Jumaat, 13 Disember 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Mural abadikan tokoh negara

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my

MOHD. Fitri Ibrahim (tiga dari kiri) dan para peserta program The Silent Figures Project gembira dengan hasil lakaran wajah Dr. Awang Had Salleh di Jalan Teluk Kumbar, Pulau Pinang. - UTUSAN/ Ismail Kamadin

PULAU PINANG 12 Dis. - Kampung Teluk Kumbar, Bayan Lepas di sini mungkin bukan destinasi pilihan pengunjung ke Pulau Mutiara berikutan tidak tersenarai dalam peta pelancongan.

Bagi yang pertama kali ke situ, kawasan tersebut dilihat sama seperti kampung tradisional Melayu yang lain di negeri ini.

Walau bagaimanapun, nama kampung tersebut kini mulai meniti di bibir penggiat seni dan pelancong asing, hasil inisiatif Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) menerusi program The Silent Figures Project (TSFP).

Di satu sudut berhampiran laluan utama kampung berkenaan, orang ramai dapat melihat lakaran wajah tokoh pendidikan, Tan Sri Dr. Awang Had Salleh yang dihasilkan oleh sekumpulan anak muda yang terlibat dalam program berkenaan.

Mural wajah anak jati Pulau Betong, Balik Pulau itu kini mula menjadi bualan ramai dan sudah ada pelancong asing dan mereka yang meminati seni berkunjung ke kampung itu untuk melihatnya.

Pegawai Tadbir YIPP, Mohd. Fitri Ibrahim berkata, objektif projek itu adalah untuk menghargai jasa serta sumbangan tokoh-tokoh yang berasal dari Pulau Pinang.

Menurutnya, tidak ramai anak-anak muda mengenali tokoh-tokoh negara tetapi mereka sebenarnya amat berminat untuk mengetahui jasa serta latar belakang golongan tersebut.

"Dengan penterjemahan dalam bentuk lebih mudah dan menarik sebegini, diharapkan golongan muda dapat lebih mengenali tokoh-tokoh yang banyak berjasa kepada masyarakat seterusnya dijadikan idola mereka.

"Cara sebegini sekali gus dapat mencetuskan cabaran kepada mereka untuk mencontohi atau menandingi apa yang telah disumbangkan oleh-oleh tokoh-tokoh terlibat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Selain Awang Had, satu lagi mural wajah tokoh yang berjaya disiapkan ialah Seniman Agung Negara, Tan Sri P. Ramlee yang juga anak jati negeri ini di Jalan Sultan Azlan Shah di sini.

Kedudukan mural tersebut begitu strategik iaitu tidak jauh dari persimpangan yang sibuk, membolehkan pengguna jalan raya yang sedang berhenti di lampu isyarat menikmati karya tersebut.

Tokoh-tokoh lain yang dipilih untuk merealisasikan TSFP ialah Ahmad Nisfu, M. Zain, Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Abu Bakar Asyaari, Sheikh Uthman Jalaluddin, Sheikh Salleh Masri, Cikgu Abdul Razak, Cikgu Mohd. Noor dan Sheikh Abdullah Fahim.

Kos untuk TSFP ditanggung sepenuhnya oleh Lebuh Acheh Interpretation Center.

Mohd. Fitri memberitahu, Pulau Pinang begitu popular dengan pelbagai mural yang menjadi daya tarikan pelancong tetapi kebanyakannya ada di bandar Georgetown.

Sehubungan itu jelas beliau, dengan adanya karya sedemikian di kampung-kampung diharapkan mampu membawa limpahan ekonomi ke kawasan luar bandar.

Selain itu, projek tersebut juga sebagai platform untuk anak-anak muda mengetengahkan hasil karya mereka.

"Peluang yang diberikan kepada golongan ini untuk berkarya tidak banyak tetapi artis luar negara diberikan tempat amat meluas.

"Kita mahu buktikan bahawa artis-artis muda tempatan juga mampu menghasilkan karya bertaraf antarabangsa," ujar Mohd. Fitri.

Sementara itu, Ketua Projek TSFP, Mohd. Zharif Omar Zakaria menjelaskan, antara cabaran utama untuk menghasilkan mural tersebut adalah mencari lokasi sesuai.

Beliau yang juga seorang artis berkata, untuk menyiapkan sebuah mural sedemikian hanya memakan masa dua hari.

Hadiah pembayar cukai bertuah

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

MAT Noh Ahmad memotong riben tanda pelancaran kempen cabutan bertuah cukai pintu 2014 di Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 12 Dis.- Lebih 80,000 pemilik harta di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berpeluang memenangi sebuah Proton Saga SV sekiranya mereka melunaskan cukai pintu 2014 mulai Januari depan.

Datuk Bandar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, tawaran istimewa itu adalah sempena kempen membayar cukai sedekad MBAS yang dilancarkan hari ini.

Katanya, kempen itu berlangsung selama dua bulan bermula 1 Januari hingga 28 Februari depan dengan cabutan undi bagi mengetahui pemenang dijadual dibuat pada minggu pertama Mac.

"MBAS membuat perubahan drastik bagi menghargai pembayar cukai yang menunaikan tanggungjawab dengan menawarkan hadiah lumayan kepada mereka.

"Pembayar cukai perlu membayar sekaligus cukai tanpa sebarang tunggakan bagi melayakkan mereka menyertai kempen itu," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan kempen itu di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 62 hadiah bernilai RM50,000 ditawarkan pihaknya kepada pengguna yang menjelaskan kesemua cukai pintu mereka tanpa sebarang tunggakan.

Tambahnya, pembayar cukai dijangka menerima bil mereka bermula 24 Disember ini dan tiada sebarang perubahan pada kadar cukai dengan jumlahnya adalah sama seperti tahun lalu.

"Mereka boleh menjelaskan cukai itu menerusi kaunter MBAS, institusi kewangan, secara dalam talian, cek dan bank draf. Justeru tiada alasan bagi mereka untuk mengelak membayar cukai," katanya.

Mat Noh memberitahu, setakat 31 November lalu pihaknya sudah mengutip RM26.2 juta cukai dan dijangka meningkat menjelang akhir bulan ini.

"Tahun depan kita mensasarkan kutipan cukai sebanyak RM32.5 juta meliputi RM24.7 juta cukai semasa dan RM7.8 juta kutipan tunggakan,'' katanya.

Bantah pampasan tanah rendah

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Sebahagian daripada 30 penduduk di Alor Melintang yang terlibat dengan pengambilan tanah bagi projek rancangan tebatan banjir Sungai Anak Bukit tidak berpuas hati apabila harga yang ditawarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Penilaian Harta terlalu rendah.

ALOR SETAR 12 Dis. - Kira-kira 30 penduduk di sekitar Alor Melintang yang terlibat dengan pengambilan tanah bagi projek rancangan tebatan banjir Sungai Anak Bukit di sini tidak berpuas hati apabila nilai pampasan yang ditawarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Penilaian Harta (JPPH) didakwa terlalu rendah.

Wakil penduduk, Harun Shaari, 52, berkata, kawasan tanah sawah mereka hanya ditawarkan pampasan RM3.67 untuk 0.3 meter persegi dan kadar itu terlampau murah jika dibandingkan dengan harga yang mencecah RM15.

"Kami bukan tuntut harga yang tidak munasabah, pasaran di sini harganya RM15 dan kita tidak tolak pembangunan yang hendak dijalankan di sini.

"Kami cuma mahu hak kita diambil kira, JPPH ini seolah-olah tak peka dengan masalah kita, tanah yang kami ada adalah tanah sawah dan kami boleh dapat RM2,000 untuk satu musim.

"Jika tanah tersebut diambil untuk memberi laluan kepada projek ini sudah tentu kami tidak dapat mengerjakan sawah selepas ini dan disebabkan itu kami memerlukan nilai pampasan tanah yang berpatutan," katanya ketika ditemui di Sungai Baru di sini hari ini.

Menurutnya, pemilik tanah di kawasan Padang Hang dan Teluk Jawa yang juga terlibat dengan projek tersebut ditawarkan harga RM5.30 untuk keluasan yang sama dan kawasan itu terletak kira-kira lapan kilometer (km) daripada bandar Alor Setar.

"Kawasan Alor Melintang yang hanya empat km dari bandar Alor Setar tetapi dibayar lebih rendah," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Shukri Ali, 53, menggesa kerajaan membantu penduduk agar pampasan tanah yang diperoleh setimpal dengan nilai tanah mereka.

Kami semua hanya pesawah dan amat berharap nilai pampasan tanah boleh ditambah untuk masa depan kami," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved