Selasa, 14 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Eimarace beri pendedahan

Posted: 14 Jan 2014 11:16 AM PST

Oleh Siti Norizat Shikh Abdul Jalil
utusanktn@gmail.com

Pasukan Polisas bersama kereta ciptaan mereka, Autoshas Apple Team bergambar kenangan ketika menyertai kejohanan Eimarace 2013, baru-baru ini.

KUANTAN 14 Jan. - Penyertaan pasukan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) dalam kejohanan Perlumbaan Automotif dan Inovasi Pendidikan 2013 (Eimarace 2013) telah memberikan pengalaman dan pendedahan yang cukup berharga khususnya dalam sukan pemotoran.

Program anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu terbuka kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), politeknik dan institut teknikal yang mengetengahkan konsep pembelajaran menerusi sukan permotoran.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Polisas selaku ketua pasukan, Zairul Azrul Zakaria, perlumbaan itu merupakan satu platform untuk para pelajar mengaplikasikan segala teori yang telah dipelajari seterusnya menambah baik kemahiran mereka untuk dipraktikkan ke sektor automotif sebenar.

Katanya, dengan menyertai program ini, para pelajar dikehendaki membangunkan prototaip kereta lumba daripada asas dan ini memberikan cabaran kepada para pelajar dari pelbagai aspek antaranya fizik, aerodinamik, reka bentuk, pembuatan, penjenamaan, grafik, penajaan, pemasaran dan kerja berkumpulan.

"Polisas menyertai satu daripada dua kategori yang dipertandingkan iaitu SS 131 yang mana penuntut Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) diberi tanggungjawab untuk membina kereta lumba yang diberi nama Autoshas Apple Team.

"Keupayaan penuntut kami meraih tempat ketiga di pusingan kedua dan tempat keempat di pusingan pertama daripada 35 pasukan yang bertanding menunjukkan satu prestasi yang positif walaupun persaingan yang diberikan amat sengit," katanya di sini.

Tambah Zairul Azrul, kejayaan tersebut adalah satu pencapaian yang baik kerana berjaya memecahkan tradisi kemenangan podium yang selama ini dipelopori oleh pasukan daripada institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) iaitu Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Giat Mara.

"Pasukan Polisas kini mula dikenali berikutan prestasi dan keupayaan yang ditonjolkan sekali gus menaikkan nama institut ini di seluruh negara .

"Diharapkan dengan kejayaan ini akan membuka ruang kepada generasi akan datang khususnya dalam bidang pembinaan kenderaan untuk terus menggarap idea dan kemahiran industri automotif di negara ini," ujarnya.

KKL dekati masyarakat Orang Asli

Posted: 14 Jan 2014 11:16 AM PST

Anuar Ralib menyampaikan sumbangan barangan kepada penduduk Orang Asli semasa lawatan ke Kampung Sungai Garam, Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 14 Jan. - Pihak pengurusan Kolej Komuniti Lipis (KKL) dengan kerjasama pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku melaksanakan program turun padang ke perkampungan Orang Asli, di Kampung Sungai Garam, dekat sini baru-baru ini.

Rombongan itu diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long manakala KKL diwakili oleh Pengarahnya, Drs. Anuar Ralib dan beberapa kakitangan institusi berkenaan.

Lawatan itu antara pengisian pejabat ADUN Padang Tengku untuk mendekati penduduk dan menyelami masalah termasuk menyumbangkan pek makanan kepada mereka.

Menurut Anuar, kunjungan itu juga merupakan serampang dua mata, iaitu mendekati kehidupan masyarakat pribumi di pedalaman daerah Lipis dan kempen menyedarkan Orang Asli terhadap program pembelajaran sepanjang hayat di KKL.

"Kunjungan itu adalah yang kedua menerusi Program Jejak Pribumi, sebelum ini sudah dilaksanakan di Pos Orang Asli Senderut, Hulu Jelai pada tahun lepas," katanya di Kampung Sungai Garam, dekat sini.

Menurut Anuar, program berkenaan turut menterjemahkan kesedaran dalam kalangan etnik itu mengenai peluang mengikuti latihan dan kursus jangka pendek di KKL.

"Sejajar dengan peranan KKL di tengah masyarakat Lipis, kita mengambil peluang memfokuskan kesedaran akademik dan keusahawanan dalam kalangan belia Orang Asli untuk menyahut cabaran Wawasan 2020 bagi mengubah kehidupan mereka menerusi sektor berkenaan," katanya.

Justeru itu, katanya, semasa kunjungan berkenaan, pengurusan KKL telah mengambil kesempatan memberi penerangan dan promosi berhubung kursus serta latihan kemahiran dalam bidang dalam sektor keusahawanan yang ditawarkan oleh kolej berkenaan kepada penduduk Orang Asli tersebut.

Sementara itu, Tok Batin Orang Asli, Jela Kemuncuk, 57, berkata, penduduk di situ berpuas hati dengan kunjungan pemimpin setempat khususnya promosi belajar di KKL.

"Saya berharap ada belia di kampung ini mengikuti kursus dan latihan bidang kemahiran tertentu selari dengan hasrat kerajaan untuk mengubah kehidupan keluarga menerusi pasaran hasil kampung dan kemahiran keusahawanan," ujarnya.

Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Ikip digesa lebih proaktif

Posted: 14 Jan 2014 11:16 AM PST

KUANTAN 14 Jan. - Sebanyak 22 penuntut Kolej Antarabangsa Ikip (Ikip) dilantik sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang baharu bagi sesi 2014 melalui pilihan raya kampus yang telah diadakan tidak lama dahulu.

Majlis angkat sumpah MPP yang baharu itu diadakan di Kompleks Yayasan Pahang di sini baru-baru ini dan disempurnakan Naib Presiden Akademik kolej berkenaan, Nor Aishah Hashim.

Nor Aishah dalam ucapannya dalam majlis itu berkata, MPP dipilih perlu memastikan semua aktiviti dijalankan dalam kalangan penuntut menyumbang kepada peningkatan sahsiah diri dan akademik mereka.

"Kesemua yang dipilih juga haruslah bersikap proaktif dalam banyak perkara sama ada dalam usaha mengadakan aktiviti ataupun program tanpa terlalu bergantung kepada pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP).

"Ikip memberi kepercayaan kepada pihak MPP untuk mencadangkan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian kerana anda semua lebih memahami kehendak dan keperluan rakan sepengajian," katanya di sini.

MPP baharu Ikip dibarisi oleh penuntut daripada pelbagai bidang pengajian seperti Ijazah Sarjana Muda Syariah (Ekonomi dan Perbankan Islam), Diploma Sains Komputer dan Diploma Pemasaran dan Diploma Perakaunan.

Mereka terlebih dahulu diberikan kursus induksi selama dua hari di Ambang Resort, Kuantan bagi tujuan latihan dari segi pengurusan organisasi.

Nor Aishah berkata, MPP merupakan platform perhubungan dua hala terbaik antara mahasiswa dengan pihak kolej.

"Mereka (MPP) mampu membentuk mahasiswa yang cemerlang dan berkebolehan dari segi sahsiah dan akademik serta membentuk individu yang memenuhi keperluan pasaran masa kini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved