Isnin, 16 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


434 penduduk terima bantuan

Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

WAN Amizan Wan Abdul Razak (kiri) menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa banjir di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang, kelmarin. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT 16 Dis. - Seramai 434 penduduk di beberapa buah kampung di Mukim Tembeling Tengah yang terjejas banjir 3 Disember lalu menerima bantuan makanan bernilai RM10,000 di Kuala Tahan di sini semalam.

Penduduk terbabit dari Kampung Teresek, Kampung Belebar, Kampung Tekah, Kampung Padang, Kampung Tuit, Kampung Lempas dan perumahan Felcra Tembeling Tengah yang masing-masing menerima bantuan beras serta barangan runcit.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak, penduduk berkenaan tinggal di kampung tradisional di persisiran Sungai Tembeling dan Sungai Pahang berdekatan Taman Negara Kuala Tahan yang terjejas teruk dengan bencana itu.

"Kita terpanggil memberi bantuan berkenaan supaya dapat mengurangkan penderitaan mereka lebih-lebih lagi setelah pulang ke kediaman masing-masing bagi memulakan penghidupan baharu.

"Bantuan ini diberi kepada semua mangsa banjir termasuk penduduk berdekatan Taman Negara Kuala Tahan kerana kebanyakan mereka tidak dapat bekerja sepanjang musim tengkujuh ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Wan Amizan berkata, bantuan itu disalurkan menerusi sumbangan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan dengan memperoleh dana daripada badan korporat yang prihatin dengan nasib mangsa banjir di kawasan Lembah Tembeling.

"Saya akan terus memantau semua mangsa banjir di kawasan Tahan dan Hulu Tembeling supaya kehidupan mereka kembali pulih khususnya persiapan persekolahan tahun depan," ujarnya.

Dalam pada itu, seorang mangsa banjir dari Kampung Belebar, Azman Ahmad, 38, berkata, dia bersyukur dan lega menerima bantuan tersebut selepas tidak dapat bekerja selama dua minggu berikutan banjir melanda Kuala Tahan.

"Bantuan ini meringankan beban keperluan dapur selama seminggu sebelum saya bekerja semula sebagai pemandu bot penambang di kawasan pelancongan ini," katanya.

Muip kutip RM86.2 juta zakat harta

Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST

TEMERLOH 16 Dis. - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) berjaya mengutip zakat harta sebanyak RM86.2 juta daripada 67,636 pembayar zakat di negeri ini sehingga awal bulan ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, sasaran kutipan RM108 juta tahun ini dijangka dapat dicapai melalui kutipan terakhir di Pusat Kutipan Zakat (PKZ) setiap daerah sehingga hujung bulan ini.

Menurutnya, pada tahun lalu PKZ berjaya mengutip zakat berkenaan sebanyak RM102.1 juta daripada 67,066 pembayar zakat dan zakat fitrah RM6.1 juta yang keseluruhannya sebanyak RM108.2 juta.

"Usaha penerangan dan kempen membayar zakat harta akan diteruskan secara agresif dan bersepadu di institusi pengajian tinggi, syarikat swasta dan korporat yang melepasi kelayakan untuk berzakat.

"Mana-mana individu yang layak tetapi gagal membayar zakat harta adalah menyalahi peraturan dan undang-undang dan boleh dikenakan tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan zakat sempena Kembara Zakat Zon Pantai Timur 2013 membabitkan Pahang, Terengganu dan Kelantan di Hotel Seri Malaysia di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Penolong Pengarah Zakat, Jabatan Wakaf dan Haji Jabatan Perdana Menteri, Ridzuan Awang.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan kempen penerangan kepada warga Felda merangkumi 115 tanah rancangan di negeri ini.

"Ini kerana daripada jumlah ketua isi rumah peneroka iaitu 43,123 orang, hanya kira-kira 7,000 orang membayar zakat setiap tahun.

"Ini jelas membuktikan masih ramai lagi peneroka tidak membayar zakat sedangkan mereka memperoleh pendapatan memberangsangkan," ujarnya.

Pekap bantu ringankan beban mangsa banjir di Pahang

Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST

SHAFIK Fauzan Sharif (empat kiri) bersama sukarelawan Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (Pekap) mengangkat barangan yang disumbangkan oleh Pekap untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Pusat Komuniti Kampung Belukar, Kuantan, Pahang, baru-baru ini. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 16 Dis. - Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (Pekap) membantu meringankan beban mangsa banjir dengan menghulurkan bantuan barangan keperluan seperti dapur, bantal, sejadah dan telekung kepada penduduk di Kampung Belukar di sini.

Yang Dipertua Pekap, Datuk Sulaiman Ibrahim berkata, persatuan itu tidak mahu ketinggalan untuk membantu mangsa banjir di negeri ini.

"Kita (Pekap) begitu prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa banjir di negeri ini dan amat bersimpati. Kita turut tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terlibat.

"Selepas musibah itu berlaku, kita telah melawat beberapa rumah yang dilanda banjir, keadaannya begitu teruk sehingga habis barangan yang ada di dalamnya rosak dan dihanyutkan air," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan persatuan itu di Kelab Komuniti Belukar di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Shafik Fauzan Sharif.

Sulaiman berkata, selain Kampung Belukar, pihaknya juga akan ke kawasan lain di negeri ini untuk menyampaikan bantuan tersebut.

Sementara itu, Shafik Fauzan berterima kasih kepada Pekap kerana sudi memberikan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan itu.

Beliau berkata, biarpun hanya barangan seperti tuala, telekung dan dapur, bantuan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung mangsa.

"Saya berharap kita rakyat Malaysia akan satu keluarga, satu sukarela dalam membantu mangsa banjir di negeri ini, kita perlu tolong menolong dan bekerjasama antara satu sama lain," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved