Ahad, 29 Disember 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Tahap keselamatan diutama

Posted: 29 Dec 2013 10:42 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Kerja-kerja mengurangkan kecerunan cerun di Taman Persekutuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur sedang dilaksanakan bagi mengurangkan risiko tanah runtuh.

KUALA LUMPUR 29 Dis. - Kerja-kerja baik pulih cerun runtuh di Taman Persekutuan Bukit Kiara giat dijalankan oleh Jabatan Landskap Negara dan dijangka siap pada Januari ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kerja-kerja yang dimulakan sejak 17 Oktober lalu itu melibatkan pemasangan jaring sebagai pengukuh bongkah batu besar yang tidak dapat dialihkan di sekitar cerun berkenaan.

Menurutnya, rumput turut ditanam pada permukaan cerun bagi mengawal hakisan, selain pembinaan sistem perparitan baharu bagi memudahkan aliran air.

"Kerja-kerja baik pulih cerun itu sebagai langkah proaktif bagi menjamin keselamatan pengguna dan penduduk taman berkenaan.

"Hasil kajian yang dilakukan perunding yang dilantik mendapati kawasan tersebut mempunyai kecerunan asal 60 darjah dan mengandungi bongkah-bongkah batu besar dengan kedudukan yang kurang stabil," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan akhbar di sini bagi menjelaskan mengenai status kerja-kerja memperbaiki cerun di Taman Persekutuan Bukit Kiara yang runtuh pada 29 Januari lalu.

Beliau berkata, turut dicadangkan pembinaan tembok penahan di lokasi tersebut bagi mengukuhkan kestabilan cerun tersebut.

Tambahnya, susulan kejadian itu cerun runtuh itu Jabatan Landskap Negara turut melantik perunding untuk mengenal pasti tahap kestabilan cerun di jalan perkhidmatan sedia ada bagi memastikan kejadian tidak berulang.

"Hasil kajian pengurusan cerun mendapati runtuhan berpunca daripada hakisan tanah di pinggir cerun dan sekitarnya sehingga menyebabkan berlakunya runtuhan batu-batu besar ke atas jalan perkhidmatan.

"Kajian turut mendapati lokasi cerun runtuh juga dikenal pasti sebagai antara kawasan berpotensi berlakunya tanah runtuh," jelasnya.

Perhimpunan jejas perniagaan - Peniaga

Posted: 29 Dec 2013 10:42 AM PST

KUALA LUMPUR 29 Dis. - Golongan peniaga sekitar ibu kota berharap sambutan ambang tahun baharu Selasa ini, tidak dicemari perhimpunan yang dikatakan untuk menggulingkan kerajaan kerana akan menjejaskan pendapatan mereka.

Tinjauan Bernama di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Dataran Merdeka di sini hari ini mendapati para peniaga di sekitar kawasan itu amat berharap hari terakhir 2013 akan membawa pulangan berganda kepada mereka memandangkan orang ramai akan tertumpu di ibu kota bagi mengikuti pelbagai aktiviti anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Pengurus Persatuan Perniaga dan Penjaja Lorong TAR Mahdir Jaafar, 57, berkata perhimpunan itu tidak wajar diadakan kerana kerajaan sedia ada telah dipilih rakyat berdasarkan suara majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei lalu.

"Jika ada rasa tidak puas hati atau sebagainya, ada cara yang tepat untuk meluahkannya, bukan melalui perhimpunan yang boleh menjejaskan periuk nasi orang lain," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Perhimpunan itu, yang didakwa akan diadakan pada Selasa malam di Dataran Merdeka oleh badan bukan kerajaan, disebarkan melalui laman sosial Facebook dan Twitter, menimbulkan rasa kurang senang kepada pengurus sebuah hotel di situ.

Pengurus Besar Swiss Hotel, Roy Marshall, 34, berkata beliau berharap perhimpunan itu tidak akan diteruskan memandangkan hotel beroperasi 24 jam dan berada hampir dengan Dataran Merdeka.

"Jika mereka bertegas untuk berhimpun, penganjur perlu pastikan berlangsung dalam keadaan aman. Perhimpunan akan tetap menyukarkan pengunjung dan pekerja untuk datang ke hotel kerana bas dan teksi tidak boleh melalui jalan ini.

"Tetapi, jika berlaku kekecohan seperti perhimpunan Bersih 2.0 (pada 9 Julai 2007), pintu kaca hotel pecah dan lif rosak kerana terlampau ramai yang merempuh masuk, kononnya untuk berlindung," katanya.

Beliau berkata sekeping pintu kaca hotel memerlukan RM5,000 untuk diperbaiki dan pada perhimpunan itu, dua pintu kaca didapati rosak.

Sementara itu, pekerja kedai runcit Namneet Singh, 25, berkata dia masih ingat kejadian perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012 apabila terpaksa berkurung di dalam kedai selama enam jam.

"Walaupun tidak ada kekerasan berlaku, saya takut untuk keluar. Hanya duduk diam di dalam (kedai). Nasib baik kedai runcit, jadi boleh makan makanan ringan dan tidak lapar sangat dalam tempoh itu," katanya.

Bagi Sheikh Shafqat Ali, 52, dia sedih jika perhimpunan itu diteruskan kerana baru sahaja berpindah ke Jalan Tuanku Abdul Rahman sebulan lalu, selepas mendapati kawasan itu sesuai untuk berniaga kain dan tudung.

Peniaga itu, yang sebelum ini berniaga di Sentul berkata, kedainya masih dalam proses pengubahsuaian dan berharap waktu perniagaan boleh berjalan seperti biasa Selasa ini bagi memastikan kerja-kerja pengubahsuaian dapat diteruskan.

"Sekarang ini saya masih tidak tahu sama ada perlu atau tidak untuk pendekkan waktu perniagaan.

"Susah macam ini. Berniaga macam kami ini bermaksud setiap hari adalah 'income'. Jika tutup macam mana? Apatah lagi esoknya (1 Jan 2014) adalah cuti umum, jadi pelanggan lebih ramai," katanya. - BERNAMA

Penghuni Flat Sri Sabah mahu kerja-kerja pembersihan dilaksanakan

Posted: 29 Dec 2013 10:42 AM PST

SISA pokok yang ditebang tidak diangkut keluar sehingga menyebabkan penduduk Flat Sri Sabah, Kuala Lumpur 'kehilangan' beberapa petak letak kereta.

KUALA LUMPUR 29 Dis. - Penghuni Flat Sri Sabah di Jalan Cheras di sini meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) segera menjalankan kerja-kerja pembersihan longgokan sampah dari sebatang pokok yang ditebang di kawasan perumahan mereka.

Penduduk merungut kerana longgokan daun, ranting dan dahan pokok yang terbiar sejak dua minggu lalu itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan, bahkan turut menyebabkan masalah kekurangan tempat letak kereta.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati longgokan sampah tersebut terletak betul-betul di kawasan letak kereta flat berkenaan dan pintu masuk ke Sekolah Kebangsaan Sri Cheras.

Daun-daun dan ranting kayu yang sudah kering dibiar begitu sahaja sehingga ada yang memasuki petak letak kenderaan.

Utusan Malaysia difahamkan, pokok besar itu ditebang kerana sudah berusia dan dikhuatiri membahayakan keselamatan penduduk.

Pekerja am di Sekolah Kebangsaan Sri Cheras, P. Kohila, 41, berkata, pihak bertanggungjawab perlu segera melakukan kerja-kerja pembersihan.

"Jika kerja-kerja pembersihan tidak dilakukan, saya dapat bayangkan kesesakan terus akan berlaku di kawasan ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved