Isnin, 27 Januari 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Terpaksa balas tembakan penceroboh

Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST

KOTA KINABALU 27 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pasukan Komando VAT69, yang ditugaskan melaksanakan operasi tinjau rapat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1 Mac tahun lalu, terpaksa membalas tembakan penceroboh setelah mereka terlebih dahulu ditembak pihak berkenaan.

Koperal Azman Ampong, 39, yang ditugaskan di Sektor C memutuskan untuk membalas tembakan itu selepas dia dan rakan-rakannya ditembak oleh penceroboh, walaupun ketua pasukannya tidak memberi arahan.

Ketika ditanya peguam Datuk N. Sivananthan sama ada dia membuat keputusan sendiri untuk membalas tembakan itu, saksi keempat itu menjawab: "Ya".

Semasa tembakan itu, katanya, dia dan rakannya, Koperal Mohd. Tarmizi Hashim yang berada di hadapan pasukan tersebut, telah memulakan tembakan itu di Kampung Tanduo pada 1 Mac tahun lalu.

Azman berkata, tembakan itu berlaku kira-kira dua minit dan mereka bukan sahaja ditembak oleh dua orang penceroboh, malah beberapa penceroboh lain dari semua arah.

"Sejurus itu, kami terus meminta bantuan dan kami menerimanya daripada anggota Sektor D yang tiba di tempat itu kira-kira 10 hingga 15 minit kemudian," katanya sambil menambah tembakan itu berterusan sehingga pasukan D tiba.

Semasa memberi keterangan di hadapan Hakim Stephen Chung, Azman berkata, keseluruhan pasukan itu berada kira-kira 9.14 meter hingga 18.3 meter di belakangnya dan Mohd. Tarmizi.

Menurutnya, dua letupan juga berlaku kira-kira dua minit di hadapannya dan Mohd. Tarmizi.

Ketika ditanya Sivananthan sama ada dia menerima sebarang arahan daripada ketua pasukannya Deputi Supritendan (DSP) Anwar Rosli menerusi walkie-talkie semasa tembakan itu bermula, Azman berkata "ya, arahannya ialah supaya berundur".

Sivananthan: Tidak ada arahan langsung untuk membalas tembakan penceroboh sebaliknya hanya berundur. Adakah arahan supaya berundur nampak pelik bagi anda?

Azman: Tidak.

Sivananthan: Adakah anda melapor kepada ketua pasukan bahawa anda telah ditembak?

Azman: Saya tidak sempat membuat laporan (itu).

Azman menjelaskan bahawa arahan itu juga bertujuan mengelakkan pertempuran dalam semua bentuk pada tahap yang maksimum selain untuk memantau dan menilai situasi itu.

Menurutnya, Anwar langsung tidak memberi sebarang arahan untuk memulakan tembakan terhadap para penceroboh itu.

Ketika diasak oleh Sivananthan mengenai maksud seorang lelaki (penceroboh) yang memegang sebatang kayu berserta kertas putih bersaiz A4, adakah dalam peperangan ia membawa maksud sebagai mewakili bendera putih, saksi itu menjawab "tidak".

Sivananthan: Apa yang anda faham apabila seorang penceroboh membawa sebatang kayu yang dilekatkan kertas putih A4?

Azman: Saya tidak tahu niat dia.

Azman berkata ini kerana, seorang daripada penceroboh itu membawa sebilah parang yang diselitkan di pinggangnya manakala dua lagi rakannya membawa senjata api dan menghalakannya ke arah beliau dan Tarmizi.

Azman juga tidak bersetuju dengan cadangan Sivananthan bahawa para penceroboh itu sebenarnya mahu menyerah diri kerana seorang daripada mereka memegang sebatang kayu yang dilekatkan kertas putih A4 dan mereka tidak memulakan sebarang tembakan pada hari itu.

Semasa menjawab soalan Sivananthan, saksi itu juga berkata, dia tidak tahu bahawa sepanjang tempoh pasukannya berada di Kampung Tanduo, pihak berkuasa Malaysia dan pihak penceroboh sedang berunding untuk menyelesaikan isu itu secara aman.

Azman juga tidak bersetuju bahawa arahan yang diberikan oleh Anwar pada 18 Februari tahun lepas adalah untuk mencari penceroboh dan memulakan serangan ke atas mereka.

Saksi itu turut memberitahu bahawa pasukannya telah dibekalkan dengan peluru 5.56 mm manakala pasukan sokongan diberikan peluru 7.62 mm semasa tembakan itu, dan beliau dan Mohd. Tarmizi membawa 'M16'.

Sebanyak 27 tertuduh warganegara Filipina dan tiga lagi rakyat Malaysia dituduh melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan menjadi anggota kumpulan pengganas, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda.

Perbicaraan itu, yang dikendalikan di Jabatan Penjara Sabah, bersambung esok. — BERNAMA

3 lelaki dipenjara seumur hidup

Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST

Oleh FADZLY IZAB
pengarang@utusan.com.my

Sahri Tahe (depan, tengah), Didik Setiawan (depan, kanan) dan Purwanto (belakang, dua dari kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi, Melaka, semalam, selepas dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 15 sebatan kerana menculik seorang kontraktor tiga tahun lalu.

MELAKA 27 Jan. - Tiga lelaki warga Indonesia masing-masing dihukum penjara seumur hidup dan sebatan 15 kali oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah menculik seorang kontraktor, empat tahun lalu.

Seorang daripada mereka yang hanya dikenali sebagai Purwanto, 31, dan Didik Setiawan, 29, dari Jawa serta Sahri Tahe, 31, dari Madura dijatuhi hukuman itu selepas pembelaan mereka gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh yang bekerja sebagai buruh didakwa menculik kontraktor berusia 48 tahun itu dengan niat mendapatkan wang tebusan RM300,000 daripada isteri mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka pada pukul 4.45 petang, 12 April 2010 di sebuah pangsapuri di Taman Mutiara, Melaka Baru, Batu Berendam di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haslinda Abu Bakar manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam bela, Nurrul Nadia Norrizan.

Sepanjang perbicaraan, sebanyak 29 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan manakala tiga saksi tampil di peringkat pembelaan.

Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menyatakan, mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa kes tersebut adalah serius kerana kesalahan itu dilakukan oleh warga asing yang bekerja di negara ini.

"Saya juga mengambil kira kenyataan impak kesalahan terhadap mangsa (VIS) yang diberikan oleh mangsa yang mahu ketiga-tiga tertuduh dikenakan hukuman maksimum.

"Walaupun tidak mengalami kecederaan teruk, mangsa telah mengalami trauma selepas kejadian itu," kata Abdul Karim.

Terdahulu dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Nurrul Nadia memberitahu, ketiga-tiga tertuduh telah insaf dengan kesalahan yang dilakukan.

"Ketiga-tiga mereka telah salah membuat keputusan dengan mempercayai orang lain. Memang diakui mangsa dalam kes ini telah dipukul oleh tertuduh dan diikat, namun mangsa tidak mengalami kecederaan yang teruk atau mati.

"Selain itu, tertuduh-tertuduh hanya memperoleh RM40,000 yang diberikan mangsa," kata Nurrul Nadia.

Haslinda bagaimanapun menegaskan, kes tersebut adalah serius kerana tertuduh telah menggunakan kekerasan terhadap mangsa dengan menggunakan kayu selain penculikan itu dirancang rapi oleh ketiga-tiga tertuduh terbabit.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved