Isnin, 18 November 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Tuanku Muhriz berkenan lawat KLIMS13

Posted: 18 Nov 2013 12:23 AM PST

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan melawat Pameran Kenderaan Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 (KLIMS) di sini hari ini.

Baginda tiba di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 11 pagi dan dibawa melawat Dewan Tun Razak 1 untuk menyaksikan pelbagai pameran kenderaan yang ada ketika ini.

Turut hadir pada lawatan diraja itu ialah Presiden Persatuan Automobil Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad.

Tuanku Muhriz turut menghabiskan masa melawat pameran kenderaan vintaj Amerika Syarikat di Dewan Tun Razak 4 yang mana baginda tertarik dengan kereta klasik Ford Mustang 65 Fastback yang turut mahu dijual.

Sementara itu, Aishah turut menjelaskan, sehingga semalam, pengunjung ke KLIMS13 mencecah 35,000 pengunjung di mana lebih 8,000 pengunjung mengunjungi pameran itu pada hari pertama ia dibuka kepada orang awam.

"Walaupun semalam kami menghadapi masalah teknikal tiada bekalan elektrik sehingga 1 petang namun ia tidak menghalang pengunjung hadir ke KLIMS13 melawat pameran yang memaparkan pelbagai kereta terbaharu dan kereta konsep daripada pempamer," katanya di sini hari ini.

Kata beliau, masalah bekalan elektrik semalam hanya melibatkan Dewan Tun Razak 2, 3, 4 dan kaunter tiket sahaja dan sekitar 1 petang semua bekalan berjaya dipulihkan dan pengunjung dibenarkan masuk pada 2 petang.

Hari ini, selain program lawatan Tuanku Muhriz, turut diadakan adalah kunjungan para selebriti termasuk Altimet, Bon Zainal, Fizo Omar, Jehan Miskin, Nadine Ann Thomas dan Thanuja Ananthan.

KLIMS13 berlangsung sehingga 24 November ini dan dibuka dari 11 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Pengunjung dikenakan bayaran RM15 pada hari biasa dan RM20 pada hari minggu manakala kanak-kanak bawah 12 tahun, RM5.

Turut disediakan pakej keluarga (ibu bapa dan lima anak 12 tahun ke bawah) dengan bayaran RM30 pada hari biasa dan RM40 untuk hari minggu.

Maklumat lanjut mengenai KLIMS13 boleh dilawati di www.klims.com.my atau layari Utusan Live - KLIMS13@Utusan di http://bit.ly/klims13. - UTUSAN ONLINE

Comango: MuslimUPRo hantar memorandum kedua kepada PM

Posted: 18 Nov 2013 12:17 AM PST

Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

KUALA LUMPUR 18 Nov - Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) akan menghantar memorandum kedua berkaitan tuntutan Gabungan NGO- NGO Hak Asasi Manusia (Comango) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

Ahli deligasi, Nasharuddin Mat Isa berkata, memorandum itu berdasarkan pengalaman dan pemerhatian MuslimUPRo sepanjang berada di Geneva, Switzerland bagi memantau tuntutan Comango dalam proses semakan berkala sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland ke atas Malaysia yang memasuki pusingan kedua pada 24 Oktober lalu.

"Kita telah menghantar memorandum pertama kepada Perdana Menteri sebelum ini, ada satu lagi memorandum selepas pengalaman di Geneva untuk diberi kepada kerajaan.

"Antara lain kita akan mencadangkan penubuhan pasukan khas ke Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) bagi menangani isu Islamophobia dan isu hak asasi manusia yang terkeluar dari landasan Islam," kata Nasharuddin dalam Taklimat Pasca Proses UPR di Institut Kefahaman Islam Malaysia hari ini.

Taklimat itu dirasmikan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim), Dr. Asyaf Wajdi Dasuki dan antara ahli panel termasuk Ketua Deligasi MuslimUPRo, Azril Mohd Amin dan anggota deligasi, Adzly Ab. Manas.

Sementara itu, Dr. Asyaf Wadji berkata, berdasarkan tuntutan yang dibuat, Comango boleh dianggap sebagai 'penyangak' negara.

"Tuntutan mereka ini memberi mesej yang salah dan menyimpang kepada hak asasi dan kenegaraan Malaysia. Seharusnya tindakan tegas diambil terhadap kelompok ini. Kita bersedia untuk duduk semeja dengan mereka dan memberitahu kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan dalam tuntutan tersebut," kata Dr. Asraf Wajdi.

Comango antara lain menuntut agar diberikan kebebasan kepada kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan kesamarataan beragama di Malaysia. - UTUSAN ONLINE

Angkasa sasar 500 koperasi bayar zakat tahun depan

Posted: 17 Nov 2013 11:55 PM PST

ALOR SETAR 18 Nov. - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan kira-kira 500 koperasi yang berdaftar di bawahnya membayar zakat perniagaan mereka tahun depan.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini, sebanyak 334 daripada 10,800 keseluruhan anggota koperasi, mengeluarkan zakat kira-kira hampir RM2 juta selepas mengikuti pelbagai program anjuran Angkasa.

Katanya, pada 2011, hanya 38 koperasi mengeluarkan zakat perniagaan berjumlah kira-kira RM1 juta kerana rata-rata koperasi tidak mempunyai pendedahan dan kesedaran mengenai pembayaran zakat.

"Kita ada pelbagai program seperti Bengkel Penyelarasan Zakat dan Cukai tahun ini dan hari ini kita lihat koperasi sekolah pun dah mula keluarkan zakat," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan zakat perniagaan Angkasa kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, di Istana Anak Bukit di sini Isnin.

Abdul Fattah berkata, bagi koperasi yang mempunyai masalah menguruskan zakat, Angkasa akan membantu dalam semua pengiraan zakat pendapatan dan saluran untuk menyerahkan zakat itu.

Pada majlis tersebut Angkasa menyerahkan zakat perniagaan RM57,341 kepada Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) dan RM69,205 kepada Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ). - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved