Ahad, 8 Disember 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Perkasakan agenda Islam UMNO

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

DATUK Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 secara berterus terang meminta ahli-ahli parti itu supaya tidak lupa untuk memakmurkan masjid dan surau.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi membolehkan ahli-ahli UMNO mendekati ramai golongan muda dan yang berpencen yang kini beralih arah untuk kembali mendalami ajaran agama dan beribadat.

"Sekarang ini kita dapati gelombang di mana orang-orang muda dekat kepada agama. Ia juga berlaku kepada orang yang dah pencen, yang mula berjinak-jinak dengan surau dan masjid.

"Justeru, ahli-ahli UMNO rajin-rajinlah mendekati golongan ini. Eloklah juga ramai-ramai memakmurkan masjid dan surau," kata Najib dalam ucapan dasar berkenaan.

Segala saranan Najib itu adalah sebahagian daripada transformasi yang perlu dilaksanakan oleh ahli-ahli UMNO bagi memastikan parti itu terus relevan dan menjadi peneraju kepada hala tuju negara.

Saranan yang dibuat memang kena pada masanya, kerana pada masa kini hanya Pas yang dilihat menjadi juara untuk menarik para jemaah di masjid dan surau supaya menyokong parti itu. Masjid besar dan cantik yang dibina kerajaan UMNO digunakan Pas sepenuhnya untuk menyebarkan dakyah supaya jemaah membenci kerajaan.

Isu utama yang sering digunakan oleh penceramah Pas sama ada ketika khutbah Jumaat atau kuliah-kuliah agama yang diadakan di situ adalah kerajaan UMNO tidak melaksanakan undang-undang Islam.

Bagi mereka UMNO telah menentang Allah SWT apabila mengambil undang-undang ciptaan manusia yang digubal oleh Suruhanjaya Lord Reid. Segala dakyah itu ternyata berjaya menarik sokongan sehingga membuatkan sebahagian umat Islam tidak lagi mengiktiraf sumbangan UMNO dalam menegakkan syiar Islam yang berasaskan kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.

Mereka menidakkan segala apa yang disebut Najib dalam ucapan dasarnya itu, iaitu hasil jasa UMNO, Islam di Malaysia kini termaktub sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

Atas inisiatif UMNO jugalah pengamalan Islam di negara ini bersifat meluas merangkumi bukan sahaja bidang ibadah tetapi juga munakahat, muamalah dan jinayah.

Kata Najib, dari sudut iktisas, 24 institusi kewangan Islam di negara ini berada dalam kelompok 100 yang terbesar di dunia.

Walaupun banyak jasa UMNO dalam menegakkan syiar Islam, peranan itu ditidakkan oleh Pas semata-mata kerana tidak melaksanakan undang-undang Islam.

Ironinya Pas sendiri melengah-lengahkan pelaksanaan undang-undang Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 iaitu hukum hudud walaupun ia mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian.

Mengulas saranan Najib berkenaan, bekas Felo Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd. Roslan Mohd. Saludin berkata, langkah itu akan menyekat Pas daripada meneruskan propaganda mereka di masjid dan surau.

Menurut beliau, langkah memakmurkan masjid dan surau berkenaan tidak harus dibuat semata-mata kerana bagi memenuhi tuntutan transformasi dalam UMNO.

"Ia dibuat kerana itu adalah tuntutan dalam ajaran Islam sendiri yang selama ini mungkin telah terlepas pandang oleh ahli-ahli UMNO. Dengan kembalinya ahli UMNO secara beramai-ramai ke masjid dan surau ia akan dapat menghalang institusi berkenaan digunakan oleh Pas untuk menyebarkan dakyah mereka," katanya yang juga seorang penganalisis politik.

Tambah Mohd. Roslan, beliau bersetuju dengan kenyataan Najib bahawa UMNO yang banyak memperjuangkan syiar Islam di negara ini.

"Pas minta UMNO ditolak kerana tidak melaksanakan hukum Islam seperti hudud, tetapi akhirnya dia sendiri tidak melaksanakan walaupun telah memerintah Kelantan selama puluhan tahun. Ini kerana Pas akhirnya sedar sebelum undang-undang Islam dilaksanakan, rakyat perlu diberi pendidikan dan kefahaman terlebih dahulu untuk menerimanya," ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohd. Roslan turut menyambut baik cadangan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2013 supaya Pendidikan Islam Sepanjang Hayat dijadikan dasar utama negara.

Dasar baharu itu akan membolehkan gerakan dakwah dan tarbiyah diperhebatkan dan institusi-institusi agama Islam seperti sekolah pondok dan maahad tahfiz diperkukuhkan.

"Saya melihat usaha ini akan dapat memastikan hanya ajaran Islam yang sebenar yang diajar di sekolah pondok dan maahad tahfiz. Saya lihat UMNO sebelum ini tidak terlalu memberi penekanan kepada institusi berkenaan, sebab itu Pas mudah untuk menyebarkan dakyah mereka di sana.

"Perkara sama berlaku di luar negara apabila institusi berkenaan menjadi lubuk kepada fahaman ekstremis dan pengganas kerana kerajaan tidak membawanya masuk ke aliran pendidikan arus perdana," katanya.

Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kader Talib menyambut baik langkah UMNO untuk menarik penceramah agama, Mohammad Kazim Elias dan bekas Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Dr. Asyraf Wajdi Dasuki untuk bersama parti itu.

"Walaupun Ustaz Kazim menolaknya, kita berharap akan ada penceramah lain yang akan dilantik untuk bersama-sama dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO," katanya.

Beliau berkata, tradisi UMNO yang mesra dengan orang agama bukanlah sesuatu yang baharu kerana sejak zamannya lagi perkara tersebut telah dilaksanakan.

"Tugas para ahli agama ini adalah memberi nasihat dan idea-idea baharu bagi membolehkan syiar Islam terus dimantapkan di negara ini," ujarnya.

Nampaknya Najib telah menggaris secara jelas transformasi yang perlu dilakukan oleh ahli-ahli UMNO dalam meningkatkan syiar Islam. Sudah sampai masanya parti itu berada di barisan depan dalam program-program yang bercorak Islam. Jangan beri ruang kepada Pas terus menyebarkan dakyah songsang dan fahaman Islam liberal mereka.

Penyatuan orang Melayu demi Islam

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

PENYATUAN Melayu dan berjuang demi Islam menjadi agenda paling utama kepada parti selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2013 Sabtu lalu. Selagi orang Melayu bersatu, selama itu UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menang. Kepada wartawan Utusan Malaysia, Faizah Izzani, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkongsi rahsia bagaimana penyatuan orang Melayu dan Islam melalui UMNO akan memastikan kaum majoriti itu terus kuat dan utuh di bumi sendiri.

UTUSAN : Apakah hasil dan harapan yang boleh diperoleh pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 untuk syiar Islam di negara ini?

IDRIS: Dalam ucapan dasar, Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan dengan jelas bahawa Islam bukan sahaja akan dipelihara, malah akan sentiasa memperkasa maruah dan martabatnya. Usaha akan dibuat secara berterusan tanpa apa-apa had atau sekatan. Ringkasnya, UMNO berani dan nekad untuk meletakkan Islam di persada setinggi-tingginya di Malaysia dengan sokongan kaum lain yang tidak pernah kita larang daripada mengamalkan agama masing-masing. Seorang Islam yang baik adalah seorang jiran atau rakan yang lebih baik untuk penganut agama lain.

Untuk Melayu pula, apakah kemajuan atau pembangunan yang boleh dinanti-nantikan oleh kaum majoriti ini?

Tidak ada cara terbaik untuk menolong orang Melayu melainkan dengan menguatkuasakan seluas-luasnya ajaran dan nilai Islam. Islam menyeru kepada ibadah sambil menyuruh kepada ekonomi iaitu sembilan daripada sepuluh rezeki adalah dalam perniagaan dan kongsi keuntungan dengan orang lain selain berzakat dan sedekah kepada orang yang kurang bernasib baik. Islam juga menyuruh kepada peradaban sosial, menjadi ummah yang budiman dengan menghormati sesama bangsa sendiri dan terhadap kaum lain. Keperluan dunia dan bekalan akhirat wajib diseimbangkan.

Di peringkat parti pula, apakah yang perlu dilakukan supaya UMNO kembali kepada tujuan asal penubuhannya?

Yang paling penting, UMNO perlu sentiasa kuat bersatu hati dan pemikiran. Ahli UMNO akan digerakkan segera untuk menarik lebih ramai ahli terutama golongan muda supaya sebarang kebaikan yang kita dapatkan untuk orang Melayu, boleh diagihkan secara serta-merta dan kepada lebih ramai orang Melayu. Tidak perlu tunggu jabatan atau kementerian, parti akan membantu dan menyelesaikan sendiri masalah ahli-ahlinya. Bilangan ahli adalah lambang kekuatan sesebuah parti politik.

Sebelum ini, Datuk Seri menggemparkan seluruh negara apabila mengumumkan memaafkan orang Cina yang tidak mengundi calon BN sebangsa mereka sendiri pada PRU ke-13, sebaliknya mengundi calon parti pembangkang.

Rasullulah SAW pernah memaafkan orang yang cuba membunuhnya. Berkatnya ialah orang kafir itu terus memeluk Islam kerana melihat kemuliaan budi pekerti Baginda. Adakah kita tidak mahu memaafkan kaum Cina yang silap memilih parti? Atau adakah kita hanya akan berbuat demikian sehari sebelum hari mengundi dengan harapan mereka akan kembali mengundi BN pada PRU ke-14? Jika mereka mengaku telah melakukan kesilapan, kita maafkan. Jika mereka mengaku sengaja melakukan perkara itu, secara tidak langsung menunjukkan kemungkinan mereka mengulanginya, kita tidak perlu maafkan mereka. Dengan itu sekuranya-kurannya kita akan menjadi lebih arif hati budi kaum itu sekarang dan kita dapat merangka strategi yang lebih tepat untuk menang PRU ke-14.

Setakat perkembangan terkini selepas Pemilihan UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO, apakah peluang BN untuk kembali mencapai kemenangan besar?

BN menang besar atau sebaliknya, akan ditentukan oleh orang Melayu sendiri. Selagi Melayu bersatu, selama itulah UMNO dan BN akan menang. Kita menang dalam PRU ke-13 kerana ramai orang Melayu sudah mula kembali ke pangkuan UMNO. Menerusi pemilihan UMNO dimana sesiapa yang cukup syarat mudah, boleh bertanding sebarang jawatan hingga ke kerusi Presiden dan seramai lebih 140,000 ahli memilih, kita telah menunjukkan kepada semua kaum lain di Malaysia, malah di seluruh dunia bahawa UMNO adalah pengamal terbaik demokrasi tulen. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 ini pula kita buktikan kejujuran berbahas mengenai Melayu dan kaum lain secara terbuka dan disiarkan oleh semua media tempatan dan asing tanpa suntingan atau sekatan oleh UMNO.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved