Ahad, 2 Februari 2014

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Sistem PBS ditambah baik

Posted: 02 Feb 2014 10:13 AM PST

Kementerian Pendidikan sedang dalam peringkat pembaikan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan dijadual dapat beroperasi dengan lebih berkesan pada April ini.

Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr. Na'imah Ishak berkata, usaha meningkatkan keberkesanan sistem tersebut sedang giat dijalankan sejak beberapa bulan lalu bagi mengelakkannya menjadi bebanan kepada guru.

Menurutnya, beberapa kaedah termasuk mengganti sistem baharu dan membuat ujian keberkesanan sedang dijalankan sebelum sistem itu dapat berfungsi dengan lebih baik untuk memudahkan guru mengisi data murid.

''Memang sistem PBS menghadapi masalah dan kementerian sedang dalam usaha mengatasi kelemahan ini, ia sedang dalam peringkat pembaikan.

''Pembaikan sistem ini memerlukan sedikit masa lagi sebelum dapat digunakan sepenuhnya pada April kerana yang penting ia dapat membantu guru menjalankan tugas mereka dengan baik dan berkesan tanpa mendatangkan sebarang masalah selepas ini," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya Putrajaya, baru-baru ini.

Pelaporan ini diharap dapat memberi gambaran tentang potensi murid secara holistik dan maklumat tersebut dapat membantu murid membuat keputusan yang lebih tepat dalam pemilihan aliran pendidikan di peringkat menengah atas.

PBS merupakan transformasi sistem pendidikan negara yang sebelum ini berfokuskan peperiksaan diubah kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik namun didakwa membebankan guru ekoran sering tergendala menyebabkan data murid terpaksa dimasukkan pada lewat malam.

Selain itu, Na'imah berkata, berbanding PMR yang mana murid akan diuji pada akhir tingkatan 3 dengan peperiksaan pusat yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan, penilaian PBS melalui empat komponen tersebut ditaksir mengikut pengetahuan, kefahaman, kemahiran dan nilai yang menjurus kepada profil, pencapaian, perkembangan serta penyertaan murid.

''Ibu bapa akan mengetahui tahap pencapaian anak mereka melalui pernyataan keputusan bagi empat komponen PBS yang mengandungi komponen akademik dan bukan akademik yang dikeluarkan pihak sekolah mengikut Band 1 hingga 6.

''Keputusan pernyataan Pentaksiran Pusat (PP) A hingga F iaitu Cemerlang atau belum mencapai tahap minimum masih dikeluarkan oleh pihak Lembaga Peperiksaan manakala Pentaksiran Sekolah, keputusan kokurikulum dan inventori murid dikeluarkan pihak sekolah," jelas Na'imah.

Katanya, beberapa penambahbaikan dilakukan dalam pelaporan PBS antaranya termasuklah semua mata pelajaran murid ditaksir menyeluruh dari tingkatan 1, 2 hingga 3 mengikut Band dan pelaporan dijana oleh sistem.

Penilaian melalui PBS itu merangkumi empat komponen iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Menurutnya, konsep PBS menekankan pentaksiran bersifat holistik bertujuan membangunkan modal insan menyeluruh dengan memiliki ciri profil murid PBS, maklumat tentang kebolehan murid dikumpul lebih komprehensif melalui profil dan pencapaian murid.

Tutor Utusan Malaysia jadi pilihan SJKT Jasin

Posted: 02 Feb 2014 10:13 AM PST

Guru SJKT Jasin menggunakan akhbar pendidikan Tutor Utusan Malaysia dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu di Melaka, baru-baru ini.

Akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor turut menjadi tumpuan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jasin, Melaka dengan melanggan akhbar tersebut untuk dijadikan bahan rujukan pembelajaran murid dan bantuan pengajaran guru sekolah itu.

Guru Besar SJKT Jasin, C. Samupatha berkata, kandungan Tutor yang padat dengan set soalan latih tubi lengkap dan latihan bimbingan menarik minat sekolah itu melanggan Tutor buat pertama kali pada tahun ini.

Menurutnya, sebagai permulaan, sekolah melanggan sebanyak 50 akhbar Tutor UPSR untuk digunakan murid Tahun 5 dan 6 sekolah itu.

''Kita dapati Tutor banyak kelebihan terutama set soalan latih tubinya yang agak lengkap dan menepati keperluan peperiksaan dalam aspek HOTS.

''Kandungan yang terdapat dalam Tutor ini mampu membantu sekolah dalam membuat persediaan murid menghadapi UPSR tahun ini," katanya.

Menurut Samupatha, pencapaian UPSR sekolah itu berada pada tahap terbaik dengan pencapaian GPS sebanyak 1.94 berbanding 2.71 pada tahun 2012.

''Tahun lalu, seramai lapan murid kita mendapat 7A berbanding empat orang tahun sebelumnya, pencapaian ini diraih melalui program-program pembaikan pembelajaran dan motivasi murid yang dijalankan di sekolah sepanjang tahun lalu.

''Antara peningkatan mata pelajaran UPSR tahun lalu termasuklah Pemahaman dan Penulisan Bahasa Malaysia dan kita berharap dengan langganan Tutor ini diharap dapat meningkatkan kualiti pencapaian mata pelajaran terbabit dalam UPSR nanti," katanya.

Sementara itu, guru Bahasa Malaysia, Nafidah Tukimun berkata, kandungan soalan Tutor yang lengkap dengan HOTS dan menepati keperluan format peperiksaan memudahkan guru menjalankan pengajaran dalam bilik darjah.

''Kita sudah menggunakan Tutor ini sejak beberapa minggu lalu dan respons murid amat baik kerana mereka dapat mengikuti pembelajaran menggunakan Tutor.

''Saya berharap penggunaan Tutor sebagai PdP dalam bilik darjah dapat membantu meningkatkan pemahaman murid khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia," katanya.

Selain itu, murid Tahun 5, A. Darshanaa, berkata, dia sudah menggunakan Tutor dalam bilik darjah dan amat tertarik dengan paparan grafik yang terkandung dalam Tutor.

''Saya rasa murid akan seronok dengan Tutor kerana ada juga diselitkan unsur-unsur lucu melalui dialog kartun yang menarik," katanya.

Bagi S. Vibhasheenan Sroe, 12, dia gembira kerana dapat menambah koleksi set soalan mata pelajaran Bahasa Malaysia yang disediakan dalam Tutor.

Hal ini sekali gus, katanya, mencabar dirinya untuk mencuba menjawab soalan yang lebih baik dan tidak lagi hanya bergantung kepada soalan ramalan yang disediakan guru di sekolah atau di Internet.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved