Selasa, 14 Januari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Sekolah agama setahun terbengkalai

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

Oleh Zulhisham Isahak
utusanjohor@utusan.com.my

Murid-murid dari lapan kampung masih menumpang di SK Kampung Raja dan belajar dalam keadaan sesak serta tidak selesa kerana bangunan SA Kampung Raja masih belum dapat digunakan lagi akibat sistem pendawaian dan jalan masuk ke sekolah agama itu terbengkalai.

PAGOH 13 Jan. - Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muar digesa menyelesaikan segera masalah pembinaan Sekolah Agama (SA) Kampung Raja di sini yang terbengkalai sejak setahun lalu walaupun sudah lebih RM1 juta peruntukan dibelanjakan sejak 2008.

Pengerusi Badan Kebajikan sekolah agama itu, Azman Hashim berkata, disebabkan masalah itu sebanyak 140 murid dari lapan buah kampung di sekitarnya masih menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Raja dan belajar dalam keadaan sesak serta tidak selesa.

"SA Kampung Raja sudah 90 peratus siap. Sekolah ini terbengkalai kerana pendawaian dan jalan masuk ke situ masih belum disiapkan. Sepatutnya pihak berkenaan segera mencari jalan dan bukan membiarkan pembinaan sekolah itu terbengkalai.

"Ketika ini sebanyak empat kelas dipinjamkan SA Kampung Raja dan jika pihak SK Kampung Raja mempunyai aktiviti sukan atau kokurikulum pada sebelah petang dan mahu menggunakan kelas, murid sekolah agama terpaksa belajar di kantin atau pekarangan sekolah," katanya ketika ditemui selepas melawat sekolah agama itu semalam.

Menurutnya, SA Kampung Raja yang menumpang di SK Kampung Raja juga tidak mempunyai bilik guru dan menggunakan sebuah stor sempit untuk guru-gurunya berurusan selain menjadikan bilik darjah sebagai 'bilik guru besar'.

Mengenai SA Kampung Raja yang didirikan atas tanah yang diwakafkan oleh seorang dermawan, Mohd. Nor Ismail, beliau berkata, pekarangan sekolah itu kini ditumbuhi semak dan tidak lagi mempunyai pengawal keselamatan.

Bangunan sekolah agama itu seolah-olah terbiar dan penduduk bimbang sekira barangan yang disimpan di dalam bilik darjah dan bilik guru dipecah masuk kerana tiada lagi pengawal keselamatan dan jaraknya dengan SK Kampung Raja hanya setengah kilometer.

Masalah jalan masuk utama adalah disebabkan pihak pemaju tidak mengikut spesifikasi yang betul kerana pintu utamanya dibina berdepan dengan kebun kelapa sawit penduduk dan untuk membuat jalan memerlukan kebenaran dan pampasan.

Pihaknya sudah beberapa kali merujuk masalah tersebut kepada PPD Muar dan dimaklumkan bahawa isu itu masih tertangguh kerana memerlukan persetujuan bertulis daripada pemilik kebun sawit itu untuk menggunakan tanah tersebut.

Menurutnya, SA Kampung Raja telah beroperasi sejak 1930 dan selepas itu pihak pengurusan sekolah memohon bangunan sendiri kerana muridnya semakin bertambah dan hanya pada 2006 projek pembinaan sekolah itu diluluskan sebelum mula dibina dua tahun kemudian.

Johor berpotensi jadi hab perubatan, kesihatan

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

Mohamed Khaled Nordin menjalani pemeriksaan kesihatan sempena majlis Kem Kesihatan anjuran Hospital Pakar Pasir Gudang di Kampung Senibong, Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 13 Jan. - Johor berpotensi menjadi hab sektor perubatan dan kesihatan di rantau Asia Tenggara memandangkan kawasan pembangunan Iskandar Malaysia bakal menempatkan lebih 10 buah hospital.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri akan merancang pelan bersesuaian untuk memanfaatkan potensi tersebut apatah lagi Johor mempunyai kedudukan yang strategik di rantau ini.

Menurutnya, Iskandar Malaysia merupakan kawasan yang sedang mengalami pembangunan pesat dari segi hartanah dan infrastruktur dan sewajarnya kemajuan itu turut melibatkan sektor perubatan dan kesihatan.

"Lebih 10 buah hospital berada dalam kawasan Iskandar Malaysia dan sesetengah daripada hospital tersebut memang sering dikunjungi masyarakat antarabangsa.

"Selain faktor lokasi yang strategik, tidak dinafikan taraf perkhidmatan dan kepakaran yang disediakan juga mencapai piawaian antarabangsa pada harga yang berpatutan," katanya semasa merasmikan Kem Kesihatan anjuran Hospital Pakar Pasir Gudang di Kampung Senibong di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dan Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Amiruddin Abdul Satar.

Selain hospital kerajaan, Iskandar Malaysia turut menempatkan empat buah hospital pakar milik KPJ Healthcare serta beberapa hospital swasta lain.

Mohamed Khaled berkata, perkembangan itu merupakan perkara yang positif kerana selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, kewujudan hospital berkenaan juga memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat.

"Potensi besar ini seharusnya dibangunkan kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada negara, malah turut dinikmati oleh masyarakat khususnya penduduk negeri Johor.

"Dengan adanya hab perubatan dan kesihatan di negeri ini, pelbagai pembangunan lain akan dibangunkan seiring dengan keperluan semasa dan ini memberi banyak peluang pekerjaan kepada semua pihak," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved