Ahad, 29 Disember 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


600 murid miskin terima beg sekolah

Posted: 28 Dec 2013 09:32 AM PST

Oleh NORLIA RAMLI
utusanpenang@utusan.com.my

MOHD. Zaidi Mohd. Said (baju batik) gembira bersama sebahagian daripada 600 penerima menerima bantuan beg sekolah di SMK Permatang Pasir, Permatang Pauh, Pulau Pinang, semalam.

PERMATANG PAUH 28 Dis. - Sebanyak 600 murid di kawasan Parlimen Permatang Pauh menerima bantuan beg sekolah dan alat tulis daripada UMNO Bahagian Permatang Pauh dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional bagi meringankan beban keluarga mereka.

Sumbangan bernilai RM32,000 itu disempurnakan oleh Ketua UMNO bahagian itu, Mohd. Zaidi Mohd. Said di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir di sini hari ini.

Mohd. Zaidi berkata, sumbangan awal persekolahan itu sebagai tanda prihatin UMNO terhadap keluarga kurang berkemampuan dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka.

Katanya, langkah itu merupakan usaha UMNO untuk memastikan anak-anak di sini mendapat pendidikan terbaik.

"Kita tidak akan ke mana jika anak-anak tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya dalam mengubah nasib keluarga," katanya.

Beliau melahirkan hasrat itu dalam memastikan perjuangan UMNO bagi meningkatkan pendidikan anak-anak di Permatang Pauh.

Sehubungan itu, murid yang cemerlang dalam peperiksaan akan dibantu kerana tanpa pendidikan, negara tidak akan maju.

Murid Orang Asli diberi bantuan persekolahan

Posted: 28 Dec 2013 09:32 AM PST

AZNEL Ibrahim (belakang, kiri) bersama kanak-kanak Orang Asli yang menerima sumbangan kelengkapan pakaian sekolah di Dewan Masyarakat Orang Asli, Kampung Bukit Asu, Pengkalan Hulu, Perak, kelmarin.

PENGKALAN HULU 28 Dis. - Sebanyak 400 set pakaian seragam sekolah dan kelengkapan persekolahan diagihkan kepada murid-murid sekolah termasuk kanak-kanak Orang Asli di sini sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan 2014 tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Haznel Ibrahim berkata, bantuan itu adalah acara tahunan dan tahun ini merupakan kali pertama bantuan tersebut turut disalurkan kepada kanak-kanak Orang Asli.

"Ini merupakan salah satu cara kita meraikan kanak-kanak sebagai sokongan dan galakan bagi mereka untuk memulakan hari pertama persekolahan mereka.

"Bantuan ini juga sekurang-kurangnya meringankan beban kewangan ibu bapa dan waris dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka," katanya ketika ditemui di Dewan Masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Asu di sini hari ini.

Menurut Haznel, pihaknya tidak mahu kanak-kanak Orang Asli tercicir daripada mendapat pendidikan yang sempurna seperti kanak-kanak lain.

"Pihak kami menyediakan 50 set pakaian seragam dan kelengkapan sekolah untuk mereka dan ini merupakan kali pertama sumbangan ini diberikan kepada kaum ini bagi menggalakkan anak-anak mereka dihantar ke sekolah," katanya.

Beliau juga mahu kaum ini terus berdaya saing serta mendapat pendidikan yang tinggi seperti rakyat lain di negara ini.

"Tidak mustahil jika suatu hari ini nanti ramai pakar dilahirkan daripada kaum ini yang boleh menjadi modal insan yang cemerlang untuk membantu menaikkan nama negara di mata dunia," katanya.

Maritim Malaysia tahan 41 PATI

Posted: 28 Dec 2013 09:32 AM PST

LUMUT 28 Dis. - Seramai 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua wanita ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika cuba memasuki negara ini dengan sebuah bot di perairan Hutan Melintang dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah 3 Lumut, Kapten Abdul Razak Johan berkata, hasil pemeriksaan di dalam bot itu menemukan 14 rakyat Indonesia termasuk dua wanita berusia 19 hingga 44 tahun dan 27 orang warga Bangladesh berumur 20 hingga 38 tahun.

Kata beliau, bot berkenaan dikesan berada di perairan 16.2 kilometer dari Sabak Bernam pada pukul 3.15 pagi dalam keadaan mencurigakan namun enggan berhenti apabila diarah berbuat demikian.

"Kapal kita terpaksa mengejar bot nelayan yang tidak memasang lampu navigasi itu sehingga 10 minit sebelum dapat memintasnya.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot yang dalam perjalanan dari Tanjung Balai, Medan, Indonesia itu, kita tidak menemukan sebarang alat menangkap ikan sebaliknya dipenuhi PATI," katanya dalam sidang akhbar di Jeti Kastam Kampung Acheh di sini baru-baru ini.

Menurutnya, dalam tangkapan itu, pihaknya juga memberkas seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 38 tahun di atas bot berkenaan yang dipercayai dalang utama sindiket berkenaan.

Jelas beliau, pihaknya tidak menjumpai sebarang dokumen perjalanan rasmi dan tidak menolak kemungkinan PATI terbabit menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit untuk ke negara lain.

"Kesemua mereka ditahan reman selama 14 hari dan disiasat di bawah Seksyen 265, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved