangkan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lipis menerusi Program Membara di Benta, dekat sini semalam.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ketua Pemuda UMNO Lipis, Mohd. Farid Mohd. Noor dan Naib Ketua, Afizal Ahmad Pahmin menerusi program turun padang di Kampung Bukit Belau, Kampung Budu dan Kampung Chat.

Sukarelawan Puteri UMNO Lipis yang diketuai oleh ketuanya, Wan Normarina Wan Kamaruzzaman juga terbabit turun padang menyampaikan sumbangan yang sama di Kampung Tualang Padang, Kampung Peruang dan Kampung Melayu, Benta.

Bercakap kepada pemberita, Mohd. Farid berkata, sumbangan berkenaan antara sebahagian daripada 200 beg sekolah yang diperuntukkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Pusat kepada Parlimen Lipis untuk diagihkan kepada murid miskin yang telah dikenal pasti di setiap DUN di sini.

"Program turun padang ke kediaman murid miskin untuk sumbangan 200 beg sekolah di tiga DUN bermula pada awal Januari tahun ini secara berperingkat, membabitkan penyertaan Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad di kawasan Padang Tengku.

"Sumbangan ini secara tidak langsung dapat meringankan beban ibu bapa yang berpendapatan rendah menyediakan keperluan peralatan persekolahan, di samping memenuhi manifestasi menjaga kebajikan penduduk miskin selari dengan perjuangan UMNO," katanya kepada pemberita di Kampung Budu dekat sini.

Menurut Mohd. Farid, sumbangan itu diharap dapat menceriakan murid miskin berkenaan dan lebih bermotivasi serta bersungguh-sungguh belajar serta cintakan sekolah apabila menerima peralatan baharu.

Mengulas lanjut mengenai program turun padang, Normarina berkata, Puteri UMNO turut terpanggil dan prihatin untuk melaksanakan program membantu murid miskin, di samping menyelami masalah kebajikan keluarga berkenaan.

"Program ini juga dapat mengeratkan hubungan pemimpin setempat dengan penduduk berkenaan, khususnya boleh menyelesaikan masalah secara berperingkat agar mereka selesa menjalani kehidupan harian," ujarnya.

Tambahnya, Puteri UMNO bersama-sama Pemuda serta sukarelawan UMNO Bahagian Lipis juga turun padang membantu penduduk luar bandar, khususnya ketika menghadapi musibah banjir tahun lepas dan menjayakan khidmat masyarakat setempat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved