Ahad, 8 Disember 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Segera naik taraf - Ahmad Fauzi

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Fauzi Zahari melihat tangkapan yang diperoleh peserta Pertandingan Memancing Parlimen Setiawangsa di Tasik Taman Seri Rampai semalam.

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta supaya segera menaik taraf Tasik Taman Seri Rampai di Setiawangsa bagi menarik lebih ramai pengunjung beriadah di situ.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata, beliau dimaklumkan DBKL bercadang menaik taraf tasik tersebut bermula pertengahan tahun depan, tetapi pihaknya meminta agar projek itu dipercepatkan.

"Saya rasa tempoh naik taraf pada pertengahan tahun depan itu agak lewat kerana jika kita lihat kini keadaan kawasan tasik ini agak suram dan tidak meriah seperti taman-taman awam yang lain. Penambahan seperti kawasan permainan kanak-kanak dan tempat senaman perlu diwujudkan segera.

"Difahamkan kos bagi menaik taraf keseluruhan kawasan tasik ini berjumlah RM4.5 juta. Saya harap jumlah tersebut dapat mengubah keadaan tasik ini kepada yang lebih baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Memancing Parlimen Setiawangsa di tasik itu hari ini.

Pertandingan itu dianjurkan dengan kerjasama Pasukan Pemantau Pencemaran Alam Sekitar dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurutnya, selain menaik taraf Tasik Taman Seri Rampai, lombong di Taman Kejiranan Air Panas juga perlu dinaik taraf bagi kemudahan penduduk di Parlimen Setiawangsa untuk beriadah bersama keluarga.

"Selain itu lampu-lampu jalan sedia ada di kawasan tasik ini yang tidak berfungsi juga perlu diberi perhatian oleh DBKL.

"Apabila lampu tidak berfungsi, kawasan menjadi gelap dan secara tidak langsung mengundang aktiviti yang tidak bermoral," ujarnya.

Mengulas mengenai pertandingan memancing, Ahmad Fauzi berkata, ini merupakan acara tahunan pihaknya dalam mengeratkan silaturahim antara masyarakat setempat selain sebagai satu pendekatan untuk mendekati rakyat.

Pertandingan memancing itu bermula pada pukul 7 pagi dan berakhir 1 petang.

Tempat pertama dimenangi oleh Iman Ahmat, 35, yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000, kedua Othman Ahmad, 55, untuk meraih RM1,000 dan ketiga, Mohd. Shaffiq Zainon, 18, yang menerima RM500. Ketiga-tiga pemenang turut menerima mesin memancing jenama Penn.

Sebanyak 10 peserta terbaik lain menerima hadiah saguhati berupa hamper. Hamper turut diberi kepada tiga peserta yang menangkap ikan paling kecil, ikan ternipis dan menangkap lain dari yang lain iaitu udang.

Sempena pertandingan itu, penganjur turut membuka gerai jualan barang-barang keluaran industri kecil dan sederhana (IKS) dan pameran serta keahlian Pasukan Pemantau Pencemaran Alam Sekitar.

Kadar cukai ditentu selepas bantahan diteliti

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Kadar baharu cukai taksiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya akan ditentukan selepas panel yang dilantik DBKL selesai meneliti semua bantahan yang diterima.

Tempoh bantahan akan tamat pada 17 Disember ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar) berkata, panel itu akan meneliti setiap bantahan dan sebarang keputusan yang akan dilakukan atas budi bicara DBKL sebelum dikuatkuasakan 1 Januari depan.

Katanya, kadar baharu itu pastinya tidak akan membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah serta penghuni Projek Perumahan Rakyat.

"Tunggu saya buat keputusan selepas panel yang kita lantik meneliti semua bantahan yang diterima. Keputusan kita rasional yang tidak akan bebankan rakyat," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kembali ke Sekolah dan majlis pecah tanah Pejabat UMNO Bahagian Batu di sini, hari ini.

Sebanyak 450 pelajar menerima bantuan peralatan sekolah dan wang tunai sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan pada majlis yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani.

Tengku Adnan berkata, selama 21 tahun kerajaan tidak menyemak kadar cukai taksiran namun kadar baharu yang akan ditentukan kelak tidak akan menindas rakyat kerana cadangan itu mengambil kira beberapa keperluan khusus bagi kemudahan penghuni kota.

Setakat 5 Disember lepas, DBKL telah menerima 10,000 surat bantahan berhubung kenaikan tersebut sejak mengeluarkan notis pada pertengahan November lepas kepada lebih 500,000 penghuni kota dengan 56 peratus membabitkan pemilik premis komersial.

LEP: Prasarana harap penyelesaian segera

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Kurangnya kerjasama diberikan oleh pihak pengurusan sebuah sekolah di Puchong telah menyebabkan kerja-kerja dalam projek penyambungan jajaran transit aliran ringan (LEP) berdekatan premis itu tergendala sejak 2011.

Keengganan pihak pengurusan sekolah itu memberikan kerjasama menyebabkan pemilik projek LEP, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) menghadapi jalan buntu walaupun pelbagai usaha telah dilakukan termasuk persetujuan dari pelbagai pihak bagi meneruskan projek tersebut.

Naib Presiden Kanan Komunikasi Kumpulan Prasarana, Azhar Ghazali berkata, status projek tersebut disifatkan sebagai tergendala sedangkan perlu diteruskan kerana projek infrastruktur nasional ini bagi meningkatkan mobiliti di Lembah Klang dan negeri Selangor.

"Walaupun telah mendapat kebenaran untuk meneruskan projek tetapi sehingga kini pihak kontraktor kami dan para pekerja LEP masih terus menunggu di luar perkarangan kawasan Sekolah Rendah Kebangsaan (Tamil) Castlefield, Puchong (yang pihak pengurusannya) tidak membenarkan kami memasuki kawasan mereka untuk projek ini diteruskan," katanya dalam kenyataan akhbar.

Azhar berkata, sejak 14 Oktober 2011, Jabatan Pelajaran Selangor (JPS) sudah memberi kebenaran kepada LEP menjalan kerja di situ dengan mensyaratkan penyediaan alat penyaman udara dan penghadang bunyi dipasang bagi mengurangkan gangguan ke tahap paling minimum kepada perjalanan pembelajaran sekolah.

"Namun, apabila kontraktor sudah bersedia untuk memasuki kawasan kerja mereka, yang melibatkan satu jajaran sepanjang kira-kira 200 meter yang menyusur pinggir padang sekolah berkenaan, pihak Lembaga Sekolah mengubah pendirian dengan membuat satu permohonan baharu pada 14 Disember 2011 untuk (sekolah itu) dipindahkan ke kawasan baharu," katanya.

Tambah beliau, pihak sekolah turut menutup pintu masuk dan menghalang kontraktor daripada memulakan kerja.

Sejak itu projek LEP di situ tidak dapat diteruskan setelah pelbagai usaha lain selepas itu juga menemui jalan buntu, ujar beliau.

Katanya, antara usaha itu termasuklah Prasarana membuat keputusan pada 21 Februari 2012 untuk memindahkan sekolah berkenaan ke lokasi baharu.

"Sekolah berkenaan mahu dipindahkan ke kawasan seluas tiga ekar di sebelah tapak baharu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Cina Kheng Cheng di Lot 433, Taman Wawasan, Puchong namun SRK Tamil Castlefield enggan berkongsi tapak dengan sekolah berkenaan.

"Malah pihak sekolah itu meminta supaya SRK Cina Kheng Cheng dipindahkan ke kawasan lain dan keseluruhan tapak seluas enam ekar itu diperuntukkan secara eksklusif kepada mereka," katanya.

Sepanjang tempoh itu, kata Azhar, mereka tiada pilihan selain daripada terus menunggu, sekali gus menyebabkan pembaziran masa dan pertambahan kos kerana penangguhan kerja.

"Ini turut bermakna penantian yang lebih lama kepada penduduk termasuk di Putra Heights, Bandar Kinrara, Projek Perumahan Bukit Jalil dan di Puchong sendiri yang mahukan infrastruktur pengangkutan awam ini diwujudkan untuk kemudahan mereka secepat mungkin," katanya.

Berdasarkan perancangan, jelas beliau, projek LEP dijadualkan siap pada awal 2016 dengan perkhidmatan sistem transit aliran ringan (LRT) dimantapkan dengan menambah tren-tren baru enam gerabak untuk Laluan LRT Ampang dan empat gerabak untuk Laluan LRT Kelana Jaya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved