Ahad, 2 Februari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Bantuan RM100 bantu persediaan hadapi UPSR

Posted: 01 Feb 2014 10:59 AM PST

MELAKA 1 Feb. - Bantuan Awal Persekolahan 2014 diterima daripada kerajaan akan digunakan sebaik-baiknya termasuk sebagai persediaan awal untuk membeli bahan rujukan bagi menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Rata-rata murid yang ditemui berkata, bantuan diterima setiap tahun itu banyak membantu mereka membeli bahan keperluan sekolah.

Muhammad Hamizan Mohd. Nizam, 12, berkata, bantuan itu juga dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung ibu bapanya.

"Untuk menghadapi UPSR tahun ini sudah pasti saya perlukan banyak buku rujukan untuk membuat ulang kaji pelajaran.

"Syukur adanya bantuan daripada kerajaan ini yang secara tidak langsung telah memberi motivasi buat saya untuk berusaha bagi memperoleh keputusan memberangsangkan kelak," katanya.

Dia ditemui dalam majlis penyerahan bantuan RM100 oleh Ketua Menteri, Datuk Idris Haron kepada 160 murid sekolah rendah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Japerun Sungai Udang, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Muhammad Haiqal Mohd. Hashim, 12, berkata, kebimbangan untuk meminta wang daripada ibu bapa bagi membeli buku rujukan tidak lagi menghantuinya dengan adanya bantuan tersebut.

"Dulu saya susah nak beli buku rujukan kerana tiada duit dan saya juga tidak sampai hati nak minta duit dari ibu bapa.

"Alhamdulillah, saya layak menerima bantuan ini dan saya akan gunakan untuk membeli buku rujukan serta kelengkapan bagi menghadapi UPSR nanti," katanya.

Bagi Muhammad Rakin Aiman Aziman, 12, pula, bantuan yang digunakan untuk membeli buku-buku rujukan sebagai bahan sokongan setiap kali menghadapi peperiksaan telah membantu dia meningkatkan prestasi dalam pelajaran.

"Dengan wang bantuan yang saya dapat sejak beberapa tahun ini, sedikit sebanyak membantu saya memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan kerana boleh membeli buku-buku rujukan diperlukan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Aiman Hakim Mohd. Asrul Afendi, 12, berharap bantuan tersebut dapat dinaikkan bagi membolehkan murid-murid sekolah membeli lebih banyak bahan rujukan.

Kebakaran semak meningkat

Posted: 01 Feb 2014 10:59 AM PST

BEBERAPA kenderaan bergerak perlahan melepasi kepulan asap tebal di Jalan Sungai Ujong berhampiran Taman AST, Seremban kelmarin, ekoran kebakaran lalang yang dipercayai berpunca daripada api colok. - MINGGUAN/ASWAD YAHYA

SEREMBAN 1 Feb. - Kebakaran semak yang berlaku di Taman AST dekat sini tengah hari semalam mengundang suasana cemas di laluan utama kawasan tersebut apabila diliputi asap tebal.

Keadaan itu mengganggu aliran trafik berikutan pemandu yang melalui Jalan Sungai Ujong tersebut terpaksa memperlahankan kenderaan masing-masing bagi mengelakkan kemalangan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Edsamara Omar memberitahu, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam selepas api marak dan tidak dapat dikawal di kawasan lapang di Taman AST tersebut.

"Kejadian api lalang (semak) ini berlaku di beberapa tempat berikutan angin kuat, selain sikap orang ramai yang suka melakukan pembakaran terbuka," katanya.

Menurut Edsamara, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 11.20 pagi sebelum mengarahkan seramai 12 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban serta Seremban 2 ke lokasi kejadian.

Beliau tidak menolak kemungkinan punca kebakaran itu daripada bara colok yang dibakar dekat Taman AST sebelum mengenai lalang kering di kawasan semak berdekatan lalu merebak.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Norazam Khamis ketika ditemui memberitahu, pihaknya menerima 20 panggilan telefon daripada orang ramai berhubung kejadian serupa sejak semalam.

Beliau meminta orang ramai agar tidak melakukan kebakaran terbuka lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas sejak kebelakangan ini.

"Kita menasihati orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka kerana ini akan memburukkan lagi keadaan sekali gus meningkatkan indeks pencemaran udara.

"Pada masa sama, kita juga telah meminta semua anggota untuk bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku kebakaran serupa di tempat-tempat lain," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved