Isnin, 18 November 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Tangguh cukai taksiran baharu

Posted: 18 Nov 2013 10:34 AM PST

DBKL diminta mempertimbangkan semula cadangan cukai taksiran baharu berikutan bebanan kenaikan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung warga kota.

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta menangguhkan cadangan menaikkan kadar cukai taksiran.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata, pihak berkuasa tempatan itu harus mempertimbangkan beban kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat ditanggung warga kota.

Menurutnya, ini berikutan penghapusan subsidi gula, pengurangan subsidi bahan api dan seterusnya peningkatan harga barang keperluan.

"Jika pihak DBKL terpaksa juga menaikkan kadar cukai tersebut, ia harus dilakukan dengan cara yang tidak terlalu membebankan rakyat, iaitu tidak secara mendadak kadar kenaikannya, "katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Ahmad Fauzi, walaupun terdapat peruntukan dalam undang-undang yang membolehkan DBKL mengkaji dan meningkatkan kadar cukai taksiran setiap lima tahun, pihak berkuasa tempatan itu seharusnya mempertimbangkan kesan kenaikan cukai itu kepada rakyat.

Datuk Ahmad Fauzi Zahari

Beliau berkata, DBKL sepatutnya menumpukan kepada peningkatan kecekapan dalam melaksanakan kerja-kerja kutipan hasil pihak berkuasa tempatan itu.

"Peningkatan kecekapan ini telah berjaya dilaksanakan oleh banyak jabatan kerajaan yang lain .

"Sebagai contoh, Jabatan Hasil Dalam Negeri berjaya meningkatkan kutipan cukai saban tahun dengan kadar yang sama seperti tahun sebelumnya, malah boleh diturunkan lagi kadar cukainya,"katanya.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata cadangan untuk menaikkan kadar cukai taksiran pintu sekitar ibu kota mengikut nilai hartanah semasa adalah wajar dan bukan bertujuan membebankan rakyat.

Beliau berkata, ini kerana sudah 21 tahun cukai itu tidak dinaikkan.

Bagaimanapun, Tengku Adnan berkata, kementerian itu hanya akan membuat keputusan muktamad berhubung kadar cukai baharu selepas mendapat maklum balas penduduk sebelum 17 Disember ini.

Perkara itu juga akan dibincang dengan kesemua 13 wakil rakyat Wilayah Persekutuan pada 21 November ini.

Banjir kilat ancam keselamatan

Posted: 18 Nov 2013 10:34 AM PST

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com

KEsan lumpur masih kelihatan di tempat letak kereta berhampiran PPR Muhibbah, Jalan Puchong, di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/JEFFRI IRAN.

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Derita yang ditanggung penghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah di sini bagaikan tiada titik noktah.

Daripada masalah kebocoran paip air, diancam kenderaan berat yang keluar masuk menggunakan laluan utama sehinggalah kebimbangan mengenai masalah sosial yang didakwa berpunca daripada unit-unit kosong di kawasan perumahan di situ.

Terbaharu, penduduk menyuarakan pula kebimbangan mereka mengenai banjir kilat yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.

Penduduk mendakwa masalah banjir kilat itu bukanlah baru sebaliknya sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu.

Namun kejadian hujan lebat pada petang Jumaat lalu dianggap kejadian paling buruk berlaku apabila jalan dan tempat letak kereta di kawasan perumahan itu dinaiki air sedalam tiga kaki.

Akibat kejadian itu, penghuni terpaksa menanggung kerugian apabila kenderaan mereka ditenggelami air dan rosak teruk.

Penduduk mendakwa banjir kilat tersebut berpunca daripada projek-projek pembangunan yang sedang rancak dijalankan di situ selain kegagalan pihak bertanggungjawab menyelenggara sistem saliran dan perparitan.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan perumahan kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu hari ini mendapati dakwaan penduduk berasas apabila kesan lumpur masih memenuhi persekitaran .

Mohd. Zairi Rasidi Abd. Hadi (dua dari kanan) bersama penduduk PPR Muhibbah menunjukkan lokasi jalan yang sering dilanda banjir kilat sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk.

Turut kelihatan sampah sarap, dahan kayu dan ranting pokok memenuhi longkang perumahan itu.

Penduduk Chong Yin Kum, 38, berkata, dia terpaksa mengeluarkan kos sebanyak RM1,000 untuk membaiki keretanya yang rosak akibat banjir kilat.

"Kejadian tersebut benar-benar tidak boleh dilupakan.

"Saya berharap pihak bertanggungjawab melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah banjir kilat ini bagi memastikan ia tidak berulang lagi," katanya.

Turut berkongsi perasaan Dahari Saidin, 40.

Katanya, belumpunmasalah kenderaan berat yang selama ini menghantui penduduk diselesaikan, masalah banjir kilat pula terpaksa dihadapi.

"Kami mencadangkan pihak bertanggungjawab segera turun padang dan menyelesaikan isu-isu yang membelenggu penghuni selama ini," katanya.

Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan Sosial PPR Kampung Muhibbah Fasa Dua, Mohd. Zairi Rasidi Abd. Hadi pula berkata, pihak DBKL dan pemaju perlu mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah itu.

Menurutnya, aduan telah dikemukakan beberapa kali kepada pihak bertanggungjawab, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

"Kami merayu agar pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan demi keselesaan dan keselamatan penghuni," katanya.

DBKL bersih parit dipenuhi bangkai ikan

Posted: 18 Nov 2013 10:34 AM PST

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Kebimbangan penduduk Taman Teratai Mewah, Setapak, di sini berhubung parit berhampiran kawasan kediaman mereka yang dipenuhi bangkai ikan sehingga menimbulkan bau busuk dan mencemarkan persekitaran berakhir.

Ini berikutan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di parit berkenaan pada 10 November lalu.

Pengerusi MCA Bahagian Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look, berkata, pihaknya mendapat aduan daripada penduduk mengenai ikan mati yang memenuhi parit di kawasan itu kira-kira seminggu lalu.

"Ekoran dari itu pihak kami terus memaklumkan perkara tersebut kepada DBKL untuk tindakan selanjutnya.

"Tidak sampai 24 jam aduan, pihak DBKL segera menyelesaikan masalah tersebut," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja bersama DBKL ke kawasan tersebut di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya berterima kasih kepada DBKL kerana tidak menangguhkan aduan penduduk dan segera menyelesaikan masalah tersebut.

Sementara itu, wakil DBKL berkata, pihaknya dimaklumkan ikan-ikan mati tersebut dihanyutkan dari tasik berdekatan.

"Ikan-ikan tersebut dihanyutkan dari tasik berkenaan akibat daripada hujan lebat yang berlaku pada masa itu.

"Namun DBKL mengambil inisiatif dengan membersihkan parit tersebut dengan segera bagi memudahkan air mengalir dan mengurangkan bau busuk," katanya.

Tambahnya, pihaknya menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan berkenaan tiga hari seminggu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved