Jumaat, 14 Februari 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Elak miskin selepas bersara

Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

Abd. Rahim Abd. Rahman

TERDAPAT beberapa laporan sebelum ini yang menyatakan pesara di Malaysia memerlukan simpanan melebihi RM1 juta sekiranya mahu menjalani kehidupan selesa dan mengekalkan corak berbelanja yang sama sebelum bersara.

Sekiranya jumlah simpanan kurang daripada itu, mereka dikatakan hanya akan menjalani kehidupan 'cukup-cukup makan'.

Hakikatnya mampukah kebanyakan kita menyimpan sebanyak itu dalam situasi kenaikan kos barangan dan perkhidmatan sekarang sehingga menyebabkan baki gaji yang boleh disimpan setiap bulan semakin mengecil?

Jika kita hanya mengharapkan caruman terkumpul dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menjalani hidup selesa selepas bersara, ia sebenarnya hanyalah satu mimpi.

Perangkaan KWSP menunjukkan sebahagian besar pencarum mempunyai simpanan kurang daripada RM100,000 dan jumlah yang terkumpul itu sudah pasti tidak akan mencecah sehingga RM1 juta selepas mereka bersara.

Pada 2011, hanya 11,174 pencarum mempunyai sekurang-kurangnya RM1 juta dalam akaun KWSP dan meningkat kepada 15,783 orang pada 2012, tetapi jumlah itu masih lagi kecil.

Mengulas perkara itu, Perancang Kewangan Berlesen daripada Iltizam Wealth Management, Abd. Rahim Abd. Rahman berkata, kaedah terbaik untuk mengelak jatuh miskin selepas bersara adalah dengan merancang kewangan lebih awal.

"Saya hendak sampaikan mesej ini kepada bumiputera, sebab saya dapati sudah ramai golongan ini di Malaysia yang pandai cari duit dan ramai orang Melayu kita yang kaya.

"Kalau kita tengok kereta besar sekarang di atas jalan raya, bukan orang Cina sahaja, tetapi persoalannya adakah dengan membelanjakan semua wang untuk hidup mewah boleh dianggap satu pengurusan kewangan yang betul?

"Mereka ini tidak mempedulikan untuk membeli insurans dan membuat simpanan yang mencukupi. Apa yang akan berlaku jika tiba-tiba mereka sakit kronik atau kemalangan sehingga tidak boleh bekerja?

"Salah satu cara untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan melantik perancang kewangan yang akan memberikan garis panduan menyeluruh bagaimana untuk memastikan harta yang dimiliki cukup untuk menampung perbelanjaan seseorang itu sehingga beliau meninggal dunia," katanya.

Jelas beliau, perancang kewangan berbeza jika dibandingkan dengan ejen insurans, pelaburan unit amanah, pelaburan emas dan remisier yang hanya arif dalam bidang masing-masing.

"Sebaliknya perancang kewangan mempunyai kepakaran menyeluruh yang merangkumi semua pengetahuan ejen terbabit dan akan menggunakan mana-mana kaedah yang paling sesuai bagi membantu pelanggan," katanya.

Menurutnya, sehingga 2012 terdapat 557 perancang kewangan yang telah diberi lesen oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menasihati orang ramai cara-cara menguruskan kewangan mereka.

"Dengan kadar upah sebanyak RM3,000 yang boleh dibayar pelanggan secara berperingkat-peringkat, perancang kewangan akan menilai wang simpanan dan aset lain pelanggan.

"Mereka akan menyediakan dokumen bertulis yang dinamakan Pelan Kewangan Berasaskan Matlamat Hidup dengan menggunakan perisian komputer khas bagi memudahkan pelanggan membuat perancangan.

"Kebiasaannya pelan berkenaan akan dapat disiapkan dan diserahkan kepada pelanggan dalam tempoh antara tiga bulan sehingga setahun.

"Semua perancang kewangan berlesen perlu mematuhi ikrar untuk menyimpan rahsia pelanggan dan tidak mendedahkannya kepada pihak lain," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, nasihat menyeluruh oleh perancang kewangan akan melibatkan empat perkara iaitu pengumpulan, perlindungan, pengekalan dan pengagihan kekayaan.

Beliau berkata, perkara pertama iaitu pengumpulan kekayaan merujuk kepada cara-cara bagaimana seseorang itu boleh melabur bagi menambah duit mereka.

"Perkara kedua yang melibatkan perlindungan kekayaan adalah mengenai cara-cara memastikan pendapatan tetap setiap bulan sentiasa berterusan walaupun selepas seseorang itu meninggal dunia atau tidak boleh bekerja kerana kemalangan.

"Pendapatan itu akan tetap ada sekiranya kita mengikut nasihat perancang kewangan yang akan mengesyorkan kepada kita supaya membeli insurans dan takaful," ujarnya.

Menurut beliau, perkara ketiga iaitu pengekalan kekayaan merujuk langkah-langkah bagi memastikan wang dan hartanah sedia ada tidak menyusut atau hilang.

"Perancang kewangan akan mencadangkan wang dan hartanah ditadbirkan oleh instrumen amanah bagi memastikan ia tidak dibelanjakan dengan boros dan bagi menghalang pemiutang merampasnya.

"Kaedah lain adalah menerusi instrumen surat wasiat bagi memastikan ia ditadbirkan oleh pihak-pihak yang boleh dipercayai tidak akan menghabiskan wang dan harta terbabit," ujarnya.

Katanya, perkara keempat iaitu pengagihan kekayaan akan membolehkan perancang kewangan menjelaskan kepada pelanggan proses-proses yang perlu dibuat untuk mengagih hartanya setelah meninggal dunia.

"Pengetahuan ini penting bagi membolehkan pelanggan menyediakan segala dokumen yang diperlukan termasuk surat wasiat ketika beliau masih hidup.

"Ini akan memudahkan waris mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk mentadbir harta tersebut selepas beliau mati dan seterusnya membuat pengagihan.

"Jika perkara ini tidak diurus dengan dokumen yang betul, pengagihan harta kepada waris akan menjadi lambat dan kemungkinan akan tergendala," katanya yang boleh dihubungi melalui e-mel abdrahim@ iltizamwealth.com.

Pembangkang hanya tahu mencemuh

Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST

Oleh Zulkiflee Bakar

Anggota penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengeluarkan saman kepada salah seorang peniaga yang tidak meletakkan tanda harga sewaktu mengadakan Ops Harga 2.0 di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu, baru-baru ini. - BERNAMA

APAKAH kita masih ingat, apabila pakatan pembangkang memulakan kempen awal bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, mereka menjadikan isu kenaikan harga barang dan kos hidup sebagai 'umpan' untuk meracuni pengundi di kawasan tersebut.

Bagaimanapun tindakan pembangkang itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sejak awal tahun lagi, mereka sememangnya berasa gembira dengan apa yang berlaku disebabkan ia boleh dijadikan modal politik.

Pakatan pembangkang langsung tidak mengambil kira usaha berterusan kerajaan dari semasa ke semasa khususnya melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi menangani isu itu.

Selain kawalan harga ke atas barang-barang tertentu, kerajaan juga menggunakan pelbagai pendekatan bagi mengurangkan beban rakyat. KPDNKK mengadakan kerjasama dengan beberapa pasar raya besar bagi membolehkan rakyat mendapat barang dengan harga yang rendah manakala Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula mewujudkan kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan FAMA bagi memastikan rakyat memperoleh ikan dan sayur-sayuran segar pada harga berpatutan.

Tidak cukup dengan itu, dari semasa ke semasa, kerajaan melalui KPDNKK bukan sahaja memantau harga barangan malahan mencari pelbagai pendekatan bagi memastikan rakyat tidak berasa tertekan dengan kenaikan harga barang.

Di KPDNKK sebuah war room diwujudkan bagi membolehkan Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek dan pegawai-pegawai mengadakan mesyuarat setiap hari untuk membincangkan isu harga barang ini. Laporan diterima dari seluruh negara dan tindakan segera dilakukan.

Selain itu, bermula daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hinggalah kepada semua menteri Kabinet, mereka turun padang melawat pasar-pasar untuk meninjau harga barang.

Tetapi persoalannya, apa yang pembangkang lakukan dalam usaha bersama-sama menangani masalah tersebut termasuklah juga soal kos hidup? Apakah mereka pernah mengemukakan apa-apa cadangan termasuk menyerahkan memorandum seperti mana kerajinan mereka menghantar memorandum yang bermotif politik kepada pihak-pihak tertentu? Tidak ada. Seperti mana kata Muhyiddin, mereka hanya tahu mencemuh dan menjadikan isu ini sebagai modal politik.

Adalah sesuatu yang malang, apabila Malaysia mempunyai pembangkang yang suka melihat segala-gala dari sudut politik dan bukannya bersedia untuk membantu kerajaan. Mereka lebih ghairah menuduh harga barang naik kerana kelemahan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), biar pun mereka memahami harga barang ditentukan oleh faktor permintaan dan bekalan.

Namun pembangkang sengaja menyembunyikan fakta tersebut kerana dalam fikiran mereka, meracuni fikiran rakyat bagi mendapat kuasa politik adalah lebih penting daripada bersama-sama membantu mengurangkan beban rakyat.

Seperkara lagi, cuba bertanya apakah selama ini kita mendengar pembangkang memuji langkah yang dilakukan oleh kerajaan bagi menangani kos sara hidup rakyat termasuklah terbaru akan melancarkan program MyHome yang membolehkan golongan berpendapatan RM3,000 ke bawah memiliki rumah kos rendah dengan subsidi diberikan oleh kerajaan mencecah RM30,000? Sudah pasti tidak.

Bagi pembangkang, jika langkah dilakukan oleh kerajaan menguntungkan rakyat, ia seolah-olah 'petaka' kerana ia akan menghalang mereka untuk mempengaruhi agar membenci kerajaan BN. Begitulah rendahnya budaya politik pembangkang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved