Isnin, 16 Disember 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Sukan lasak perlu dilihat dalam perspektif lebih luas

Posted: 15 Dec 2013 10:00 AM PST

MUKHRIZ Mahathir menyampaikan hadiah kepada johan acara kayak berpasangan lelaki terbuka, Mohd. Hanizam Ramli (kiri) dan Mohd Amirudin Shuib (kanan) dalam program Sportec Challenge Peringkat Kebangsaan 2013 di Taman Tema Tasik Darul Aman Jitra, Kedah, semalam. - UTUSAN/KAMAL BASIR

KUBANG PASU 15 Dis. - Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir mengajak rakyat negeri ini melihat aktiviti sukan lasak dan rekreasi dalam perspektif yang lebih luas untuk pembangunan masyarakat dan negara.

Beliau berkata, ini kerana kegiatan tersebut bukan semata-mata sukan untuk kesihatan tetapi berkaitan dengan pembangunan jati diri, pendidikan, ekonomi dan sosial.

"Aktiviti-aktiviti sebegini bukan sahaja boleh mengisi masa lapang, malah dijadikan medium untuk anak muda menjauhi gejala-gejala sosial yang banyak mengancam kehidupan bermasyarakat pada hari ini," katanya ketika merasmikan program Sportec Challenge Peringkat Kebangsaan 2013 di Taman Tema Tasik Darul Aman Jitra, di sini semalam.

Mukhriz berkata, penglibatan belia dalam aktiviti lasak juga berupaya meningkatkan semangat juang dan daya saing, seterusnya mampu mempersiapkan diri dalam pelbagai bidang diceburi sesuai dengan taraf mereka sebagai tunjang pembangunan negeri dan negara amnya.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa peka dengan keperluan rakyat dalam aktiviti sukan lasak dan rekreasi kerana sedar ini mampu menjadi jambatan yang menghubungkan semua dalam masyarakat tanpa mengira bangsa, agama mahupun kecenderungan politik.

"Maka dengan itu, saya sebagai Menteri Besar akan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti kemudahan sukan dan rekreasi di negeri ini.

"Apa yang penting ialah kemudahan sukan rekreasi yang disediakan oleh perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat," katanya.

Justeru, beliau berkata, meskipun sibuk dengan urusan dan tugas harian, rakyat negeri ini sewajarnya tidak lupa untuk meluangkan masa dalam aktiviti yang sihat seperti bersukan, rekreasi, berpersatuan dan sebagainya.

KIPA bantu promosi Kedah

Posted: 15 Dec 2013 10:00 AM PST

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

HAZRITA Mohd. Hatta (kanan) memberi penerangan mengenai tempat-tempat menarik dalam negeri Kedah kepada sebahagian jurugambar dari Singapura yang turut mengambil bahagian dalam pertandingan Anugerah Fotografi Antarabangsa Kedah di Alor Setar, semalam

ALOR SETAR 15 Dis. - Anugerah Fotografi Antarabangsa Kedah (KIPA) yang berlangsung sejak Julai lalu menarik minat lebih 2,900 penyertaan jurugambar tempatan dan luar negara dalam usaha menyemarakkan industri pelancongan negeri ini.

Menurut Pengarah Penajaan KIPA, Hazrita Mohd. Hatta, pertandingan fotografi itu turut menerima penyertaan kira-kira 40 jurugambar profesional dari Singapura, Thailand, India dan Asia Barat.

"KIPA bukan pertandingan biasa yang sekadar memaparkan lokasi menarik tetapi landasan untuk menjadikan negeri ini destinasi utama pelancongan yang harus dilawati terutama oleh pelancong luar.

"Ini adalah peluang untuk semua peminat fotografi memaparkan keindahan Kedah bagi tontonan dunia dan apa yang penting satu pameran fotografi turut diadakan pada awal tahun depan bagi mempamerkan gambar yang meraih anugerah dan daripada peserta terpilih," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah beliau, sempena anugerah tersebut, KIPA menerima kunjungan daripada sekumpulan jurugambar profesional dari Singapura yang mengambil kesempatan bercuti di negeri ini selama dua hari tiga malam untuk merakamkan gambar yang menarik.

Jelas Hazrita, KIFA menawarkan hadiah bernilai lebih RM50,000 termasuk sebuah motosikal, tiket penerbangan, wang tunai dan sebagainya.

"Pertandingan ini terbahagi kepada lima kategori iaitu profesional (kompetitif), profesional (bukan kompetitif), amatur/pelajar, lomo/kamera polaroid dan telefon pintar," katanya.

Tambah beliau, tarikh tutup penyertaan 31 Disember ini dan mereka yang berminat untuk menyertainya boleh layari laman sesawang www.kipa.my.

Tawaran pengajian pelbagai bidang tingkat imej politeknik

Posted: 15 Dec 2013 10:00 AM PST

BUKIT MERTAJAM 15 Dis. - Politeknik kini terus mengorak langkah dengan menawarkan pelbagai program pengajian terkini bagi memenuhi keperluan pelajar tempatan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengajian Politeknik, Kamaruddin Hamzah berkata, sebanyak 49 program pengajian terbaharu merangkumi pelbagai bidang ditawarkan bermula tahun ini sehingga 2018.

"Program-program yang dirangka khusus terangkum di bawah Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) yang mana 20 daripadanya merupakan program ijazah.

"Sebanyak 27 daripadanya merupakan program diploma manakala dua program diploma lanjutan.

"Kesemua bidang yang ditawarkan ini menjanjikan peluang pekerjaan meluas selepas graduan menamatkan pengajian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-13 Politeknik Seberang Perai (PSP) di Dewan Seri Mutiara, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, program home grown dan kurikulum yang dirangka khas memberi banyak manfaat kepada pelajar.

"Sebagai contoh, bagi pelajar jurusan diploma, tempoh dua tahun akan dihabiskan untuk pengajian dan kemudian diserap terus melalui latihan industri bagi tahun akhir.

"Latihan berdasarkan pekerjaan sebenar akan diterapkan bagi memastikan mereka mendapat pendedahan yang diperlukan selepas bergelar graduan," katanya.

Kamaruddin berkata, secara puratanya sebanyak 76 peratus graduan politeknik memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

"Usahasama yang dijalinkan antara politeknik, agensi dan syarikat- syarikat swasta menjadi platform untuk meningkatkan peluang mereka untuk menceburi bidang pekerjaan.

"Ini bertepatan dengan usaha kami bagi memastikan pelajar bukan sahaja cekap, malah berkebolehan di dalam mana-mana bidang yang diceburi," katanya.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa imej politeknik akan ditingkatkan secara berperingkat.

"Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang melahirkan graduan berkualiti, kami akan bergerak secara komprehensif untuk menaikkan imej, sekali gus mengubah persepsi umum.

"Politeknik kini lebih unggul di dalam melahirkan graduan berkualiti dan berkebolehan sejajar dengan pertambahan program pengajian pelbagai bidang yang ditawarkan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved