Isnin, 18 November 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Pemuda UMNO digesa sertai RakanCop

Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
nazarudin.shahari@utusangroup.com.my

Ridzuan Ahmad (dua dari kanan) dan Hassan Datuk Ayop (tiga dari kanan) berbual dengan Norain Mohd. Yusof dan bapanya, Mohd. Yusof Abdullah (dua dari kiri) ketika menziarah keluarga Allahyarham Jamariah Ahir di Kuarters JKR Sikamat dekat Seremban, semalam.

SEREMBAN 17 Nov. - Semua ahli Pergerakan Pemuda UMNO di negeri ini digesa mendaftar sebagai ahli RakanCop sebagai usaha membantu polis menangani kes jenayah termasuk ragut.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tampin, Ridzuan Ahmad berkata, penyertaan dalam program komuniti polis itu penting bagi membolehkan mereka bertindak sebagai 'mata dan telinga' kepada pihak berkuasa itu.

Beliau berkata, sebagai ahli RakanCop, mereka boleh mengenal pasti rakan-rakan sebaya yang dipercayai terbabit dalam jenayah dan maklumat itu boleh disalurkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, pergerakan itu membuat seruan tersebut ekoran kejadian cubaan ragut yang menyebabkan seorang wanita warga emas, Jamariah Ahir, 65, terbunuh selepas motosikal yang diboncengnya ditendang oleh dua penjenayah dalam satu kejadian di Jalan Tuan Haji Said, di sini kelmarin.

"Kami mengecam keras perbuatan itu yang dianggap sebagai khianat yang sangat kejam dan tindakan yang paling tegas perlu dikenakan terhadap dua penjenayah berkenaan.

"Ahli-ahli Pemuda UMNO di negeri ini akan membantu polis dalam usaha memastikan kedua-dua mereka ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan," katanya selepas menziarahi keluarga Jamariah di Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) di Sikamat dekat sini hari ini.

Lebih 10 ahli Pergerakan Pemuda UMNO termasuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rasah, Hassan Datuk Ayop menziarahi keluarga itu untuk menyampaikan sumbangan, memberikan kata-kata semangat dan membacakan tahlil untuk Allahyarham Jamariah.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 3.55 petang kelmarin, Jamariah yang membonceng motosikal yang ditunggang anak perempuannya, Norain Mohd. Yusof, 23, cuba diragut oleh dua suspek yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss.

Mangsa yang bekerja sebagai pencuci pejabat di sebuah bank di bandar ini terjatuh ke jalan raya selepas salah seorang suspek menendang motosikal diboncengnya apabila gagal meragut beg tangannya.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala manakala Norain cedera ringan.

Ridzuan berkata, Pemuda UMNO negeri ini berharap tindakan drastik dapat dilakukan oleh polis bagi menangani jenayah ragut yang menjadi semakin kejam dengan pergerakan itu akan menggerakkan ahli dan jenteranya bagi menjayakan hasrat itu.

Sukarelawan diperlukan bantu JKM kesan golongan miskin

Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST

Awaluddin Said (tengah) bersama Norhayati Omar memotong pulut kuning pada program Kembara Kar1sma peringkat negeri sempena Ulang Tahun JKM Ke-67 dan Sambutan Hari Ibu dan Bapa di Kampung Bongek, Rembau, kelmarin.

REMBAU 17 Nov. - Khidmat tenaga sukarelawan amat diperlukan bagi membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan mana-mana individu atau keluarga yang terlepas pandang untuk diberikan bantuan dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Norhayati Omar berkata, dengan kewujudan golongan sukarelawan akan dapat menjadi penghubung antara masyarakat dan agensi berkenaan.

''Keperluan sukarelawan dalam komuniti ini amat diperlukan untuk menjadi orang perantaraan antara JKM dengan warga emas yang sakit atau keseorangan.

''Mereka ini akan nasihatkan warga emas untuk makan ubat mengikut jadual, menghantar mereka ke hospital, mengingatkan warga emas berkenaan tarikh ke hospital dan sebagainya," katanya dalam program Kembara Kar1sma Peringkat Negeri Sembilan bersempena ulang tahun JKM ke-67 serta Sambutan Hari Ibu dan Bapa di Balairaya Kampung Bongek di sini semalam.

Menurut Norhayati, sukarelawan terpilih itu akan diberi bimbingan dan latihan untuk membuat pelbagai aktiviti selain memberi khidmat bantuan di rumah khususnya kepada warga emas yang kurang sihat dan bersendirian.

Jelasnya mereka yang berminat akan disaring agar kelak tidak timbul permasalahan yang boleh mendatangkan keburukan kepada kerajaan.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Dr. Awaluddin Said tidak menolak kemungkinan masih ada masyarakat yang susah tetapi terlepas pandang untuk diberi bantuan.

Jelasnya yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri, dengan khidmat tenaga sukarelawan itu mereka boleh menjadi mata dan telinga kepada pihak jabatan bagi memantau jika masih terdapat penduduk yang dibelenggu kemiskinan untuk dibantu dengan segera.

''Tidak terkecuali pendidikan anak-anak juga perlu diberi perhatian agar tidak tercicir. Kadang-kadang kita tidak sedar ada anak-anak yang tidak dapat meneruskan pelajaran kerana kesempitan hidup, jadi dengan adanya sukarelawan ini akan dapat menyalurkan maklumat kepada JKM," katanya.

Dalam program tersebut, seramai 120 orang sukarelawan berkonvoi menjalankan aktiviti bergotong-royong dari Madrasah Tuan Haji Ibrahim menuju ke Kampung Bongek dan seterusnya Surau Sri Layang manakala seramai 150 warga emas menerima sumbangan daripada JKM.

Tawar suasana kehidupan kondusif tarik pembeli rumah

Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST

Jalaluddin Alias

SEREMBAN 17 Nov. - Para pemaju perumahan di negeri ini perlu menawarkan suasana kehidupan yang kondusif dan kemudahan asas yang sempurna dalam usaha menjadikan Seremban sebagai 'kediaman kedua' kepada orang ramai yang bekerja di Lembah Klang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteran Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias berkata, antara aspek yang boleh menarik perhatian para pembeli rumah adalah corak kehidupan harmonis yang mampu ditawarkan oleh pemaju.

Beliau berkata, daripada perancangan fizikal hingga kepada prasarana sekeliling serta kualiti penghuni, ia akan menentukan kesejahteraan penduduk dan generasi masa hadapan.

"Maka, amat wajar bagi setiap pemaju bersikap lebih kompetitif dengan menyaingi bentuk perumahan yang dibangunkan di sekitar Lembah Klang supaya jangkauan pemasarannya bukan hanya untuk penduduk tempatan bahkan dari luar Seremban," katanya dalam ucapan perasmian Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) Negeri Sembilan 2013 anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Negeri Sembilan di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Datuk Mohammad Razi Kail.

Yang turut hadir Pengerusi REHDA Negeri Sembilan, S. Sivanyanam.

Sejumlah 1,381 unit rumah pelbagai jenis bernilai kira-kira RM590.8 juta ditawarkan pada ekspo tersebut yang diadakan di pusat membeli belah Terminal 2 selama tiga hari sejak kelmarin.

Sebanyak 15 pemaju perumahan, sebuah bank dan Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah mengambil bahagian dalam ekspo berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved