Selasa, 14 Januari 2014

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Sharifah Aleya nikah lagi

Posted: 14 Jan 2014 11:28 AM PST

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
Foto AIZZUL A.MAJID

Pernikahan kedua buat Sharifah Aleya dan yang pertama bagi Mohammed Azam Abdullah.

TAHUN dan pasangan yang berbeza, namun Masjid Al-Mukarramah Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur tetap setia menjadi saksi cinta Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al-Yahya yang memilih lokasi yang sama untuk diijabkabulkan buat kali kedua.

Itu semua hanya kebetulan, kerana sebagai penduduk di kawasan berkenaan, sudah pasti masjid yang sama dipilih untuk acara ijab dan kabul.

Kali ini Sharifah Aleya atau Aleya, 31, disatukan dengan pasangan baharu, Mohammed Azam Abdullah, 29, selepas satu setengah tahun mengenali antara satu sama lain.

Kedua mereka sah bergelar suami isteri kira-kira pukul 10 pagi, 11 Januari lalu, selepas Mohammed Azam melafazkan akad nikah sebanyak dua kali.

Sebagai simbolik tanda cintanya kepada Aleya, pemuda yang berasal dari Kota Kinabalu itu memberi wang hantaran sebanyak RM3,000 beserta mas kahwin RM300 serta tiga dulang hantaran yang berbalas lima.

Meskipun ini adalah pernikahan pertama buat Mohammed Azam atau mesra disapa sebagai Miko, dia mengaku tidak kisah dengan status Aleya yang sudahpun mempunyai sepasang anak kembar, Aza Ameena dan Asha Ameena, 5, hasil perkahwinan terdahulu.

Sebelum ini Aleya pernah berkahwin dengan Muhammad Ashraf Aasimidin pada 8 Disember 2007 dan bercerai dengan talak satu pada 29 Februari 2012.

Menurut Miko, kehadiran Aleya dan anak-anak membuat hidupnya menjadi lebih ceria dan kini tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga akan bermula.

"Saya gembira dengan apa yang saya perolehi. Selain memiliki isteri yang jelita, saya juga menjadi papa kepada dua kanak-kanak yang comel. Saya berdoa semoga ikatan pernikahan kami ini berkekalan sehingga akhir hayat dan sentiasa berbahagia," katanya tenang.

Menurut anak keempat daripada lima beradik, karakter Aleya yang pelbagaian itu sering membuat dia terhibur dan Miko akui yang antaranya dengan isteri mempunyai karakter yang berbeza.

"Saya suka dengan karakternya yang kalau bercakap tak berhenti. Lagipun saya lebih senang menjadi pendengarnya," ungkap Miko.

Miko yang merupakan penerbit dan penyunting video di Creative Hubs Producitons pada pandangan Aleya adalah seorang lelaki yang penyabar dan mudah mesra.

Kata Aleya, dia pernah menguji tahap kesabaran Miko tapi akhirnya dia yang mengalah.

"Ada sekali saya cuba menduga. Saja-saja provok sebab nak tengok sejauh mana dia boleh tahan dengan perangai saya. Akhirnya saya sendiri yang mengalah, sebab tahap kesabarannya tidak menurun langsung, semakin kuat adalah," kata Aleya sambil ketawa.

Pasangan itu belum terfikir untuk pergi berbulan madu seperti pengantin baharu lain kerana masing-masing terikat dengan komitmen.

"Sehari sebelum majlis pernikahan, saya masih di pejabat dan sampai kena marah dengan kawan-kawan, Kiran dan Ikhwan. Mereka suruh saya balik rumah. Entahlah saya sendiri pun macam tidak percaya. Memang berdebar sebelum majlis berlangsung, tetapi Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar," kata Aleya yang kembali bertugas pada hari Isnin.

Kata Aleya, kalau ikutkan perancangan awal, majlis pernikahan mereka akan diadakan pada 4 Januari lalu, tetapi ditunda kepada 11 Januari bagi memastikan semua urusan berjalan lancar.

Walaupun sudah mempunyai dua orang anak, Aleya bersedia untuk menambah cahaya mata, bagaimanapun tidak mahu terlalu mengharap. Sebaliknya lebih senang membiarkan keadaan yang menentukan segalanya.

Majlis resepsi yang diadakan di Kelab Sri Damansara itu turut dihadiri oleh rakan sekerja Hot FM antaranya, Kiran bersama dua orang anak dan Fara Fauzana.

Sementara itu, majlis resepsi di sebelah pihak lelaki akan dilangsungkan pada Mac ini di Kota Kinabalu, Sabah.

Belanja RM4 juta untuk Kanang

Posted: 14 Jan 2014 11:28 AM PST

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar ZAKARIA IDRIS

MEREKA disebalik pembikinan filem kanang anak langkau. (Dari kiri) Bade Azmi , Dr. Megat dan Zainal .

PEMBIKINAN filem biografi perjuangan Kanang Anak Langkau yang menggunakan judul sempena nama pahlawan Iban tersebut dijangka akan bermula tidak lama lagi di beberapa kawasan di Sarawak dan Perak.

Menyingkap kisah hidup Kanang yang merupakan anggota tentera yang banyak berbakti kepada negara dalam menentang komunis, filem yang dipercayai menelan belanja kira-kira RM4 juta itu akan memulakan penggambaran pada 21 Januari ini, bergantung kepada proses pra-penerbitan yang dijalankan.

Pengarah Urusan Tangan Seni Sdn. Bhd., yang bertindak selaku Penerbit Eksekutif filem berkenaan, Zainal Fikri Mohd. Dali berkata, proses prapenerbitan telahpun melalui tahap 80 peratus dan kru penggambaran akan masuk ke set selewat-lewatnya pada hujung Januari ini.

"Filem ini akan diarahkan oleh pengarah terkemuka, Bade Azmi yang pernah terlibat secara langsung ketika penerbitan filem Leftenan Adnan pada 2000. Pengalaman yang dimilikinya amat diperlukan bagi merealisasikan penerbitan filem ini kerana kedua-dua karya berkenaan bertemakan genre yang sama iaitu perang," katanya kepada Utusan Malaysia ketika hadir sesi temu bual di Studio Utusan, baru-baru ini.

Tambah Zainal Fikri, kos pembikinan mendapat pembiayaan penuh daripada kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), manakala Kementerian Pertahanan bertindak selaku tulang belakang dalam menyediakan pelbagai prasarana.

Sementara itu, Bade Azmi berkata, pelakon baharu akan diketengahkan untuk mendukung watak sebagai Kanang dan juga barisan artis popular akan memainkan peranan watak pembantu.

"Sesi uji bakat telah sdilakukan untuk memilih calon yang sesuai menggalas watak tersebut dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat. Calon tersebut merupakan seorang tentera yang berbangsa Iban agar jiwa ketenteraan serta semangat kepahlawanan bangsa kaum terbesar di Sarawak itu yang tersemat dalam diri Kanang dapat divisualkan ke layar perak," katanya.

Memandangkan Bade Azmi tidak berkesempatan bertemu dengan Kanang ketika hayatnya sebelum meninggal dunia pada 2012, dia amat berharap agar karya yang bakal diarahkan kali ini mampu meresapi semangat jati diri yang dimiliki pejuang itu dengan pemilihan seorang pelakon yang mempunyai kriteria hampir serupa.

Pada masa yang sama, Timbalan Ketua Pengarah (Teknikal dan Produksi) Finas, Dr. Megat Al Imran Yassin berharap agar lebih banyak lagi produksi tempatan tampil dengan idea lebih menarik terutama yang berkaitan dengan sejarah negara untuk diadaptasi ke layar perak.

"Kita selaku penggiat seni perlu menjadi ejen pendidik kepada seluruh rakyat Malaysia terutama generasi muda yang tidak merasa keperitan hidup susah di zaman perang agar mereka lebih berjiwa patriotik dan sayangkan tanah air," katanya ringkas.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved