Isnin, 27 Januari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Sikap pengguna punca kemalangan

Posted: 26 Jan 2014 11:02 AM PST

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
utusanmelaka@utusan.com.my

Zaidi Attan (kiri) melihat seorang petugas Majlis Keselamatan Jalan Raya memakaikan topi keledar kepada seorang kanak-kanak sempena Program Keselamatan Jalan Raya peringkat negeri di Machap Baru, Melaka, kelmarin.

ALOR GAJAH 26 Jan. - Sikap dan mentaliti pengguna jalan raya masih menjadi punca berlakunya kemalangan biarpun pelbagai kempen keselamatan giat dijalankan pelbagai agensi.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Zaidi Attan berkata, jika sikap pengguna jalan raya tidak berubah segala usaha dan kempen keselamatan tidak akan berjaya.

Menurutnya, kempen keselamatan tidak lagi boleh bertumpu kepada aspek jalan raya semata-mata malah perlu merangkumi aspek pendidikan dan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat.

"Mentaliti masyarakat masih rendah kerana biarpun pelbagai kempen keselamatan jalan raya dilakukan, masih ada pengguna yang tetap tidak mengendahkannya.

"Walaupun mereka sedia maklum memandu laju, abaikan peraturan dan isyarat boleh mengundang bahaya tetapi mereka masih melakukannya dengan anggapan bahawa nahas tidak akan menimpa mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina peringkat negeri di Machap Baru, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Lai Meng Chong.

Zaidi berkata, tahun 2012 mencatatkan sebanyak 665 kes kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya dilaporkan dan penunggang motosikal adalah penyumbang paling tinggi iaitu 35 peratus.

Beliau berkata, golongan lingkungan umur 16 hingga 26 adalah kumpulan sasar yang sangat terdedah kepada risiko kematian akibat kemalangan jalan raya.

"Ini jelas menunjukkan golongan muda adalah penyumbang besar kepada kemalangan jadi pihak berwajib terutamanya Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) perlu mendekati golongan ini secara serius," katanya.

Menurutnya, melalui program yang dijalankan secara konsisten dengan penglibatan semua pihak, usaha mengurangkan kadar kemalangan maut di negeri ini akan dapat dicapai.

Katanya, jika tidak dapat menjadikan negeri ini sifar kemalangan tetapi sekurang-kurangnya indeks kemalangan dapat diturunkan.

MARDI pertimbang bina kilang padi wangi di Melaka

Posted: 26 Jan 2014 11:02 AM PST

Hasan Rahman (kiri) dan Marzukhi Hashim (kanan) melakukan gimik perasmian majlis menuai padi beras wangi peringkat negeri di Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai, Melaka, kelmarin.

JASIN 26 Jan. - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan mempertimbangkan permohonan bagi pembinaan kilang padi jenis beras wangi di Melaka sekiranya pengeluaran mencapai 3,000 tan metrik setahun.

Ketua Projek EPP 9 MARDI, Dr. Marzukhi Hashim berkata, syarat itu perlu kerana Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) telah menetapkan pengeluaran sekurang-kurangnya 1,500 tan metrik bagi satu musim untuk melayakkan permohonan pembinaan kilang untuk zon Selatan.

Sehingga kini, katanya, terdapat tiga kilang memproses beras wangi di negara ini iaitu di Jeram Pasu, Kelantan; Muadzam Shah, Pahang dan Bukit Raya, Kedah iaitu kilang khusus untuk padi wangi.

"Mengikut perancangan bagi 2013 hingga 2015, kita bercadang wujudkan kilang itu di MARDI Kuala Linggi kerana bangunannya telah siap dan hanya perlu tambahan peralatan serta mesin dengan kos yang dimohon RM5 juta.

"Namun selepas perbincangan dengan Exco Pertanian negeri, pihaknya bercadang membina kilang tersebut di kawasan Sungai Rambai yang telah menjalankan penanaman dan pengeluaran padi jenis MRQ74 di bawah projek EPP9 iaitu pengeluaran beras wangi di luar jelapang.

"Selepas pembinaannya, kilang itu boleh dinaik taraf jika di Melaka dan kawasan sekeliling seperti Muar ada pengeluaran sehingga 5,000 hingga 10,000 untuk memohon kepada kapasiti yang lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menuai padi beras wangi peringkat negeri di tapak projek sawah padi beras wangi di Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai di sini semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman.

Yang turut hadir, Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Jamaludin Salim dan Pengarah Pertanian negeri, Rusdan Abdul Talib.

Marzukhi berkata, MARDI telah meluluskan peruntukan sebanyak RM360,000 bagi infrastruktur seperti perparitan selain pendidikan untuk projek tanaman di kawasan yang berkeluasan 40.4 hektar di situ bagi padi jenis Maswangi MRQ74.

Sementara itu, Hasan berkata, pihaknya akan berusaha untuk memperluaskan kawasan tanaman padi wangi di beberapa tempat iaitu di Gadek dan Bukit Rambai untuk menambah keluasan hektar penanamannya untuk membolehkan permohonan dibuat bagi peruntukan kilang itu dapat direalisasikan segera.

Katanya, tempoh percubaan kali pertama tanaman padi di Sungai Rambai itu dilihat berjaya dengan anggaran pengeluaran sebanyak 120 tan metrik.

"Kita sasarkan sebanyak 404.6 hektar kawasan bagi tanaman padi wangi ini dalam tempoh dua tahun dari sekarang selepas mengadakan mesyuarat menyelaras projek ini," katanya.

GPMS wujudkan Skuad Jelajah Motivasi Pendidikan Kepenggunaan 2014

Posted: 26 Jan 2014 11:02 AM PST

KUALA PILAH 26 Jan. - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengambil inisiatif mewujudkan Skuad Jelajah Motivasi Pendidikan Kepenggunaan 2014 dalam usaha berkongsi ilmu kepenggunaan khususnya kepada pelajar sekolah.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, skuad yang dianggotai oleh 20 penceramah terdiri daripada mahasiswa akan menjelajah ke 100 buah sekolah di seluruh negara mengikut zon untuk memberi penerangan kepada pelajar berkaitan kepenggunaan bermula 17 Februari ini.

''Pelajar sekolah perlu tahu mengenai hak mereka sebagai pengguna. Maka kita ambil tanggungjawab ini untuk membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam usaha memberi penerangan yang tepat kepada mereka.

''Sejak kebelakangan ini, pelajar didedahkan dengan maklumat yang salah dan usaha ini diyakini dapat membantu kumpulan sasar bagi mendapatkan maklumat yang tepat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Skuad Jelajah Motivasi Pendidikan Kepenggunaan 2014 peringkat kebangsaan yang disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek di Ladang Alam Warisan, Seri Menanti, dekat sini malam tadi.

Jelasnya, pelajar tingkatan lima merupakan golongan sasaran utama bagi skuad tersebut dalam usaha menyebarkan maklumat yang tepat mengenai hak pengguna.

''GPMS akan mendapatkan maklum balas daripada pelajar sekolah berkenaan program yang dilangsungkan.

''Namun apa yang penting ilmu yang disebarkan kepada pelajar itu dapat disampaikan kepada ibu bapa mereka sekali gus dapat dimanfaatkan oleh masyarakat," ujarnya.

Pada majlis tersebut, seramai 100 pemimpin GPMS dari seluruh negara hadir untuk menyertai sesi dialog yang diadakan berkaitan kepenggunaan dan isu belia bersama Hasan yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved