Ahad, 8 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bekalan makanan mencukupi

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

Oleh FANSURINA ABDULLAH
utusanktn@gmail.com

KUANTAN 8 Dis. - Bekalan makanan untuk mangsa banjir di seluruh negeri ini adalah mencukupi walaupun berlaku sedikit kesulitan di beberapa pusat pemindahan pada peringkat awal.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, masalah berkenaan disebabkan dua faktor utama yang berada di luar kawalan pihaknya.

Katanya, perkara itu juga tiada kaitan dengan kekurangan bekalan makanan dalam pasaran sebagaimana yang disebarkan pihak tertentu.

"Faktor pertama adalah pertambahan mangsa banjir yang mendadak. Sebagai contoh, pihak jawatankuasa telah membekalkan makanan untuk 500 mangsa di pusat pemindahan bagi tempoh tiga hari tetapi dalam masa dua jam, bilangan mangsa bertambah menjadi 1,500 orang.

"Faktor kedua pula disebabkan masalah lalu lintas yang melewatkan penghantaran makanan kerana jawatankuasa menggunakan lori besar namun kebanyakan mangsa banjir meletakkan kenderaan di laluan utama," katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan banjir Wisma Belia di Indera Mahkota di sini semalam.

Beliau berkata, berdasarkan analisis yang dilakukan, pihaknya mendapati pada 1 hingga 3 Disember lalu, daerah ini menerima jumlah hujan sebanyak 900 mililiter (ml).

Beliau berkata, jumlah itu adalah yang terbesar berbanding bulan yang sama tahun lalu apabila hanya menerima sebanyak 330ml hujan sahaja.

Katanya, peningkatan tiga kali ganda itu mengakibatkan limpahan air ke dalam sistem perparitan sekali gus mengakibatkan banjir di sesetengah kawasan.

"Hal ini adalah di luar jangkaan kerana kerja penambahbaikan perparitan di sekitar daerah ini telah dibuat pada tahun lepas," katanya.

Sementara itu, beliau turut menyarankan semua mangsa banjir mendaftar di pusat-pusat pemindahan berdekatan bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak jawatankuasa.

SBJ perlukan ramai sukarelawan, sumbangan

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

Marzuki Mat Lela (enam dari kiri) bersama sukarelawan kelab pacuan empat roda bersiap sedia menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Jerantut, semalam.

JERANTUT 8 Dis. - Skuad Bencana Jerantut (SBJ) memerlukan lebih ramai sukarelawan dan sumbangan keperluan harian untuk diagihkan kepada mangsa banjir di daerah ini.

Pengerusinya, Marzuki Mat Lela berkata, SBJ yang sudah beroperasi tiga hari lalu kini berusaha mengumpul lebih banyak bantuan seperti makanan dan pakaian untuk dihantar ke pusat pemindahan.

"Mangsa banjir di daerah ini semakin meningkat setiap hari dan bekalan makanan diperlukan bagi menampung bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Setakat ini kami mengagihkannya di 10 pusat pemindahan termasuk di Kampung Paya Teh, Sekolah Kebangsaan (SK) Pedah, Kampung Paya Garuk dan Kampung Gajah Mati," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu pihaknya turut mendapat bekalan yang disumbangkan pusat pengumpulan badan sukarela Cakna Anak Pahang yang berpusat di Temerloh.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapat bantuan daripada kelab pacuan empat roda (4x4) dari Serdang, Selangor yang menghantar barangan bersama 12 sukarelawan.

Katanya, kehadiran sukarelawan itu amat membantu pihaknya kerana banyak kawasan tidak boleh dilalui menggunakan kenderaan biasa dan hanya kenderaan 4x4 serta bot sahaja yang boleh digunakan.

"Setakat ini terdapat 15 orang sukarelawan dan kita memerlukan lebih ramai lagi bagi memudahkan kerja-kerja menghantar bantuan kepada mangsa banjir dengan cepat," katanya.

Sementara itu, Marzuki berkata orang ramai yang berhasrat membuat sumbangan barangan keperluan boleh berbuat demikian di Pusat Siber AZM berhampiran Tepian Darul Makmur dan D' Kilau Court di sini.

Katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sosial Facebook SBJ atau menghubungi 017-9686878.

Jalan Kuala Lipis-Jerantut boleh dilalui semua kenderaan

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

KUALA LIPIS 8 Dis. - Laluan Kuala Lipis ke Jerantut melalui pekan Kerambit di sini, boleh dilalui oleh semua kenderaan bermula pagi ini.

Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohamad Noor Abdul Rani berkata, laluan berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerambit dan Kampung Tanjung Bungor yang ditutup kepada semua kenderaan sejak Rabu lalu itu kembali pulih selepas air surut.

"Pengguna jalan raya juga boleh menggunakan laluan alternatif bermula di pekan Kerambit melalui Kampung Atong, Kampung Jerangsang dan Kampung Batu Balai untuk ke bandar Jerantut bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

"Bagaimanapun pemandu kenderaan perlu berhati-hati di laluan berkenaan kerana permukaan jalan masih berlumpur, terdapat sampah sarap, digenangi air dan licin selepas banjir," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, jumlah mangsa di daerah ini telah berkurangan kepada 43 orang berbanding 53 orang, semalam.

"Kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terus memantau keadaan mangsa yang masih berada di pusat pemindahan di Mukim Cheka.

"Mangsa banjir juga perlu berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved