Isnin, 27 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


LPT dijangka sesak minggu ini

Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST

Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman
utusanpahang@utusan.com.my

Kakitangan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), Isroeyah Mustar (dua kanan) dan Mohd. Wira Sahri mengagihkan cenderamata kepada pengguna lebuh raya dalam Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Bentong, Pahang, semalam. - UTUSAN/ Ahmad Zakki Jilan

BENTONG 27 Jan. - Jumlah kenderaan yang melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada musim perayaan Tahun Baharu Cina kali ini dijangka meningkat kepada 200,000 buah sehari berbanding purata 140,000 buah yang menggunakan lebuh raya itu pada hari biasa.

Pengarah ANIH Berhad, Ir. Wan Razali Wan Muda berkata, peningkatan mendadak kira-kira 50 peratus aliran trafik itu akan menyebabkan kesesakan di lebuh raya berkenaan.

"Bagaimanapun kita sentiasa bersedia bagi memastikan seluruh aliran trafik di LPT berjalan lancar dengan menggariskan beberapa strategi seperti menyediakan jadual perjalanan dan menghentikan aktiviti penyelenggaraan di sepanjang lebuh raya selama dua minggu.

"Kita juga akan menambah jumlah juru tol sebanyak 15 peratus seterusnya membuka lorong-lorong tunai tambahan khususnya di waktu peningkatan trafik yang drastik," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Bentong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi MCA Pahang, Datuk Hoh Khai Mun dan Ketua Polis Daerah Bentong Supritendan Mohamad Mansor Mohamad Nor.

Lebuh raya sepanjang 240 kilometer itu bermula dari Gombak, Selangor hingga ke Jabor, Terengganu diuruskan oleh ANIH Berhad yang bertindak sebagai pemegang konsesi lebuh raya berkenaan.

Katanya, bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna, pihaknya juga akan menambah pasukan ronda lebuh raya yang akan melakukan rondaan selama 24 jam.

Selain itu Wan Razali berkata, pihaknya akan melanjutkan waktu operasi kaunter jualan kad Touch 'N Go dari pukul 8.30 pagi hingga 10.30 malam bermula dari 27 Januari hingga 3 Februari ini.

Sementara itu, Khai Mun berkata, kempen dan strategi yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi itu sepanjang musim perayaan ini amat baik demi keselesaan pengguna lebuh raya tersebut.

"Kita berharap kemudahan di sepanjang lebuh raya akan dipertingkatkan seperti penambahan lampu-lampu jalan dan juga pembinaan lebih banyak tandas," ujarnya.

Hati-hati berbelanja pada musim perayaan

Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST

Ahmad Nazlan Idris (tiga dari kiri) memeriksa harga sayur kubis yang dijual di Pasar Raya Thong Fatt selepas pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di Bandar Baru Inderapura, Jerantut,Pahang, semalam.

JERANTUT 27 Jan. - Penduduk diminta lebih berhati-hati berbelanja dalam memilih premis atau pasar raya di bandar itu yang menawarkan harga barangan mengikut Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina yang ditetapkan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, pengguna perlu peka perkara itu kerana kegiatan mengeksploitasi pengambilan untung berlebihan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab masih berlaku terutama pada musim perayaan.

Menurutnya, kerajaan melaksanakan skim tersebut bertujuan mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat dengan menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah.

"PPDNKK negeri dan cawangan tidak akan berkompromi dengan peniaga yang didapati gagal mematuhi peraturan berkenaan kerana boleh menjejaskan kepentingan pengguna.

"Menerusi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, peniaga wajib menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan serta meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakan dengan barangan lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan skim tersebut di Pasar Raya Thong Fatt Bandar Baru Inderapura di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Jerantut, Tan Siew Lin.

Menurut beliau, sempena pelancaran skim itu, berkuat kuasa mulai 26 Januari hingga 9 Februari ini, sebanyak 12 jenis barangan telah ditetapkan dalam skim berkenaan.

"Peniaga diminta mematuhi peraturan kedua-dua akta ini dan jangan memanipulasikan harga sewenang-wenangnya sehingga menyusahkan orang ramai berbelanja menyediakan keperluan harian bagi menyambut perayaan itu," katanya.

Ahmad Nazlan berkata, pegawai penguat kuasa PPDNKK dan pemantau harga akan berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk melaksanakan pemeriksaan di bawah peraturan akta berkenaan.

Tambahnya, para peniaga perlu lebih bertanggungjawab dengan menyokong usaha kerajaan menerusi pelaksanaan skim itu supaya jaminan keselesaan penduduk sebagai kuasa pembeli yang juga memberi pulangan pendapatan pemilik premis berkenaan.

"Pengguna juga seharusnya melaporkan kepada penguat kuasa PPDNKK mengenai wujudnya manipulasi harga, barang keperluan yang tidak sempurna daripada segi timbang dan sukat supaya keperluan terpelihara di samping hak sebagai pengguna," katanya.

Bomba berjaya kurangkan kerugian kebakaran

Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST

KUANTAN 27 Jan. - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berjaya mengurangkan sebanyak RM28 juta tafsiran kerugian akibat kebakaran kepada RM63 juta pada 2013 berbanding RM91 juta tahun sebelumnya.

Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, jumlah panggilan kebakaran yang meningkat kepada 1,683 kes tahun lepas berbanding 1,233 kes pada 2012 itu membolehkan tindakan pantas diambil pihaknya bagi operasi pemadaman kebakaran.

Menurutnya, tindakan pantas itu telah menyumbang kepada pengurangan tafsiran kerugian sebanyak 17.86 peratus.

"Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan merupakan penyumbang tertinggi jumlah panggilan kebakaran yang direkodkan iaitu sebanyak 294 kes tahun lepas berbanding 212 kes tahun sebelumnya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, agensi itu juga berjaya menyelamatkan pelbagai harta dengan tafsiran sebanyak RM237 juta tahun lepas berbanding RM148 juta tahun sebelumnya.

Jumlah itu katanya, disebabkan kejayaan bomba memadam kebakaran di kawasan kilang daripada terus merebak dan merupakan faktor penyumbang terbesar tafsiran penyelamatan yang tinggi pada 2012.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved