Ahad, 29 Disember 2013

Utusan Online - Megabait


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Fotografi sebagai seni

Posted: 29 Dec 2013 05:13 AM PST

Oleh RASDAN AHMAD
rasdan_utusan@yahoo.com

FOTO berunsur potret juga dihasilkan ketika aliran pictorialism.

PADA awal kemunculannya, perkembangan fotografi lebih tertumpu kepada proses penciptaan dan penambahbaikan terhadap sistem kamera itu sendiri.

Kamera dianggap salah satu penemuan penting kepada manusia kerana mampu merakam dan mengabadikan pelbagai bentuk gambar, tidak kira sel manusia sehingga galaksi di luar angkasa.

Prinsip-prinsip dasar pembuatan kamera telah dicetuskan oleh seorang saintis legenda Muslim bernama Ibnu al-Haitham sekitar 1,000 tahun lalu.

Pada akhir abad ke-10 Masihi (M), al-Haitham bersama Kamaluddin al-Farisi berjaya menemui sebuah kamera kotak (obscura) dan meneliti serta merakam fenomenanya.

Istilah kamera obscura yang ditemukan al-Haitham kemudiannya diperkenalkan di Barat sekitar abad ke-16M, iaitu sekitar lima abad selepas penemuan tersebut apabila Cardano Geronimo (1501-1576) yang terpengaruh dengan pemikiran al-Haitham mula menggantikan lubang bidik dengan kamera berlensa.

Ada pula menyebutkan bahawa istilah kamera obscura yang ditemukan al-Haitham pertama kali diperkenalkan di Barat oleh Joseph Kepler (1571-1630).

Kepler meningkatkan fungsi kamera itu dengan menggunakan lensa negatif di belakang lensa positif sehingga dapat memperbesar gambar seperti prinsip digunakan dalam dunia lensa foto jarak jauh moden.

Setelah itu Robert Boyle (1627-1691) mulai menyusun kamera yang berbentuk kecil tanpa kabel yang fungsinya seolah-olah kamera obscura pada 1665.

Pada era itu juga, fungsi gambar foto lebih kepada untuk merekod sesuatu. Pada waktu itu fotografi tidak dianggap sebagai satu karya seni visual seperti seni lukisan atau seni arca.

Selepas 900 tahun daripada penemuan al-Haitham pelat-pelat foto pertama kali digunakan secara kekal untuk menangkap gambar yang dihasilkan oleh kamera obscura. Foto kekal pertama diambil oleh Joseph Nicephore Niepce di Perancis pada 1827.

Artis visual pada ketika itu berpendapat karya foto dihasilkan oleh kamera bukan dengan kemahiran tangan jurufoto. Oleh itu mereka tidak menerima karya fotografi sebagai satu karya seni.

Pada sekitar abad ke 20, satu aliran yang dinamakan pictorialism dipraktikkan bagi membolehkan fotografi diterima sebagai satu karya seni pada zaman itu.

Jurufoto pictorialism memanipulasikan foto yang dirakam bagi menghasilkan foto dengan gaya seakan-akan lukisan. Alfred Stieglitz adalah salah seorang tokoh penting dalam memperjuangkan fotografi untuk diterima sebagai karya seni ketika era ini.

Gambar foto dengan aliran pictorialism menggunakan beberapa teknik antaranya - sengaja mengkaburkan fokus, menggunakan filter untuk kesan tertentu, membuat cetakan nada warna sepia dan membuat manipulasi foto di dalam bilik gelap agar foto yang dihasilkan menyamai karya lukisan.

Ada pihak menganggap aliran fotografi dengan gaya pictorialism tidak menampakkan identiti sebenar fotografi dan tidak menggunakan sepenuhnya kekuatan yang ada pada media fotografi.

Oleh itu sekumpulan jurufoto yang tidak bersetuju dengan gaya pictorialism telah menubuhkan satu kumpulan yang diberi nama Group f/64 dengan jurufoto terkenal, Ansel Adams adalah salah seorang ahlinya.

Kumpulan ini telah mengadakan pameran fotografi pertama pada tahun 1932. Mereka memperjuangkan idea fotografi terus (straight photography) dengan karya foto yang dihasilkan tidak lagi cuba meniru gaya sebuah karya lukisan.

Aliran fotografi terus ini menjadi asas kepada seni fotografi yang dipraktikkan secara meluas sehingga ke hari ini.

Sehingga kini bidang fotografi begitu diminati oleh semua golongan sehingga di Malaysia sendiri sekolah seni yang berkaitan dengan fotografi banyak ditubuhkan.

Bidang fotografi juga kini dianggap sebagai bidang yang mampu untuk menjana ekonomi selain daripada dijadikan minat semata-mata.

AquaLensa peluang ketengah karya

Posted: 29 Dec 2013 05:30 AM PST

Ikan panda clownfish atau dikenali sebagai ikan kain buruk oleh penduduk Pulau Redang dan Perhentian di Terengganu.

SEBELUM ini tidak ada sebuah persatuan berdaftar khusus bagi jurufoto mahupun juruvideo yang mempunyai kepakaran merakamkan subjek di bawah air. Atas kesedaran itu, sekumpulan jurufoto bawah air tempatan kini dalam proses untuk menubuhkan Persatuan Jurufoto/Juruvideo Bawah Air Malaysia atau bakal dikenali sebagai AquaLensa.

AquaLensa bakal menjadi sebuah persatuan yang akan mempunyai keahlian dalam kalangan jurufoto serta juruvideo. Apa yang menarik, ahli-ahli persatuan ini terdiri daripada mereka yang profesional dan berkecimpung secara sepenuh masa termasuk yang masih baru dalam fotografi bawah air terutama di dasar laut.

AquaLensa bukanlah sekadar persatuan pada namanya sahaja, namun pelbagai program dirancang untuk memperhebatkan kerancakan fotografi bawah air di negara ini.

Selain itu, ia bakal mempromosikan pelbagai destinasi dasar laut menarik seluruh negara bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014 yang akan bermula 1 Januari ini.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi ahli, sila ke laman Facebook AquaLensa di http://bit.ly/aqualensa untuk menyertai kumpulan terbesar jurufoto/juruvideo bawah air di negara ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved