Khamis, 16 Januari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Sambutan Maulidur Rasul Pontian meriah

Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada peserta perarakan dalam sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Pontian bermula dari Pusat Perdagangan Pontian ke Masjid Jamek Bandar Pontian, kelmarin.

PONTIAN 15 Jan. - Kira-kira 5,000 umat Islam menghadiri sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Pontian yang diadakan di Masjid Jamek Bandar Pontian serta dihadiri Tunku Temenggung Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Terdahulu, sebanyak 49 kontinjen yang mewakili jabatan dan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mukim dan sekolah menyertai perarakan sejauh satu kilometer dari Pusat Perdagangan Pontian ke Masjid Jamek Bandar Pontian.

Syarahan bertajuk 'Keperibadian Mulia Nabi Muhammad SAW' disampaikan oleh Kadi Daerah Pontian, Mohd. Taufik Shamsuddin, diikuti beberapa pertandingan seperti sepanduk terbaik, kontinjen terbaik bagi sekolah, jabatan kerajaan dan swasta, NGO dan mukim serta kontinjen teramai.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh; Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Syarak merangkap Kadi Besar Johor, Nooh Kadri.

Tempat pertama kategori sepanduk terbaik dimenangi Pejabat Pendidikan Agama; kedua, Mukim Rimba Terjun dan ketiga, Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmood Iskandar 1 manakala kategori kontinjen terbaik jabatan kerajaan pula dimenangi Majlis Daerah Pontian, diikuti Jabatan Kerja Raya Pontian dan Jabatan Pengairan dan Saliran Pontian.

SMK Dato' Penggawa Barat muncul tempat pertama kategori sekolah manakala tempat kedua dimenangi Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahaad dan ketiga, SK Tengku Mahmood Iskandar 1.

Kategori NGO/Swasta dan Mukim memperlihatkan Mukim Rimba Terjun berada di tempat pertama diikuti Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pontian dan ketiga, Akademi Bola Sepak Pontian sementara SMK Dato' Penggawa Barat pula memenangi hadiah bagi kategori teramai iaitu dengan penyertaan 350 orang.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Tunku Idris Iskandar.

Segera baiki jalan pintas

Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

PERMUKAAN jalan yang berlubang-lubang menyukar dan membahayakan pengguna yang melalui jalan pintas dari Bukit Kepong ke Felda Moakil, Pagoh, Johor.

PAGOH 15 Jan. - Kira-kira 2,000 pengguna jalan pintas dari Bukit Kepong ke Felda Moakil, dekat sini merayu pihak bertanggungjawab supaya segera membaiki laluan itu kerana sudah rosak teruk dan juga tidak selamat untuk digunakan.

Menurut mereka, jalan itu yang jaraknya 20 kilometer siap dibina pada 2011 dengan kos RM20 juta amat berbahaya kerana terdapat banyak lopak air, lubang, permukaan jalan tidak rata dan terdapat kesan jalan ditampal berlapis-lapis.

Tinjauan Utusan Malaysia di jalan itu yang dibina untuk memendekkan tempoh perjalanan dari Bukit Kepong ke Moakil daripada sejam kepada setengah jam sahaja mendapati, laluan tersebut yang dipenuhi belukar di bahagian kiri dan kanannya adalah kawasan risiko terutama pada waktu malam.

Seorang pengguna hanya mahu dikenali sebagai Fauzi, 37, berkata, dia sering menggunakan jalan tersebut yang menjadi laluannya setiap hari ke tempat kerja di sebuah ladang di Felda Moakil dari rumahnya di Bukit Kepong.

Dia yang menunggang motosikal merasai kesukaran melalui jalan itu apabila berselisih dengan kenderaan lain seperti lori dan kereta yang secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan kerana cuba mengelak lubang.

"Kejadian itu menyebabkan saya hampir kemalangan apabila terpaksa melalui jalan berlopak teruk dan kerana mahu elak daripada bergesel dengan kereta terbabit. Ia lebih bahaya pada waktu malam dan hujan lebat dan kerosakan ini adalah disebabkan ia menjadi laluan utama kenderaan berat.

"Jalan yang rosak tidak perlu lagi di tampal sebaliknya dibina baharu supaya permukaan menjadi licin untuk keselamatan kepada pengguna. Sebelum ini jumlah lubang yang terdapat di jalan itu adalah kira-kira 100 lubang," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Azrin Wahab, 45, pula berkata, tampalan berlapis-lapis sehingga membuatkan laluan itu berbonggol dan dapat dirasakan motosikal atau kereta yang dipandu melambung- lambung kerana keadaan jalan berombak.

Selain sunyi dan tidak mempunyai lampu jalan sehingga menyukarkan pandangan pemandu pada waktu malam, katanya, pihak berkuasa harus bertindak segera kerana rungutan daripada penduduk beranggapan tiada sebarang tindakan diambil langsung.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed berkata, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk menaik taraf jalan tersebut yang diumumkan ketika lawatan kerjanya di Bukit Kepong, tahun lalu.

"Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang membuat penilaian untuk kerja-kerja awalan dan saya berharap projek ini dapat dilakukan pada tahun ini. JKR juga turut memberikan peruntukan RM200,000 untuk menampung kerosakan menampal jalan rosak bermula dari Kampung Sawah Laku, Bukit Kepong hingga pertengahan jalan Felda Moakil," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri berkata, peruntukan besar tersebut diperlukan kerana laluan itu perlu dinaik taraf ke Gred A untuk menjadikan jalan yang lebih baik dan berkualiti.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved