Ahad, 29 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Sasar 12 juta pelancong

Posted: 29 Dec 2013 10:42 AM PST

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
fairuz.yusof@utusan.com.my

ISHAK Mokhtar (depan, enam dari kanan) bersama anggota persatuan teksi dan RapidKuantan selepas melancarkan pelekat TMM2014 di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang, semalam.

KUANTAN 29 Dis. - Pahang menyasarkan seramai 12 juta pelancong melawat negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) yang bermula tahun depan.

Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Ishak Mokhtar berkata, sasaran itu dibuat berikutan jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini sepanjang tahun ini berjumlah 12 juta orang.

Menurutnya, bagi mencapai sasaran itu, pihaknya telah menyusun sebanyak 24 program sepanjang tahun ini bagi menarik pelancong ke negeri ini.

"Aktiviti promosi pelancongan menerusi program tersebut akan meningkatkan lagi jumlah kehadiran pelancong domestik dan luar negara kerana Pahang mempunyai pelbagai keunikan yang pasti meninggalkan kenangan kepada mereka.

"Sehubungan itu, usaha mempergiatkan produk pelancongan perlu dipertingkatkan dan berharap ejen-ejen pelancongan tidak ketinggalan mengambil peluang ini sempena TMM2014," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pelekat TMM2014 melibatkan persatuan teksi dan perkhidmatan bas RapidKuantan di Stadium Darul Makmur di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pejabat Pelancongan Pahang, Idros Yahya dan Pengarah Tourisme Pahang, Mohd. Faharuddin Hatmin.

Sebanyak 460 teksi dari empat persatuan teksi dan 60 bas RapidKuantan daerah ini dipilih menjadi duta kecil dalam kempen tersebut.

Menurut beliau, semua pihak termasuk masyarakat tempatan perlu berganding bahu dalam menjayakan TMM2014 kerana program itu bukan setakat memperkenalkan produk pelancongan, malah turut menjana pendapatan.

Jelasnya, antara program terbaharu yang bakal diadakan adalah Festival Muzik Kuantan pada April ini yang merupakan julung-julung kali dianjurkan.

"Acara lain yang telah disusun adalah pertandingan BilFish di Rompin, pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa di Bukit Fraser, Kuantan 160KM dan pertandingan luncur di Pantai Cherating di sini," ujarnya.

Dalam pada itu Idros berkata, penglibatan pemandu teksi dan bas RapidKuantan dapat membantu memberi penerangan tentang produk pelancongan kepada pelancong yang datang ke sini.

"Pemilihan mereka amat tepat kerana pelancong akan memilih pengangkutan awam untuk ke beberapa destinasi di negeri ini.

"Selain pemandu teksi di Kuantan, kita juga bekerjasama dengan persatuan pemandu teksi di Pahang Barat kerana di sana produk pelancongannya menjadi tumpuan bukan sahaja masyarakat dari negara ini tetapi juga pelancong antarabangsa," katanya.

23 murid cemerlang UPSR kongsi hadiah RM10,350

Posted: 29 Dec 2013 10:42 AM PST

GEMBIRA... Sebahagian daripada 23 murid cemerlang UPSR kawasan Hulu Jelai yang menerima penghargaan Yayasan Pahang dan wang tunai masing-masing RM450 di Sungai Koyan, Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 29 Dis. - Sebanyak 23 orang murid cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di kawasan Hulu Jelai menerima sagu hati kesemuanya berjumlah RM10,350 dalam satu majlis yang diadakan di Sungai Koyan di sini baru-baru ini.

Kesemua murid tersebut yang memperoleh 5A dalam peperiksaan itu masing-masing menerima wang tunai RM450 yang disumbangkan oleh Yayasan Pahang (YP), Selinsing Gold Mine Sungai Koyan dan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.

Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy ketika ditemui berkata, sumbangan tersebut merupakan penghargaan kepada mereka yang berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan itu tahun ini.

"Saya berbangga kerana murid cemerlang itu terdiri daripada mereka yang tinggal di kampung tradisional, tanah rancangan Felda dan Pos Orang Asli kawasan Hulu Jelai.

"Ini membuktikan mereka mampu mencapai kejayaan hasil kerjasama pentadbir sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Program Empower yang dilaksanakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di sini.

"Kita berharap usaha memartabatkan pendidikan akan diteruskan dengan memberi fokus kecemerlangan murid di sekolah pesisiran Sungai Jelai dan Pos Orang Asli pedalaman Jelai supaya mampu bersaing dengan murid di bandar," katanya.

Menurutnya, sumbangan berkenaan merupakan penghargaan daripada YP dan syarikat perlombongan tersebut yang sentiasa memberi bantuan untuk murid miskin dan mereka yang cemerlang di luar bandar.

"Kerajaan negeri amat peka dan prihatin terhadap kebajikan penduduk bukan sahaja murid miskin malahan mereka yang cemerlang dalam peperiksaan tanpa mengira kaum, agama serta kepercayaan politik," katanya.

Abdul Mubim Tokoh Maal Hijrah Maran

Posted: 29 Dec 2013 10:42 AM PST

ABDUL Mubim Yaakob (berkerusi roda) bersama Sharifuddin Aiza Osman (dua kiri) dan Sharafuddin Saad (tiga kanan) pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Maran di Bukit Gambang Resort di Maran, Pahang, baru-baru ini.

MARAN 29 Dis. - Seorang pesara yang pernah bertugas di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Maran, Abdul Mubim Yaakob, 81, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah daerah ini tahun ini.

Pegawai PAID Maran, Sharafuddin Saad berkata, pemilihan pesara itu dibuat berikutan kegiatan aktif Abdul Mubim menjalankan pelbagai aktiviti dakwah kepada semua golongan termasuk masyarakat Orang Asli di daerah ini.

"Walaupun sudah lama bersara, Abdul Mubim tetap aktif berdakwah dengan menjalankan pelbagai aktiviti yang boleh mengukuhkan syiar Islam," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat daerah di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Penolong Pengarah (Dakwah) Jabatan Agama Islam Pahang, Dr. Sharifuddin Aiza Osman dan Pegawai Pejabat Agama Daerah Maran, Sharafuddin Saad.

Majlis tersebut diserikan dengan persembahan nasyid yang disampaikan oleh kumpulan Qasidah Ababul Mustofa dari Kemaman, Terengganu dan ceramah oleh Mudir Madrasah Darul Mustafa, Habib Naqjamuddin al-Khirid.

Terdahulu dalam ucapannya, Sharafuddin berkata, pemilihan tokoh tersebut sama ada di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah merupakan satu pengiktirafan tertinggi kepada individu yang komited terhadap usaha memartabat dakwah Islam.

Tambahnya, jasa dan pengorbanan mereka terhadap kemajuan Islam dihargai rakyat dan kerajaan walaupun mereka tidak menyangka atau mengharapkan balasan selama ini.

Beliau juga menyeru umat Islam bersatu memerangi pelbagai isu berkaitan yang boleh melemahkan agama Islam.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved