Isnin, 18 November 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Pahang catat RM32.72b KDNK

Posted: 18 Nov 2013 10:34 AM PST

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Adnan Yaakob
Menteri Besar

KUANTAN 18 Nov. - Pahang telah mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini sebanyak RM32.72 bilion dengan kadar pertumbuhan enam peratus berbanding pencapaian 5.8 peratus pada tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob (gambar) berkata, KDNK yang meningkat akan menyumbang kepada peningkatan perkapita penduduk seperti yang dihasratkan pada tahun ini iaitu mencecah kepada RM29,195 dengan kadar peningkatan 7.6 peratus berbanding 2012.

"Sasaran KDNK negeri lebih tinggi daripada sasaran ekonomi negara kerana Pahang mempunyai pelbagai sumber hasil bumi dan persekitaran yang selesa didiami dan selesa untuk pelabur.

"Peningkatan pendapatan perkapita akan menyumbang peningkatan pendapatan bulanan isi rumah daripada RM3,900 pada tahun ini dengan peningkatan 4.13 peratus berbanding tahun lalu," katanya ketika membentangkan Bajet Negeri 2014 sempena mesyuarat kedua penggal pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-13 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Adnan berkata, kadar kemiskinan iaitu miskin tegar pada tahun ini dijangka akan berkurangan kepada 0.15 peratus daripada jumlah penduduk negeri iaitu 1.5 juta orang menurut bancian pada 2010.

Menurutnya, jumlah tenaga kerja pula dijangka meningkat kepada 4.6 peratus terdiri daripada tenaga kerja baharu, pekerja mahir dan separuh mahir.

Sementara itu, katanya, unjuran ekonomi 2014 hingga 2015 mensasarkan peningkatan KDNK pada kadar 6.4 peratus, nilai pelaburan pula bernilai berjumlah RM4 bilion, pendapatan perkapita penduduk akan mencecah RM34,305 dan unjuran tenaga kerja pula dijangka berjumlah 702,600 orang.

Jelas Adnan, bagi merealisasikan manifesto pilihan raya, kerajaan negeri dan Persekutuan telah merancang pembinaan sebanyak 30,000 unit rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah di beberapa lokasi yang dikenal pasti antaranya di Kuantan, Kuala Lipis, Bera dan Cameron Highlands.

"Projek ini diharap dapat memberikan kediaman selesa kepada rakyat yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM5,000 sebulan," katanya.

Menurut beliau, bagi mengurangkan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar, kerajaan negeri dan Persekutuan telah membangunkan kawasan luar bandar melalui projek Agropolitan dan Rimbunan Kaseh yang dijangka membolehkan setiap peserta meraih pendapatan bulanan purata antara RM800 hingga RM1,500 sebulan.

"Bagi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat juga, kerajaan negeri mewujudkan beberapa pusat pertumbuhan baharu iaitu di Kuala Pahang, Gambang dan Bandar Tun Razak, Jengka serta beberapa lokasi lain sedang dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai pusat pertumbuhan baharu," katanya.

Adnan berkata, kesemua itu dapat dicapai dengan memberi fokus melaksanakan Program Transformasi Ekonomi Negeri melibatkan 115 projek berimpak tinggi melalui peruntukan Pelan Pusingan satu hingga empat dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) serta pelaburan langsung domestik dan asing.

Fasa pertama: 2,518 projek PGBF dibina

Posted: 18 Nov 2013 10:34 AM PST

KUANTAN 18 Nov. - Pelaksanaan awal projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) untuk fasa pertama di negeri ini adalah melibatkan pembinaan sebanyak 2,518 unit rumah membabitkan keluasan tanah 85 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Abu Bakar Harun berkata, pembinaan itu melibatkan empat daerah di negeri ini iaitu Rompin, Maran, Jerantut dan Lipis.

"Sebanyak 1,104 unit dibina di Rompin dengan keluasan tanah 37 hektar, 624 unit di Maran membabitkan keluasan tanah 19 hektar, 550 unit di Jerantut (21 hektar) dan 240 unit di Lipis dengan keluasan tanah lapan hektar.

"Felda kini sedang dan telah mengenal pasti beberapa tapak lagi untuk dibangunkan projek PGBF untuk fasa seterusnya," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-13 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Chow Yu Hui (DAP-Bilut) yang ingin tahu mengenai pelan kerajaan negeri menangani masalah generasi baharu di Felda yang tidak mempunyai tanah dan kediaman sendiri.

Abu Bakar berkata, pada peringkat awal, rumah-rumah yang dibina adalah rumah teres setingkat dan pembinaannya adalah berkonsepkan sistem pembinaan industri (IBS).

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2013 lalu telah mengumumkan pembinaan perumahan untuk generasi tersebut sebanyak 20,000 unit bagi tempoh lima tahun bermula tahun ini.

Menurutnya, Felda yang dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan perkara itu telah mengambil langkah awal dengan mengenal pasti tapak sesuai untuk pembinaan projek PGBF seperti dirancang.

"Projek perintis PGBF telah dilaksanakan di Felda Padang Piol, Jerantut sebanyak 26 unit," katanya.

Bajet 2014 menunjukkan lebihan RM2.19 juta

Posted: 18 Nov 2013 10:34 AM PST

KUANTAN 18 Nov. - Kerajaan negeri hari ini membentangkan Bajet Negeri 2014 yang merupakan bajet lebihan iaitu sebanyak RM2.19 juta.

Bajet surplus atau lebihan itu diperoleh selepas kutipan hasil tahun 2014 dianggarkan berjumlah RM811 juta berbanding bajet mengurus dan pembangunan yang berjumlah RM808.81 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, ini adalah merupakan kali yang ke-11 bajet negeri menunjukkan surplus atau lebihan dalam tempoh 20 tahun iaitu dari 1992 hingga 2012.

"Perkara ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri sentiasa berhemah di dalam menguruskan kewangan negeri," katanya ketika membentangkan Bajet Negeri 2014 sempena mesyuarat kedua penggal pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-13 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Adnan berkata, anggaran kutipan hasil pada 2014 diperoleh daripada kutipan hasil tanah dan galian sebanyak RM275 juta, kutipan hasil hutan (RM130 juta), geran yang diterima daripada kerajaan Persekutuan (RM206 juta) dan lain-lain hasil sebanyak RM200 juta.

"Pada 2014 ini, Kerajaan Persekutuan dijangka memberi wang ihsan sebanyak RM100 juta ekoran penemuan minyak dan gas di perairan Pahang, pemberian wang ihsan itu nanti akan dimanfaatkan untuk faedah rakyat di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, bajet mengurus dan pembangunan yang berjumlah RM808.81 juta akan digunakan kerajaan negeri untuk melaksanakan semua program dan rancangan pembangunan yang telah dirancangkan.

Menurutnya, peruntukan itu terdiri daripada RM638.66 juta anggaran perbelanjaan mengurus dan RM74.50 juta anggaran perbelanjaan pembangunan dari sumber negeri dan RM95.65 juta dari pinjaman Kerajaan Persekutuan.

"Sejumlah RM638.66 juta yang dibajetkan untuk perbelanjaan mengurus terdiri daripada RM499.64 juta batas perbelanjaan, RM18.15 juta dasar baru dan RM120.87 juta untuk bajet One-Off.

"Bajet One-Off yang disediakan ini adalah sumbangan kerajaan negeri kepada Perbadanan Air Pahang Berhad (Paip) untuk sumbangan akhir bayaran gaji dan elaun kakitangan kontrak, pembelian peralatan kerja dan perabot pejabat serta caruman pembangunan.

"Dasar baharu yang dibajetkan sebanyak RM18.15 juta bertujuan untuk emolumen penjawat awam seperti kenaikan gaji dan penyelarasan gaji berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan," katanya.

Sementara itu, Adnan hari ini kembali bertugas selepas mengalami masalah kesihatan apabila dijangkiti bakteria burkholdera cepacia.

Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Perubatan Prince Court pada 4 November lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved