Selasa, 14 Januari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Tiga terbaik semua peperiksaan awam

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

Oleh Farabi Sheikh Said al Jabr
utusanN9@utusan.com.my

Mohamad Hasan bersama penerima-penerima bantuan khas awal persekolahan 1Malaysia bagi tahun 2014 pada Perhimpunan Bulanan Kali Pertama Warga Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan bagi tahun ini di Seremban, semalam. - Utusan/ Aswad Yahya

SEREMBAN 13 Jan. - Usaha menjadikan Negeri Sembilan sebagai pusat kecemerlangan pendidikan akan diperkasakan apabila kerajaan negeri menetapkan matlamat untuk tersenarai dalam tiga kelompok teratas pencapaian terbaik bagi semua peperiksaan awam mulai tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, sasaran itu tidak mustahil mampu dicapai berikutan negeri ini berada dalam kedudukan lima teratas pencapaian terbaik dalam semua peperiksaan awam kebelakangan ini.

Jelasnya, matlamat berkenaan selaras dengan usaha kerajaan negeri mengurus kejayaan dalam bidang pendidikan sekali gus menjadikan negeri ini pengeluar utama pelajar cemerlang negara.

''Kalau kita lihat beberapa tahun sudah, negeri kita sentiasa berada dalam kelompok lima teratas terbaik dari Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hinggalah Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan ini amat membanggakan.

''Tetapi pada masa yang sama, kita tidak boleh berada dalam zon selesa akan tetapi kita perlu memastikan kejayaan ini perlu dikekalkan dan kerajaan negeri dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) akan mula melaksanakannya bermula tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan JPNS di Wisma Negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli dan Pengarah JPNS, Kalsom Khalid.

Tambah Mohamad, bagi memacu kejayaan pendidikan dan kecemerlangan sekolah ke tahap maksimum memerlukan gandingan mantap tiga pihak iaitu ibu bapa, guru dan pelajar.

''Apa yang penting hubungan akrab tiga watak dalam kecemerlangan pendidikan ini perlu disegarkan sentiasa supaya wujud elemen mengambil tahu perkembangan yang berlaku.

''Apabila adanya persefahaman sebegini, ia dapat digarap dalam menghasilkan satu resipi yang baik, sekali gus menjana kemuncak pembelajaran yang berkesan kepada anak-anak kita," katanya.

UMNO Masjid Tanah sasar 12,288 pengundi baharu

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

ALOR GAJAH 13 Jan. - UMNO Bahagian Masjid Tanah menyasarkan untuk mendaftar 12,288 pengundi baharu dalam tempoh empat tahun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketuanya, Datuk Ab. Rauf Yusoh berkata, sasaran itu mampu dicapai sebagai persiapan awal memastikan kerusi-kerusi di dalam Parlimen yang menjadi kubu UMNO tersebut terus dipertahankan pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, kempen mendaftar golongan muda sebagai pemilih di Parlimen Masjid Tanah akan dilancarkan pada 25 Januari ini.

Pelancaran itu sempena Karnival UMNO Masjid Tanah yang akan dirasmikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Kuala Linggi dekat sini.

''Karnival ini diadakan bertujuan merakyatkan UMNO dalam kalangan penduduk di Parlimen Masjid Tanah iaitu usaha dari peringkat cawangan untuk mendekati rakyat hingga ke akar umbi,'' katanya di sini semalam.

Ab. Rauf yang juga Setiausaha Kerja UMNO berkata, UMNO Bahagian Masjid Tanah menyasarkan empat pengundi baharu didaftarkan setiap bulan yang turut dibantu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri secara bersepadu.

Di samping mendaftar pengundi baharu, usaha turut dilakukan untuk mendaftar keahlian baharu dalam usaha memperkukuhkan kedudukan parti.

Mengulas program merakyatkan UMNO, Ab. Rauf berkata, beberapa perubahan pentadbiran UMNO bahagian diberi nafas baharu ke arah mendekati rakyat hingga ke peringkat akar umbi.

Menurutnya, bagi fasa pertama program itu, semua ketua cawangan dan biro yang telah dilantik akan memulakan program turun padang.

''Kita telah buat ketetapan mesyuarat bahagian akan diadakan secara bergilir di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Masjid Tanah dan bukan lagi di pejabat bahagian seperti lazimnya," katanya.

Kata Ab. Rauf, setiap cawangan juga telah diarahkan membuat laporan bulanan berkaitan permasalahan rakyat untuk diselesaikan.

''UMNO Bahagian akan berperanan memanjangkan masalah rakyat yang dikemukakan kepada pihak berkaitan termasuk kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

''Jika rakyat dapat menyalurkan masalah kepada UMNO bahagian atau cawangan dan ini adalah kaedah pengurusan pentadbiran masyarakat terbaik untuk dipraktikkan," katanya.

Sambutan Maulidur Rasul erat hubungan generasi muda

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

Sebahagian daripada peserta program, pegawai JPJ Melaka dan pelajar Universiti Teknikal Melaka mengecat tembok Surau Asy Syakirin, sempena sambutan Maulidur Rasul di Taman Merbok, Bukit Katil, Melaka, semalam.

MELAKA 13 Jan. - Sambutan Maulidur Rasul menjadi landasan buat generasi muda terutamanya golongan mahasiswa untuk saling mengukuhkan silaturahim.

Presiden Majlis Mahasiswa Anak Malaysia Profesional (Mampro) negeri, Mior Hassan Mat Ali berkata, jaringan pengukuhan hubungan dapat dilihat daripada kerjasama yang dilakukan antara mereka dalam menjayakan sambutan itu.

"Sambutan kali ini amat bermakna dengan penyertaan daripada golongan mahasiswa yang merupakan anak-anak muda di negeri ini.

"Dengan melakukan kerjasama menjayakan program-program yang diatur sepanjang sambutan ini, hubungan sesama mereka dapat dieratkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program sempena sambutan Maulidur Rasul di Surau Asy-Syakirin Taman Merbuk, Bukit Katil di sini hari ini.

Turut hadir dalam program yang mendapat kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dan Bank Islam itu ialah Penaung Kehormat Mampro, Senator Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengarah JPJ negeri, Mohd. Fadhil Hassan.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program itu adalah gotong-royong membersih dan mengecat surau, memasak, solat berjemaah dan majlis doa selamat.

Pada majlis yang sama sebanyak tiga ekor lembu turut disembelih.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved