Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. (Canon) baru-baru ini menampilkan rangkaian terbaru pencetak foto Pixma semua dalam satu (AiO) yang mampu menghasilkan cetakan berkualiti.
Kemas dan bergaya, pencetak model MG7170, MG6470 dan MG5570 menjadi lambang mesra pengguna serta dilengkapi ciri-ciri baru yang mampu memenuhi kehendak pengguna di rumah dan juga pengguna peranti pintar.
Ketiga-tiga model Pixma itu membolehkan pengguna mengakses aplikasi Pixma Cloud Link terbaru, iaitu kemudahan percetakan rangkaian data (cloud) bersepadu dari Canon.
Sesuai untuk mereka yang menyimpan imej dalam jumlah yang besar dalam talian, pengguna boleh mencetak foto yang mereka ingini secara terus dari pelbagai laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter
Selain itu, mereka juga boleh memanfaatkan untuk laman perkongsian foto seperti Picasa, Photobucket dan Flicker; serta perkhidmatan simpanan cloud termasuk Evernote dan Dropbox.
Malah, mereka tidak perlu menggunakan komputer peribadi (PC) memandangkan mereka boleh melihat, memilih dan mencetak dengan mudah hanya melalui skrin pencetak.
Apabila memperkatakan mengenai ciri-ciri ketersambungan yang meluas, pencetak Pixma semua dalam satu sememangnya berada di hadapan.
Bersesuaian dengan zaman tanpa wayar ketika ini, ketiga-tiga model pencetak mempunyai sambungan Wi-Fi yang dipasang di bahagian dalamnya, seterusnya membolehkan pengguna mencetak dari mana sahaja di rumah selagi mereka berada dalam kawasan liputan.
Pada masa sama, Canon turut memperkenalkan fungsi Access Point Mode terbaru yang direka khusus untuk menyokong percetakan tanpa wayar antara peranti digital tanpa wayar dan pencetak Pixma.
Tanpa memerlukan router tanpa wayar, pengguna boleh membuat sambungan secara terus dengan mudah antara kamera dan peranti pintar mereka kepada pencetak.
Malah, penyelesaian inovatif ini memberi peluang kepada rakan yang berkunjung ke rumah untuk menggunakan pencetak itu tanpa perlu memasukkan kata laluan bagi rangkaian sekuriti pemilik.
Selain itu, pencetak berkenaan membolehkan pemilik kamera digital tanpa wayar yang mempunyai sokongan DPS atau Wireless PictBridge, menghantar gambar mereka ke model MG7170 dan MG6470, menerusi rangkaian tanpa wayar setempat.
Cara ini sememangnya memudahkan lagi kerja percetakan kerana ia tidak memerlukan komputer peribadi atau sebarang kabel sambungan dari kamera ke pencetak.
Aplikasi penyelesaian percetakan Pixma terbaru juga sesuai untuk pengguna iOS dan Android OS.
Pengguna boleh mengakses kemudahan Pixma Cloud Link, menghantar tugasan cetakan secara terus dari peranti pintar mereka, selain memindahkan semula data ke peranti mereka. Ciri ini bukan saja dapat menjimatkan kertas; ia juga menawarkan fleksibiliti dan memudahkan pergerakan mereka yang sentiasa sibuk.
Pengguna boleh mengakses talian manual dengan mudah, memeriksa status dakwat serta menjalankan penyelenggaraan rutin pencetak seperti pembersihan kepala pencetak hanya melalui aplikasi berkenaan!
Dengan rekaan bergaya, rendah dan kompak, pengguna boleh meletakkan pencetak foto Pixma mana-mana bahagian tempat kerja yang kecil, sekali gus memanfaatkan ruang di rumah dengan sebaiknya.
Tidak hanya bertindak sebagai kemudahan semata-mata, ia juga direka untuk menyerlahkan hiasan dalaman kediaman.
Model MG7170 mempunyai pilihan warna berani seperti hitam, coklat dan merah, manakala model MG6470 dan MG5570 boleh didapati dalam pilihan warna hitam dan putih..
Menerusi teknologi milik Canon iaitu Full-photolithograpy Inkjet Nozzle Engineering, (FINE), pencetak tersebut dilengkapkan dengan muncung mikroskopik yang menghasilkan semburan dakwat yang halus, dengan cetakan mengagumkan.
Malah, model MG7170 mampu menghasilkan cetakan beresolusi sehingga 9600 x 2400dpi dengan minimum titisan dakwat pada 1pl, manakala MG6470 dan MG5570 boleh menghasilkan output sehingga 4800 x 1200dpi dengan minimum titisan dakwat pada 2pl.
Ketiga-tiga model menggunakan sistem dakwat hibrid yang mengoptimumkan penggunaan kedua-dua dakwat pigmen hitam dan warna untuk cetakan berkualiti tinggi.
Malah, kualiti hasil cetakan dipertingkatkan lagi dengan teknologi ChromaLife100+ Canon yang membantu memelihara jangka hayat foto dan dokumen dengan melindunginya daripada cahaya, gas dan kelembapan.
Foto boleh bertahan sehingga 300 tahun jika disimpan rapi di dalam album gambar.
Cetakan berkualiti juga dapat dihasilkan dengan pantas. Ini kerana MG7170 mampu mencetak sehingga 10 imej seminit (ipm) untuk cetakan warna dan hanya mengambil 21 saat untuk menghasilkan foto tanpa sempadan yang bersaiz 4 x 6". MG6470 dan MG5570 pula mampu menghasilkan foto tanpa sempadan bersaiz sama hanya dalam tempoh 44 saat.
Fungsi Auto Power ON membolehkan pencetak dioperasikan secara automatik sebaik arahan mencetak dihantar dan akan dimatikan dengan sendirinya apabila ia dibiarkan tanpa tugas mencetak selepas beberapa ketika.
Selain itu, ketiga-tiga pencetak itu juga mampu menjalankan cetakan pada kedua-dua muka surat dan menyokong penggunaan katrij bersaiz XL.
Gabungan ciri-ciri ini membantu menjimatkan sumber dan tenaga elektrik yang banyak, seterusnya memberi penjimatan kos yang maksimum kepada pengguna.
Ketiga-tiga model turut dilengkapi dengan panel kawalan sentuhan yang sensitif serta paparan LCD.