Selasa, 14 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


'Masalah tak sepatutnya berlaku'

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

Oleh HASHIM P. MAMAT
utusanperak@utusan.com.my

KUALA KANGSAR 13 Jan. - Masalah 120 unit rumah kerajaan di Jalan Taayah di sini yang terbiar dan dipenuhi semak samun kerana tidak berpenghuni sejak 25 tahun lalu mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad (gambar).

Beliau yang kesal dengan masalah itu berkata, masalah ini tidak sepatutnya berlaku kerana situasi tersebut mencacatkan pemandangan bandar ini apatah lagi Kuala Kangsar jumlah kunjungan pelancongan yang tinggi.

Beliau menyarankan agak kawasan berkenaan dan lain-lain kawasan strategik tetapi terbiar di sekitar bandar ini segera dipulihkan atau pun dibangunkan.

"Tanah kerajaan sama ada milik kerajaan negeri atau Persekutuan yang terbiar tanpa pembangunan tidak sepatutnya berlaku, sebaliknya perlu dimajukan.

"Saya percaya pihak-pihak berkenaan di daerah ini mempunyai idea untuk membangunkan atau membersihkan kuarters kerajaan ini daripada terus terbiar," katanya di sini hari ini.

Dalam laporan Utusan Malaysia pada 10 Disember lalu, penduduk di Jalan Taayah berhampiran Stesen Keretapi di sini melahirkan rasa kesal kerana lebih daripada 120 unit rumah yang pernah menjadi kediaman pekerja kini terbiar dan dipenuhi semak samun sejak 25 tahun lalu.

Keadaan ini mengundang rasa resah penduduk yang berpendapat keadaan itu menjejaskan imej bandar Kuala Kangsar dan menggesa pihak yang berkenaan memberikan perhatian terhadap kawasan berkenaan.

Susulan laporan berkenaan, tinjauan mendapati kawasan berkenaan kini telah dipasang pagar di sekitarnya, dipercayai untuk tujuan keselamatan.

Tambah Wan Khairil Anuar, selain masalah rumah kerajaan yang terbiar itu beberapa tanah lain perlu dimajukan terutama yang terletak di lokasi strategik.

"Biasanya apabila wujud masalah sebegini, akan timbul isu siapa pemilik bangunan atau tanah yang terbiar itu, sama ada ia milik kerajaan negeri, kerajaan Pusat atau milik persendirian. Masalah inilah yang menyulitkan pembangunan bagi kawasan yang mengalami masalah tanah terbiar," katanya.

Projek RTB: Lebih 20,000 penduduk Bandar Baharu dapat manfaat

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

BANDAR BAHARU 13 Jan. - Lebih 20,000 penduduk yang mendiami tebing Sungai Kerian di daerah ini bakal mendapat manfaat melalui projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berkenaan apabila siap menjelang penghujung tahun depan.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, projek fasa pertama dan kedua telah dimulakan sejak penghujung tahun 2012 dan kini sudah mencapai kira-kira 50 peratus.

Katanya, keseluruhan projek berkenaan membabitkan kawasan sepanjang 40 kilometer Sungai Kerian bermula dari muara Sungai Serdang dan melibatkan tiga mukim di daerah Bandar Baharu iaitu Mukim Serdang, Mukim Bagan Samak dan Mukim Bandar Baharu.

"Projek yang merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu membabitkan tiga negeri di sepanjang Sungai Kerian iaitu Kedah, Perak dan Pulau Pinang dengan daerah Bandar Baharu menerima peruntukan sebanyak RM80 juta.

"Apabila siap kelak, projek itu mampu mengatasi masalah banjir yang dihadapi oleh penduduk di 15 buah kampung di daerah ini," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung berkenaan di Pejabat Daerah Bandar Baharu, baru-baru ini.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datin Norsabrina Mohd. Noor dan Jurutera JPS Daerah Kulim Bandar Baharu, Azli Ayub.

Abdul Aziz berkata, selain mengatasi masalah banjir, projek itu turut mendatangkan manfaat lain kepada penduduk setempat seperti pelancongan dan perkhidmatan.

"Daerah Bandar Baharu juga mendapat peruntukan khusus untuk membina ban sepanjang sungai berkenaan dan kerja-kerja memperindahkan tebing sungai bagi tujuan pelancongan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, lebih 300 penduduk yang mendiami sungai berkenaan akan dipindahkan ke kawasan baharu bagi memberi laluan kepada RTB Sungai Kerian.

"Penduduk terbabit akan dipindahkan ke satu kawasan yang bersesuaian dan kita menjangkakan proses pemindahan akan bermula dalam masa tiga bulan lagi," katanya.

Beliau juga berharap, para Pengerusi JKKK kawasan berkenaan dapat memberikan penjelasan kepada penduduk kampung mengenai keperluan projek berkenaan.

Ikan pedukang jadi tarikan

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

AZLAN Abdul Aziz (kiri) melihat ikan pedukang yang dijual kepada orang ramai di Pasar Bisik-Bisik Kuala Sungai Muda, Sungai Petani, baru-baru ini.

SUNGAI PETANI 13 Jan. - Biasanya ikan pedukang kurang diminati ramai berbanding ikan rakyat lain seperti ikan kembung dan selayang.

Namun kini ikan itu semakin menjadi pilihan apatah lagi dengan kenaikan harga ikan lain yang mendadak sejak kebelakangan ini.

Seorang penjual ikan, Azlan Abdul Aziz, 34, dari Tikam Batu berkata, ikan pedukang agak laris jualan kerana harganya lebih murah berbanding ikan-ikan lain.

"Ikan pedukang besar banyak ditangkap oleh nelayan sejak kebelakangan ini, bila dibawa naik ke darat saya terus membelinya kerana harganya lebih murah," katanya ketika ditemui di Pasar Bisik-Bisik Kuala Sungai Muda, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, ikan itu boleh dijual pada harga antara RM3 hingga RM4 sekilogram berbanding harga ikan lain yang agak tinggi.

"Ikan pedukang banyak isi, selera makan tentu bertambah jika masakan itu kena caranya," katanya.

Azlan memberitahu, sebagai seorang penjual, dia perlu menyediakan pelbagai jenis ikan dengan harga lebih murah untuk keperluan orang ramai di musim tengkujuh dari Disember hingga Februari ini.

"Terpulang kepada orang ramai untuk buat pilihan membeli ikan, bagaimanapun ikan pedukang ada persamaan dengan ikan pulutan, otek dan seludu manakala ikan baung pula terdapat di sungai sahaja," tambah Azlan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved