Isnin, 27 Januari 2014

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Siakap sangkar terapung

Posted: 27 Jan 2014 06:02 AM PST

MUSIM tengkujuh juga boleh mengurangkan pendaratan ikan memandangkan cuaca buruk itu mengancam keselamatan nelayan.

Pilihan yang ada ialah mengoptimumkan penggunaan sumber dari darat termasuk mengeluarkan lebih banyak ikan menerusi projek akuakultur.

Sebab itu kerajaan sentiasa memberi peluang kepada mana-mana pihak yang mempunyai cita cita untuk menjadi usahawan akuakultur, kerana bidang tersebut berpotensi besar untuk dimajukan.

Malah menerusi Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA), sektor pertanian telah dikenal pasti sebagai salah satu bidang di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

NKEA Pertanian memberi fokus kepada subsektor yang mempunyai potensi pertumbuhan yang besar yang dapat membantu negara untuk turut sama menyertai pasaran global yang semakin berkembang.

Pada masa yang sama, tumpuan akan turut diberikan kepada subsektor strategik dalam usaha menjamin bekalan makanan negara dengan pengenalan 16 Projek Permulaan (EPP) termasuk akuakultur EPP 4 sebagai contoh akan menumpukan kepada Pembangunan Ternakan Dalam Sangkar Secara Bersepadu, sekali gus membuktikan usaha kerajaan memberi anjakan kepada industri akuakultur.

Inisiatif tersebut wajar disahut oleh pengusaha dan meneroka peluang menjadikan akuakultur sebagai penjana kewangan dan meningkatkan taraf hidup.

Seorang daripada usahawan tersebut ialah Raja Zainuddin Raja Omar, 58, yang bermula sebagai penternak ikan sangkar marin secara kecil-kecilan.

Berkat kegigihan dan modal sendiri yang digunakan pada awalnya, dia kini muncul sebagai seorang pengusaha ternakan ikan sangkar marin berjaya.

"Projek saya bermula pada 2002 dan saya seorang mengusahakannya, tetapi tidaklah terlalu besar.

"Pada 2005 apabila Jabatan Perikanan mula memperkenalkan projek ini kepada orang ramai dan baharu ada dua dan tiga orang menyertai projek ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam sesi taklimat kepada peserta lawatan Kembara AgroChallenge ke Projek ternakan Ikan Sangkar Marin di Pekan,Pahang baru-baru ini.

Jelasnya, projek berkenaan dijalankan secara berkelompok pada 2005 yang mana semua pengusaha telah bergotong royong untuk menguruskan projek dengan mengeluarkan modal sendiri. - Maszureen Hadzman

Taman Negara Sungai Relau

Posted: 27 Jan 2014 06:02 AM PST

NURUL AZWA HARIS
Gambar Mohd. Noor Amin

BERJALAN kaki sejauh kira-kira 1.2 kilometer dalam hutan belantara Taman Negara Sungai Relau, Merapoh, Pahang amat mencabar.

Apatah lagi dengan jalan yang lecak dan licin disusuri dengan dahan serta ranting yang tumbang akibat hujan malam sebelumnya menjadikan perjalanan rombongan Program Jejak Media bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) begitu merumitkan.

Namun, cabaran tersebut menambah keseronokan kira-kira 30 peserta menghayati dan menghargai keindahan flora dan fauna ciptaan Tuhan.

Bunyi burung dan cengkerik serta angin yang mengalun lembut menyebabkan keletihan berjalan tidak terasa.

Taman Negara Sungai Relau merupakan taman negara kedua di Pahang yang menawarkan laluan alternatif kepada pendaki untuk menawan puncak Gunung Tahan.

Sebenarnya, laluan ke Gunung Tahan dari Sungai Relau lebih dekat berbanding dari Kuala Tahan.

Oleh itu, sejak pembukaannya pada 1993 untuk orang awam, pelancong dari dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang untuk ke sana.

Pada 2012 sahaja, kira-kira 102,000 pelancong datang ke taman negara berkenaan.

Semestinya, usaha untuk meningkatkan industri ekopelancongan memerlukan penglibatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) secara proaktif.

Oleh itu, pelbagai inisiatif yang turut membabitkan penduduk tempatan dilaksanakan untuk orang awam bertujuan untuk memberi kesedaran tentang kepentingan memelihara alam semulajadi daripada pencemaran.

Penolong Penguasa Perhilitan Taman Negara Pahang, Mohd. Zulfadli Zainor berkata, antara aktiviti yang popular dalam kalangan pelancong ialah meninjau hidupan liar, safari malam menggunakan kenderaan pacuan empat roda, lawatan ke Santuari Kelah dan gua-gua batu kapur serta 'tubing'.

Menurutnya, peminat serta pemerhati burung juga menjadikan Taman Negara Sungai Relau sebagai tempat persinggahan kerana pelbagai burung yang berhijrah sering dilihat hinggap dan tinggal sementara di kawasan hutan itu.

"Dalam taman negara ini, terdapat sebuah gua yang menjadi tempat persinggahan haiwan yang dinamakan Gua Gajah.

Selalunya, spesies haiwan itu akan berteduh secara berkumpulan dalam gua itu memandangkan ruang dalam gua yang besar. Ini disebabkan cuaca monsun di antara bulan November hingga Disember.

Gua batu kapur ini juga merupakan lokasi popular pelancong yang ingin melihat sendiri keadaan gua itu.

"Masih banyak lagi gua-gua batu kapur yang masih belum tercemar dengan pembangunan, jadi keadaan semulajadinya masih terjaga.

Ini juga salah satu faktor yang menarik minat orang awam kerana kebanyakan gua batu kapur yang ada mengalami perubahan terutama kepada bentuk asalnya,'' katanya.

Perjalanan peserta program bermula dengan penjelajahan ke Gua Katak. Sinonim dengan namanya, gua tersebut merupakan kediaman pelbagai jenis katak serta hidupan air.

Stalagtit dan stalagmit yang terhasil daripada hakisan air menghasilkan bentuk batu kapur yang menarik, diserikan dengan warna dinding gua yang keperang-perangan.

Bagi peserta yang kebanyakannya pertama kali memasuki gua, aktiviti begitu menguji ketahanan fizikal dan mental.

Dengan ruang jalan yang licin serta sempit, para peserta perlu merangkak dan meniarap bagi melepasi halangan dan meneruskan perjalanan kira-kira satu kilometer sebelum sampai ke luar gua.

Kemudian para peserta dibawa melawat Santuari Kelah yang merupakan tempat pemuliharaan pertama yang ditubuhkan Perhilitan untuk spesies tersebut.

Selepas peserta bermain dan mengenali dengan lebih dekat haiwan itu, mereka dibawa ke Menara Bukit Seraya yang menawarkan pemandangan mengasyikkan sekitar Raman Negara.

Malah, jika cuacanya elok, pelawat mampu melihat puncak Gunung Tahan dari menara tersebut.

Disusuli pula dengan aktiviti tubing, yang memaksa para peserta merentas hutan Taman Negara sebelum sampai ke lokasi aktiviti berkenaan.

Disebabkan aktiviti tersebut memerlukan latihan dalam air, pegawai Perhilitan menerangkan satu-persatu tentang langkah keselamatan dan cara untuk menghindari kemalangan atau kecemasan.

Ini penting supaya peserta tidak panik ketika berada dalam air.

Aktiviti ini memerlukan peserta menaiki pelampung menyusuri kejernihan Sungai Relau dalam Taman Negara.

Sememangnya, kekayaan alam semulajadi merupakan penawar kepada kekusutan minda dan emosi kepada jiwa yang sering terbeban dengan tugasan harian.

Oleh itu, tanggungjawab memelihara dan melindungi alam sekitar terletak di bahu masyarakat kerana tanpanya, kehidupan tidak bermakna.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved