Ahad, 8 Disember 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Persatuan kesal gerai diroboh MPPP

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

ZAHRAH Abd. Wahab Fenner (kiri) beramah mesra dengan para peserta Kursus Pemantapan Penjaja Dan Peniaga Kecil 2013 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.

PERMATANG PAUH 7 Dis. - Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Pulau Pinang kesal dengan tindakan kerajaan negeri mengarahkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) merobohkan gerai peniaga kecil di Persiaran Gurney di sini, Rabu lalu.

Yang Dipertuanya, Datuk Zainal Abidin Abd. Majid berkata, kerajaan negeri sepatutnya berbincang dahulu dengan persatuan untuk mencari jalan penyelesaian sebelum meroboh gerai yang kebanyakannya diusahakan oleh peniaga Melayu.

Menurutnya, pihak persatuan pernah menghantar bantahan kepada kerajaan negeri berhubung tindakan ke atas peniaga di negeri ini sejak 2009, tetapi tidak mendapat layanan sewajarnya.

"Kerajaan negeri sepatutnya memanggil persatuan untuk berbincang sebelum mengeluarkan notis meroboh gerai peniaga kecil di negeri ini," katanya selepas majlis perasmian Kursus Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil 2013 peringkat negeri di Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Zahrah Abd. Wahab Fenner.

Dalam kejadian Khamis lalu, dua peniaga kecil di Persiaran Gurney di sini berang apabila gerai makan mereka dirobohkan penguat kuasa MPPP tanpa sebarang notis pemberitahuan awal.

Mereka mendakwa, kira-kira pukul 10.30 pagi sekumpulan kakitangan MPPP datang dan merobohkan gerai tersebut yang beroperasi sejak 20 tahun lalu.

Zainal Abidin berkata, ini membuktikan sikap tidak prihatin kerajaan negeri terhadap peniaga terutama kalangan Melayu di negeri ini.

Katanya, walaupun tindakan merobohkan gerai merupakan bidang kuasa kerajaan negeri, tetapi masalah tersebut boleh diatasi dengan perbincangan.

"Kita sedia membantu peniaga terbabit iaitu menjadi perantara dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi itu," ujarnya.

Terdapat lebih 10,000 peniaga dan penjaja menjadi ahli persatuan itu di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau berharap mana-mana peniaga dan penjaja yang belum menjadi ahli persatuan dapat berbuat demikian supaya masalah yang mereka hadapi dapat dibantu.

Beri ganjaran atlet berhenti merokok

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusanperlis@utusan.com.my

ARAU 7 Dis. - Pemberian ganjaran kepada atlet yang berjaya menghentikan tabiat merokok merupakan antara cadangan terbaik dalam usaha membudayakan sukan dengan kehidupan lebih sihat di negara ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, cadangan itu boleh membuktikan bahawa atlet dapat mencapai prestasi cemerlang tanpa terlibat dengan aktiviti merokok.

"Begitu juga dengan menjadikan kawasan atau gelanggang sukan sebagai tempat larangan merokok bagi menggalakkan aktiviti bersukan yang bebas daripada rokok," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika majlis penutupan Forum Sukan Tanpa Rokok 2013 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis dengan kerjasama Kelab Media Perlis (KEMPs) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Rektor UiTM Perlis, Prof. Datuk Dr. Ahmed Redzuan Abd. Rahman.

Faizuddin bertitah, kempen sukan tanpa rokok perlu ditingkatkan kerana statistik terkini amat membimbangkan apabila jumlah perokok meningkat sehingga mencapai 4.7 juta orang pada tahun lalu berbanding 3.1 juta orang (2007).

"Tinjauan Kementerian Kesihatan pada 2012 mendapati lebih 40 peratus atau 4.7 juta lelaki dewasa merupakan perokok manakala dalam kalangan wanita kurang daripada satu peratus.

"Sebanyak 35 peratus kematian di hospital turut dikaitkan dengan penggunaan tembakau berdasarkan anggaran 10,000 penduduk Malaysia meninggal dunia akibat menghisap tembakau setiap tahun," titah baginda.

Menurut baginda, terdapat pelbagai kesan yang mempengaruhi seseorang ahli sukan akibat amalan merokok, antaranya menjejaskan kecergasan serta metabolisme badan, memberikan kesan buruk kepada tubuh badan terutama yang berkaitan jantung dan paru-paru.

"Ini juga menimbulkan ketagihan dan mengurangkan konsentrasi semasa latihan mahupun perlawanan dan memberikan imej kurang baik kepada peminat sukan terutama dalam kalangan kanak-kanak," titah baginda.

Sehubungan itu, titah baginda, kempen sukan tanpa rokok perlu ditingkatkan melalui semua bentuk media sama ada cetak mahupun elektronik.

"Perlu juga diadakan lebih banyak bengkel kesedaran secara bersepadu dan bertali arus tentang sukan tanpa rokok kepada ahli sukan, pengurus pasukan, jurulatih dan pentadbiran yang berkaitan badan sukan," titah baginda.

SADC teruskan tradisi agih bantuan persekolahan

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

IPOH 7 Dis. - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) meraikan 731 anak-anak kakitangannya dengan menaja kelengkapan sekolah menerusi Program Pemberian Bantuan Persekolahan SADC.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Rizal Abdul Rahman berkata, kesemua pelajar itu diperuntukkan RM250 setiap seorang bagi membeli barangan keperluan persekolahan masing-masing.

Katanya, program yang masuk tahun kedua itu bertujuan membantu mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa dalam menguruskan keperluan anak-anak mereka bagi memulakan sesi persekolahan akan datang.

''Pemberian bantuan persekolahan ini ternyata memberikan kelegaan dan keselesaan kepada ibu bapa khususnya kakitangan SADC kerana beban perbelanjaan mereka untuk menyediakan persiapan persekolahan anak-anak dapat diatasi.

''Program ini telah berjalan selama dua tahun dan kita akan meneruskan tradisi ini bagi tahun-tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyampaian bantuan tersebut di Pasar Raya Mydin di Meru Raya di sini kelmarin.

Sementara itu, mengulas mengenai perancangan SADC bagi tahun hadapan, beliau berkata, pihaknya akan lebih menumpukan kepada usaha menggembleng tenaga untuk produk-produk sedia ada.

Katanya, SADC juga akan turut memajukan sektor pelancongan dengan mewujudkan kolam memancing di Ladang Intergrasi Agro Tourism Sungai Galah untuk kemudahan pengunjung luar dan penduduk setempat.

''Ladang Intergrasi Agro Tourism Sungai Galah ini telah pun dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir namun belum bermula sepenuhnya.

''Kita berharap pada tahun hadapan, kawasan ini akan dijadikan sebagai pusat sehenti dengan penghasilan produk-produk segar yang dikeluarkan terus dari ladang," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved