Khamis, 16 Januari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Mahu sungai diselenggara

Posted: 16 Jan 2014 10:14 AM PST

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

Walaupun kejadian banjir kilat hampir sebulan berlalu, runtuhan tebing sungai di Batu 23, Jalan Batu Arang-Rawang, Selangor masih belum diperbaiki sehingga kini.

RAWANG 16 Jan. - Penduduk dan pengusaha ternakan di Batu 23, Jalan Batu Arang-Rawang di sini membantah cadangan pembinaan sebuah kolam tadahan bagi mengatasi banjir kilat di kawasan itu.

Menurut penduduk, lokasi yang dicadangkan itu bukan sahaja tidak sesuai kerana berada di kawasan tanah tinggi, tetapi juga bukan kawasan yang menjadi punca kepada berlakunya kejadian banjir kilat itu.

Sehubungan itu mereka meminta Pejabat Tanah dan Galian Gombak dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mempertimbangkan semula cadangan itu dan melihat beberapa lokasi lain yang lebih sesuai dan strategik.

Mereka juga mahu pihak bertanggungjawab mencari punca berlakunya banjir kilat di Kampung Sungai Bakau sehingga menenggelamkan jalan utama Jalan Batu Arang-Rawang, baru-baru ini dengan segera.

Dakwa penduduk banjir kilat di kawasan itu berpunca daripada tekanan air tinggi setiap kali hujan sehingga menyebabkan limpahan air kesan daripada pertembungan dua anak sungai di Batu 24, Jalan Batu Arang-Rawang berdekatan Bandar Country Homes.

Seorang penduduk, Chong Kim Loy, 60, berkata kegagalan pihak bertangggungjawab menyelenggara dua batang anak sungai di belakang kawasan lot kedai dan perniagaan di Bandar Country Homes di situ menjadi punca air sungai naik melimpah setiap kali hujan lebat.

Menurutnya, turut menyumbang kepada punca banjir kilat di situ kerja-kerja pembangunan projek perumahan di kawasan berhampiran.

"Kami percaya masalah pertembungan dua aliran anak sungai di sini dapat diatasi sekiranya kolam tadahan dibina di kawasan berhampiran.

"Malah di kawasan ini terdapat dua buah kolam yang mampu berfungsi sebagai tebatan banjir dan ia juga mudah bagi air keluar dan masuk," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Kim Loy berkata, kawasan yang dicadangkan itu juga tidak melibatkan mana-mana pemilik tanah kerana ia merupakan rezab sungai.

"Selain tekanan hasil pertembungan dari dua batang sungai, aliran air ke Sungai Gong menjadi lebih teruk lagi apabila ia terpaksa melalui sebuah kilang yang aliran airnya perlahan dan tercemar," katanya.

Tambahnya, sehingga ke hari ini pihaknya tidak pernah didatangi oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan bagi cadangan pelebaran atau baik pulih tebing sungai berhampiran premisnya itu.

"Kami sedia memberikan laluan bagi tujuan penyelenggaraan mahupun penglebaran sungai di sini bagi tujuan melancarkan aliran air sungai.

"Masalah banjir kilat tetap berulang jika punca sebenarnya tidak dicari dan diperbaiki terlebih dahulu," katanya.

Menurutnya, setiap kali hujan lebat dan banjir kilat kilangnya benar-benar terjejas.

"Kami terpaksa membersihkan bertan-tan sampah yang tersangkut di sungai yang mengalir di tengah-tengah kilang kami ini.

"Kami terpaksa membersihkan sendiri terutamanya batang-batang kelapa sawit yang dibawa oleh air sungai deras setiap hujan lebat dari kawasan projek perumahan tersebut," katanya.

Seorang lagi penduduk, Datuk A. Balakrisnan, 40-an melahirkan rasa kesal dengan sikap pemaju yang tidak membina perangkap lumpur sebelum memulakan projek.

Menurutnya, jika perangkap itu dibina ia sudah tentu banjir yang disertai lumpur dapat dicegah.

"Mereka sepatutnya bertanggungjawab atas kejadian lalu kerana yang menanggung akibatnya penduduk serta pengusaha di sini," katanya.

Keputusan SMA Selangor meningkat

Posted: 16 Jan 2014 10:14 AM PST

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
pengarang@utusan.com.my

Pelajar Cemerlang SMA 2013, Zulhilmi dan bapanya, Shalehuddin menunjukkan sijil dan hadiah iringan yang diterima daripada pihak JAIS di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 16 Jan. - Keputusan peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) bagi negeri ini pada tahun lepas berada di tahap cemerlang iaitu meningkat 0.3 peratus daripada 92.1 peratus kepada 92.4 peratus berbanding 2012.

Bagi peperiksaan SMA untuk sekolah menengah Islam persendirian dan di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut meningkat iaitu 69.8 peratus berbanding 66.1 peratus pada 2012.

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaki Arshad berkata, walaupun keputusan keseluruhan meningkat, bilangan pelajar yang mendapat Mumtaz (Cemerlang) menurun sebanyak 1.1 peratus daripada 13.2 peratus pada 2012 kepada 12.1 peratus, tahun lalu.

"Pencapaian dalam mata pelajaran seperti Bahasa Arab 1 meningkat sebanyak 6.2 peratus daripada 79.5 peratus pada tahun 2012 kepada 85.7 peratus, tahun lalu.

"Selain mata pelajaran tersebut, mata pelajaran Fekah dan Tauhid turut meningkat sebanyak 5.3 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengumumkan keputusan peperiksaan SMA, Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan SMA Tahfiz al-Quran (SMATQ) di sini hari ini.

Ahmad Zaki berkata, bagi keputusan UPKK dan SMATQ, pencapaian lulus adalah 100 peratus.

"Bagi keputusan peperiksaan UPKK, secara keseluruhan pada 2013, sebanyak 2,688 calon mendapat agregat 8A berbanding 2012 hanya 2,613 calon.

"Daerah terbaik mencapai peratus tertinggi peperiksaan tersebut berdasarkan calon teramai yang mendapat pangkat A dan gred purata nasional (GPN) adalah Kuala Selangor, kedua Kuala Langat dan ketiga Sepang," katanya.

PPZ-MAIWP kutip zakat harta RM484 juta tahun lepas

Posted: 16 Jan 2014 10:14 AM PST

Jamil Khir Baharom (tiga dari kiri), Che Mat Che Ali (kiri) dan Othman Mustapha (dua dari kiri) bersama anggota Skuad Mesra Pembayar Zakat Pusat Pungutan Zakat (PPZ) pada majlis pelancaran Skuad Mesra Pembayar Zakat serta Perasmian Kaunter ke-2 PPZ-MAIWP di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR

PUTRAJAYA 16 Jan. - Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjaya mengutip zakat harta sebanyak RM484 juta pada tahun lalu iaitu pertambahan sebanyak 20 peratus berbanding kutipan tahun sebelumnya sebanyak RM402 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ekoran hasil kutipan yang memberangsangkan itu pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM565 juta pada tahun ini.

''Hasil kutipan PPZ-MAIWP bagi tahun 2013 telah melibatkan 128,061 pembayar berbanding 114,442 orang pada tahun 2012 dan daripada jumlah tersebut 56 peratus disumbangkan menerusi zakat pendapatan.

''Untuk kutipan zakat fitrah bagi tahun 2013 di Wilayah Persekutuan pula jumlah yang berjaya dikutip sebanyak RM7.3 juta," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skuad Mesra Pembayar Zakat serta Perasmian Kaunter ke-2 PPZ-MAIWP Putrajaya di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha; Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Mohd. Rais Alias.

Terdahulu di dalam ucapannya, Jamil Khir berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 1991 sehingga 2013, PPZ-MAIWP berjaya mengutip zakat sebanyak RM3.08 bilion.

Dalam pada itu beliau berkata, PPZ-MAIWP sepanjang tahun 2013 giat menjalankan kempen memperkenalkan saluran bayaran zakat bagi memudahkan umat Islam menunaikan Rukun Islam ketiga itu.

Antara saluran yang menjadi sambutan umat Islam ialah bayaran zakat melalui potongan gaji atau dikenali dengan Skim Thohir.

Selain itu beliau turut menghargai sumbangan media cetak serta elektronik apabila turut bersama-sama menyebar luaskan dakwah kewajipan membayar zakat hingga berlaku peningkatan kutipan zakat di Wilayah Persekutuan bagi tahun 2013.

Sementara itu beliau berkata, sebanyak 17,000 penduduk Islam di Wilayah Persekutuan menerima bantuan bulanan daripada Baitulmal hasil daripada kutipan zakat oleh PPZ-MAIWP.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved