Jumaat, 13 Disember 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Sultan Johor terima resolusi multaqa

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
utusanjohor@utusan.com.my

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar diiringi oleh Mohamed Khaled Nordin (kiri) bersalaman dengan hadirin pada Majlis Multaqa Ulama dan Ilmuan Darul Takzim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 12 Dis. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan mencemar duli untuk menghadiri Majlis Multaqa Ulama dan Ilmuan Darul Takzim kali ketiga yang diadakan bersempena dengan ulang tahun hari keputeraan baginda di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Dua resolusi utama yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan pendidikan agama dibentangkan ke hadapan baginda iaitu menjadikan bahagian pendidikan agama negeri kepada jabatan pendidikan agama negeri serta pengiktirafan darjah khas sekolah agama.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri, Abdul Mutalip Abd. Rahim dalam persembahan ucapannya memaklumkan Sultan Ibrahim bahawa penubuhan jabatan khusus itu dilihat akan memudahkan warga pendidik agama untuk berurusan, memberi pandangan dan membuat keputusan sendiri.

"Jabatan Agama Johor akan sentiasa memantau perjalanan jabatan itu di mana resolusi berkenaan akan diserahkan kepada kerajaan negeri sebelum diambil tindakan pelaksanaan. Keperluan jabatan ini adalah untuk memudahkan proses membuat keputusan.

"Mungkin salah satu daripadanya kita mahu supaya keperluan warga pendidikan agama sekarang ini sudah bertambah besar yang memerlukan isu-isu mereka diperluaskan. Ada cara mereka hendak beri pandangan, urus tadbir sendiri tetapi kita sentiasa memantau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Resolusi Majlis Multaqa Ulama dan Ilmuan Darul Takzim.

Sultan Ibrahim diiringi oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Obet Tawil; Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsudin; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut dan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin.

Terdahulu, Mohamed Khaled dalam ucapan persembahannya kepada Sultan Ibrahim berkata, pertemuan antara ulama dan umara' bukan sahaja melibatkan penyampaian ilmu agama kepada rakyat malah berperanan menasihati pemerintah.

"Sebab itulah ketika Islam mula bertapak di Tanah Melayu, alim ulama diangkat kedudukannya dengan diberi pengiktirafan oleh pemerintah sebagai penasihat kepada Sultan atau Raja. Atas dasar inilah saya melihat bahawa hubungan dinamik antara ulama dan umara perlu diperkasa kerana kedua-duanya adalah tunjang kekuatan ummah," katanya.

Kolam MF tumpuan kaki pancing

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Oleh ZULHISHAM ISAHAK

KOLAM MF yang terletak di Kampung Parit Perupuk Laut, Jalan Junid, Muar, kini menjadi tumpuan kaki pancing.

MUAR 12 Dis. - Siapa sangka pada usia 22 tahun, seorang pemuda kini boleh berbangga memiliki dua kolam pancing yang menawarkan pelbagai jenis ikan air masin untuk kaki pancing dari seluruh negara di Kolam MF dekat Kampung Parit Perupuk Laut di sini.

Mohd. Firdaus Awang Sapian pada mulanya tidak terfikir untuk terlibat dalam perniagaan itu yang diwarisi daripada arwah datuknya, Khalid Ahmad, namun selepas mencuba, akhirnya datang minat yang membolehkan beliau aktif dalam bidang perniagaan yang jarang diceburi golongan muda itu.

"Pada mulanya arwah datuk sudah mengusahakan kolam siakap sejak lima tahun lalu, cuma awal tahun ini saya menambah pelbagai jenis ikan lagi mengikut minat pemancing," katanya ketika ditemui di kolamnya hari ini.

Mohd. Firdaus berkata, kini kolam pancing miliknya memiliki spesies seperti siakap, jenahak, belitong, kerapu, kerapu raja, merah dan senangin seberat antara 900 gram hingga tiga kilogram setiap ekor.

Berkonsepkan masuk percuma, Mohd. Firdaus berkata, pemancing hanya perlu membayar harga ikan yang berjaya ditangkap mengikut berat manakala peralatan memancing boleh disewa dengan harga RM5 bagi satu joran serta umpan pada harga RM1 hingga RM2 mengikut jenis.

Katanya, pemancing yang mahu menyiang ikan yang ditangkap pula hanya perlu membayar RM2.

"Alhamdulillah setakat ini permintaan amat tinggi daripada pemancing seluruh negara terutama pada hujung minggu, ada yang datang dari Pulau Pinang, Terengganu, Lembah Klang selain pemancing sekitar negeri ini," katanya.

Kolam MF dibuka bermula 9 pagi hingga 7 malam setiap hari kecuali pada Jumaat yang dibuka bermula pukul 3 petang.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di https://www.facebook.com/KolamPancingSiakapMuar atau menghubungi Mohd. Firdaus di 017-6900417.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved