Isnin, 16 Disember 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


MAIM agih RM1.25 juta bantu 4,584 murid sekolah

Posted: 15 Dec 2013 10:00 AM PST

MELAKA 15 Dis. - Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyediakan peruntukan sebanyak RM1.25 juta bagi kelengkapan persekolahan kepada 4,584 murid daripada golongan asnaf di seluruh negeri ini.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi MAIM, Datuk Seri Idris Haron berkata, peruntukan wang agihan zakat bagi golongan ini adalah untuk membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan bagi anak-anak mereka memulakan persekolahan tidak lama lagi.

"Saya pasti peruntukan ini boleh ditingkatkan lagi pada masa akan datang agar elemen pendidikan terus diberi keutamaan, khususnya dalam membangunkan nilai diri asnaf serta menaik taraf kehidupan mereka hingga berupaya keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) 2014 di Dewan Penjara Sungai Udang, di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah dan Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Yaakob Md. Amin.

Pada majlis itu, sebanyak 820 penerima bantuan dari Parlimen Tangga Batu menerima bantuan persekolahan berupa beg, pakaian dan kasut sekolah bernilai RM250 setiap seorang.

Sementara itu jelas Idris, Pusat Zakat Melaka (PZM) di bawah MAIM turut yakin mampu mencapai peningkatan jumlah kutipan zakat bagi negeri ini kepada RM50 juta menjelang hujung tahun.

"Peningkatan memberangsangkan bagi kutipan zakat ini adalah disebabkan keyakinan pembayar- pembayar zakat di negeri ini terhadap keberkesanan dan kecekapan PZM menguruskannya.

"Pertambahan kutipan zakat ini seterusnya akan dapat diagihkan secara meluas kepada lebih ramai penerima daripada lapan golongan asnaf yang layak di negeri ini secara tepat di masa akan datang," ujarnya.

DJKS terbukti berjaya bantu rakyat - MB

Posted: 15 Dec 2013 10:00 AM PST

Oleh Ainol Amriz Ismail
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 15 Dis. - Seramai 32,358 orang berjaya menerima bantuan bulanan sehingga Oktober ini melalui tiga agensi sepanjang pelaksanaan Dasar Jaringan Keselamatan Sosial (DJKS) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) berkata, jumlah itu melibatkan bantuan yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membabitkan 27,920 orang.

''Ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dalam soal menyejahterakan rakyat dan nyata dasar yang dibuat sejak beberapa tahun lalu telah memberikan banyak manfaat kepada rakyat yang memerlukannya," katanya di sini hari ini.

Tambah Mohamad, selain JKM, turut menyalurkan bantuan bulanan ialah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di bawah Baitulmal membabitkan 5,483 penerima dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dengan bilangan penerima seramai 2,201 orang.

''Melalui dasar ini, JKM sahaja telah membelanjakan sejumlah wang yang besar dengan nilaian melebihi RM6.8 juta sebulan bagi memastikan semua penerimanya mendapat bantuan mengikut angka yang telah diluluskan.

''MAINS pula membelanjakan lebih RM1.16 juta sebulan bagi tujuan sama dan Jakoa pula membelanjakan lebih RM1.56 juta sebulan bagi membantu kehidupan masyarakat orang Asli," katanya.

Menurut Mohamad, secara puratanya ketiga-tiga agensi itu akan membelanjakan lebih RM9.6 juta setiap bulan untuk menyejahterakan rakyat di bawah bantuan yang ditetapkan sekali gus membuktikannya sebagai satu dasar yang amat membantu rakyat.

Beliau dalam pada itu berkata, sehingga kini, tiada cadangan untuk mengkaji syarat atau kelayakan penerima bantuan kebajikan berkenaan.

''Dalam soal ini, kerajaan tidak pernah memilih kaum untuk menyalurkan bantuan. Asalkan mereka layak, pertimbangan untuk disalurkan bantuan sentiasa dilakukan. Bantuan di bawah dasar ini adalah untuk semua rakyat yang berkelayakan serta memenuhi syarat bantuan," tegasnya.

Justeru katanya, kerajaan masih mengekalkan syarat kelayakan sedia ada iaitu berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan Tahun 2012 dengan status kemiskinan tegar bandar mengikut pendapatan isi rumah pada kadar RM510 sebulan dan luar bandar, RM530 serta pendapatan per kapita bandar ialah RM130 dan luar bandar RM120.

Kategori miskin pula katanya, berdasarkan pendapatan isi rumah bandar iaitu RM840 sebulan dengan per kapitanya RM220 dan luar bandar, RM790 dengan per kapita sebanyak RM190 sebulan.

ZIA di Negeri Sembilan bakal diperluaskan

Posted: 15 Dec 2013 10:00 AM PST

SEREMBAN 15 Dis. - Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 telah memberi impak dalam peningkatan ekonomi kepada rakyat negeri ini melalui kewujudan Zon Industri Akuakultur (ZIA) secara berpusat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, peningkatan ZIA itu dapat menarik minat pelabur swasta menjalankan projek akuakultur secara berpusat serta memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

''Sektor akuakultur merupakan industri yang dikenal pasti mampu meningkatkan pengeluaran ikan negara, sekali gus menampung sumber protein rakyat negara ini.

''Maka, sektor ini dilihat amat berpotensi bagi menggantikan sektor perikanan marin yang telah mencapai tahap penerokaan optimum," katanya di sini semalam.

Justeru katanya, melalui Jabatan Perikanan negeri, beberapa kawasan ZIA yang baharu akan dikenal pasti supaya dapat menumpukan penghasilan produk marin dengan fokus terarah kepada ternakan ikan keli, tilapia merah, udang galah dan udang laut.

''Di negeri ini, penumpuan kepada spesies utama yang mempunyai nilai tinggi seperti ternakan udang galah dan udang laut yang dapat meningkatkan pendapatan serta peluang ekonomi baik kepada pengusaha akuakultur," ujarnya.

Hasim yang turut memberikan contoh seorang pengusaha dan penternak udang galah di negeri ini, Low Chong Ming yang mendapat pengiktirafan sebagai pemenang Usahawan Ikan Jaya Kebangsaan 2009.

''Chong Ming telah menghasilkan purata keluaran udang galah 1.50 tan sebulan dengan harga ladang RM45 perkilogram. Hasil kasarnya setiap bulan ialah RM67,500.

''Pendapatan bersih tahunannya antara RM300,000 hingga RM400,000 berdasarkan harga ladang udang galah antara RM45 ke RM50 perkilogram," jelasnya.

Oleh itu katanya, kerajaan negeri juga akan terus meningkatkan penggunaan teknologi RAS (Recirculating Aquaculture Systems) bagi mewujudkan industri hiliran seperti ikan keli salai, keropok lekor dan popia berasaskan inti ikan serta mewujudkan sektor pelancongan seperti Pusat Ikan Hiasan di Port Dickson dan Pengkalan Sungai Timun dekat Linggi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved