Isnin, 27 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Bantah letak kereta berkupon

Posted: 26 Jan 2014 11:02 AM PST

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
utusanutara@utusan.com.my

LEBIH 200 penduduk Nibong Tebal mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah sistem parkir berkupon yang dilaksanakan kerajaan negeri di Nibong Tebal, Pulau Pinang, kelmarin.

NIBONG TEBAL 26 Jan. - Keputusan Kerajaan DAP Pulau Pinang memperkenalkan sistem letak kereta berkupon di negeri itu yang mempunyai banyak kelemahan terus dibantah termasuk oleh ahli parti itu sendiri.

Terbaru, Pengerusi DAP Cawangan Nibong Tebal, Teoh Seang Hooi mengetuai bantahan aman berhubung pelaksanaan sistem berkenaan di kawasan mereka, di sini semalam.

Lebih menarik, bantahan itu turut disertai Ketua MIC Bahagian Nibong Tebal, R. Kamalraj bersama kira-kira 20 penduduk dan berlangsung selama 30 minit.

Seang Hooi berkata, pelaksanaan sistem berkenaan menimbulkan pelbagai kesulitan kepada orang ramai selain wujud pelbagai kekeliruan.

"Pada Khamis lalu, seramai 36 pemandu yang merupakan penduduk di kawasan ini dikompaun Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kerana gagal mempamerkan kupon letak kereta.

"Ini sesuatu yang pelik kerana Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu-lintas dan Tebatan Banjir Negeri, Chow Kon Yeow sebelum ini menyatakan sistem kupon ini ditangguhkan," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan aman tersebut.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penjaga tempat letak kereta membantah pelaksanaan sistem berkenaan manakala orang ramai pula merungut kerana sukar membeli kupon berkenaan.

Sehubungan itu, Seang Hooi berkata, beliau dan penduduk yang dikenakan kompaun memberi masa seminggu kepada MPSP untuk menjelaskan perkara berkenaan.

Sekiranya tiada sebarang tindakan, beliau sendiri akan berjumpa Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk mengetengahkan isu itu termasuk membawa kompaun yang dikenakan kepada penduduk untuk dibatalkan.

"Saya harap kerajaan negeri lebih prihatin dengan penduduk di sini yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan tidak mampu. Ini pekan 'koboi' sahaja," katanya.

Sementara itu, Kamalraj berkata, di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, kerajaan negeri hanya melaksana sistem letak kereta berbayar di tiga kawasan dari keseluruhan 12 kawasan di daerah itu.

"Pelaksanaan sistem ini hanya akan menambah beban kepada penduduk. Pemandu yang dikompaun Khamis lalu pula menyifatkan ini umpama 'angpau' sempena Tahun Baharu Cina daripada kerajaan negeri," katanya.

Raifal buatan Republik Czech milik pemburu dirampas

Posted: 26 Jan 2014 11:02 AM PST

ZULL Aznam Haron (dua dari kanan) bersama pegawai PGA menunjukkan selaras raifal buatan Republik Czech yang dijumpai oleh Pasukan Batalion 3 PGA Bidor dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, Kangar, kelmarin.

KANGAR 26 Jan. - Polis merampas selaras raifal buatan Republik Czech, dua butir peluru hidup dan teropong daripada dua lelaki disyaki pemburu haram yang melarikan diri ketika terserempak dengan pasukan itu berhampiran Pos Kawalan Simpang 5, Kaki Bukit, Padang Besar dekat sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Zull Aznam Haron berkata, raifal jenis CZ 452-2E ZKM bersama teropong BSA Dear Hunter 3-9X32E itu ditemui ditinggalkan oleh kedua-dua suspek kira-kira pukul 9 pagi.

Beliau berkata, turut ditemui dua beg galas hijau yang mengandungi dua buaian tidur warna hitam celoreng hijau.

"Anggota pasukan Batalion Ketiga Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak melakukan rondaan di kawasan itu sebelum terserempak dua lelaki berusia 40-an berkenaan yang berbaju hitam.

"Kedua-duanya terus melarikan diri ke dalam hutan berbukit di sempadan Malaysia-Thailand. Siasatan polis percaya kedua-duanya pemburu burung dan haiwan kecil haram dari Thailand," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Zull Aznam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Padang Besar merampas 1,200 tin minuman keras pelbagai jenama selepas menahan sebuah kereta jenis Proton Wira di Kampung Kolam, Padang Besar dekat sini kira-kira pukul 6 pagi pada 23 Januari lalu.

"Pemandu kereta itu dipercayai seorang lelaki tempatan berumur 30-an bagaimanapun berjaya melarikan diri. Hasil pemeriksaan kereta itu menggunakan nombor plat palsu yang disyaki dicuri di Kepala Batas, Kedah," katanya.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 135/1/B Akta Kastam 1967 kerana mengelak cukai minuman keras.

PBSM sediakan 11 ambulans sepanjang Tahun Baharu Cina

Posted: 26 Jan 2014 11:02 AM PST

PULAU PINANG 26 Jan. - Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) negeri menyediakan perkhidmatan 24 jam ambulans bermula Selasa ini bagi membantu dalam usaha rawatan kecemasan sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut hujung bulan ini.

Pengerusinya, Datuk B. J. Yeang berkata, sebanyak 11 buah ambulans akan disediakan melalui perkhidmatan tersebut dan semua ahli persatuan juga diarah bersiap sedia bagi menghadapi kes-kes kecemasan di negeri ini sepanjang tempoh berkenan.

Malah katanya, tiga pusat operasi PBSM iaitu di Permatang Tinggi, Seberang Perai Tengah (SPT); Butterworth, Seberang Perai Utara (SPU) dan Batu Maung di bahagian pulau akan mula dibuka bermula pukul 7 pagi hingga 7 malam dari Selasa ini hingga 3 Februari depan.

"Selepas pukul 7 malam semua operasi akan dipindahkan ke Ibu Pejabat PBSM negeri berhampiran Masjid Negeri, di bahagian pulau dan pejabat cawangan persatuan di SPU.

"Seramai 150 orang paramedik dan ahli-ahli persatuan akan bertugas sepanjang tempoh perayaan ini bagi menghadapi sebarang kes-kes kecemasan di seluruh Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Perkhidmatan Ambulans 24 jam Persatuan Bulan Sabit Merah (PSM) negeri sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang disempurnakan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, di sini hari ini.

Yeang dalam pada itu menambah, semua paramedik yang terlibat merupakan mereka yang terlatih dalam pertolongan cemas, rawatan prahospital dan bantuan hidup asas.

"Kita harap dengan perkhidmatan ini dapat membantu memberikan rawatan kecemasan segera kepada mereka yang memerlukan ter utamanya mangsa kemalangan jalan raya," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved