Ahad, 8 Disember 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


NS bersedia sambut Kempen TMM 2014

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

SEREMBAN 7 Dis. - Lebih 300 para penggiat industri pelancongan di negeri ini akan menghadiri Negeri Sembilan Tourism Conference 2014 kali kelima di Klana Resort dekat sini, Isnin ini.

Program anjuran Pejabat Tourism Malaysia Negeri Sembilan itu adalah sebahagian daripada persediaan menyambut Kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Menurut kenyataan pejabat berkenaan, objektif utama penganjuran persidangan itu adalah untuk menyampaikan hasrat kerajaan negeri dalam menggiatkan promosi yang akan dilaksanakan di negeri ini sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Ini sejajar dengan usaha untuk mencapai peningkatan sasaran ketibaan pelancong sebanyak lima juta orang dan jumlah pendapatan daripada sektor pelancongan," kata kenyataan itu.

Majlis perasmian persidangan itu akan disempurnakan Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof yang akan turut menyampaikan taklimat pada sesi petang.

Taklimat juga akan disampaikan oleh beberapa agensi seperti Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2014 dan taklimat khas produk pelancongan Muzium Tentera Darat Port Dickson.

Beberapa produk pelancongan akan turut membuka gerai pameran sepanjang majlis berlangsung.

Antaranya Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan negeri; produk industri kecil dan sederhana seperti daging salai, gula enau, rendang pucuk ubi Maklong Timah; NS Galleria Chocolate World; Hospital KPJ Seremban dan Ladang Alam Warisan.

Kolokium sejarah Kampung Bangkahulu

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

SEREMBAN 7 Dis. - Kerajaan negeri melalui Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) akan mengadakan Kolokium Sejarah Kampung Bangkahulu pada Selasa ini bertempat di Balai Raya Kampung Bangkahulu, Gemas.

Pengarah LMNS, Shamsuddin Ahmad berkata, majlis perasmian program yang bermula pukul 9 pagi itu akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Abd. Razak Ab. Said.

Menurutnya, Kampung Bangkahulu adalah sebuah kampung tradisional yang telah dijadikan projek perintis kepada LMNS bagi menjalankan kajian sejarah kampung dan mengumpulkan maklumat berdasarkan keunikan budaya masyarakat di situ.

Katanya, program keilmuan itu dapat memperkenalkan dan menyebarkan maklumat berkaitan sejarah serta budaya yang diamalkan oleh masyarakat kampung berkenaan di samping memupuk kesedaran kepada orang ramai terutama penduduk tempatan dan generasi muda hari ini mengenai kepentingan mengetahui sejarah tempatan dan menyayangi kampung tradisi.

"Kolokium ini juga adalah usaha murni LMNS untuk mendokumentasikan hasil kajian yang telah dijalankan sebagai bahan rujukan kepada para penyelidik dan pelajar institusi yang terlibat dalam bidang berkaitan dan mengetengahkan antara daya tarikan utama produk pelancongan di negeri ini yang amat sinonim dengan jolokan Negeri Beradat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penceramah kolokium itu ialah Penasihat Persatuan Bengkulu Malaysia, Mohd. Yusof Ghani Riduk dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bangkahulu, Mohamad Salleh manakala moderator adalah Pengerusi Persatuan Bangkahulu Malaysia Cawangan Gemas, Hassan Zuhri Abas.

Pada majlis itu juga akan diadakan pelancaran buku Siri Budaya Sejarah Kampung Bangkahulu iaitu hasil kajian yang telah dijalankan oleh LMNS pada 2008.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved