Jumaat, 13 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


JKN pantau wabak penyakit

Posted: 13 Dec 2013 10:10 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

KUANTAN 13 Dis. - Sebanyak 84 pasukan dari Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) digerakkan di kawasan-kawasan yang teruk dilanda banjir di negeri ini bagi menjalankan aktiviti pencegahan wabak penyakit berjangkit.

Pengarahnya, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 29 pasukan ditempatkan di Kuantan termasuk 14 pasukan yang dipinjamkan dari daerah lain kerana daerah ini paling teruk terjejas akibat bencana itu.

"Jabatan Kesihatan sentiasa mengawasi dan memantau keadaan banjir untuk menyediakan perkhidmatan pasukan perubatan dan pasukan kesihatan.

"Malah, pasukan perubatan telah beroperasi selama 24 jam di pusat pemindahan banjir yang mempunyai mangsa melebihi 1,000 orang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Norhizan, pihaknya kini lebih mengutamakan pemantauan aspek kebersihan dan kesihatan selepas banjir bagi mengelak berlakunya penyakit berjangkit seperti demam denggi, kolera, tifoid hepatitis A, keracunan makanan dan leptospirosis (kencing tikus).

"Antara usaha dilakukan ialah memeriksa serta memantau kebersihan persekitaran dan memusnahkan bekas-bekas yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk. Kita juga membantu melupuskan bangkai serta sisa-sisa bangkai yang boleh menyumbang kepada pembiakan lalat, tikus dan lipas dan memeriksa gerai atau premis makanan.

"Dalam pada itu, kita turut menjalankan pendidikan dan promosi kesihatan bagi menasihati penduduk supaya berhati-hati serta sentiasa mengamalkan kebersihan diri," jelasnya.

Katanya, penduduk yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kesihatan negeri di talian 09-5707910.

Jangan ambil kesempatan terhadap mangsa banjir

Posted: 13 Dec 2013 10:10 AM PST

Shahiruddin Ab. Moin (dua kanan) bersama sebahagian ahli koperasi turut menyumbang untuk mangsa banjir pada majlis penutup Kursus Perundangan Koperasi Peringkat Negeri Pahang 2013 di Hotel MS Garden, Kuantan, semalam.

KUANTAN 13 Dis. - Mangsa banjir di negeri ini khususnya di sini diminta menggunakan perkhidmatan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), agensi kerajaan dan badan sukarela bagi mengangkut sampah banjir ke tempat pembuangan sampah yang disediakan.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, beliau menerima aduan terdapat pemilik lori mengenakan caj melampau kepada mangsa banjir untuk mengangkut sampah itu ke tempat lain.

Tambahnya, tindakan tersebut dilihat mengambil kesempatan tanpa mempedulikan nasib mangsa yang sedih akibat banyak harta benda mereka musnah disebabkan bencana itu.

"Saya ada menerima aduan daripada mangsa banjir yang memberitahu dikenakan sehingga RM500 oleh pemilik lori terbabit untuk mengangkut sampah banjir ke tempat pembuangan sampah.

"Mereka diingatkan jangan ambil kesempatan terhadap kesusahan dialami mangsa banjir. Kalau mahu membantu biarlah mengenakan caj yang munasabah. Saya minta mangsa terbabit supaya berhubung terus dengan MPK kerana pelbagai agensi kerajaan sedia membantu mengangkut sampah itu di kawasan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perundangan Koperasi Peringkat negeri yang disertai 180 pemimpin koperasi di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau melancarkan derma kilat membantu mangsa banjir melibatkan wartawan dan jurugambar yang turut menjadi mangsa bencana tersebut.

Mengenai dakwaan terdapat sebuah pasar raya yang memindahkan barangan rosak mereka akibat banjir ke cawangan lain, Shahiruddin berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan mengenai perkara tersebut.

Namun katanya, tindakan akan diambil jika didapati pasar raya terbabit berbuat demikian kerana tidak mempedulikan kebersihan serta kesihatan pelanggan yang membeli barangan berkenaan.

"Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri akan menyiasat dakwaan ini kerana membabitkan keselamatan pengguna dan perkara berkenaan tidak patut berlaku demi mengejar keuntungan," ujarnya.

50 keluarga peneroka terima bantuan GWGF

Posted: 13 Dec 2013 10:10 AM PST

Abdullah Abu Bakar (duduk, empat dari kiri) bergambar bersama peneroka yang menjadi mangsa banjir di Felda Bukit Kuantan, Kuantan, semalam.

KUANTAN 13 Dis. - Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) dengan kerjasama Felda menyampaikan sumbangan kepada 50 keluarga peneroka yang terlibat dalam bencana banjir di negeri ini minggu lalu.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, gerakan misi bantuan itu membabitkan mangsa di Felda Bukit Kuantan, Felda Jengka 8, Jengka 11, Jengka 15 dan Felda Jengka 16.

Menurutnya, GWGF merangka bentuk bantuan yang diperlukan mangsa banjir mengikut keperluan dalam dua fasa iaitu semasa dan selepas bencana tersebut.

"Bantuan selepas banjir melibatkan pembersihan kawasan perumahan peneroka, surau, masjid dan lain-lain tempat terlibat akan dilaksanakan selepas banjir kembali pulih,'' katanya selepas menyampaikan bantuan tersebut di Felda Bukit Kuantan di sini semalam.

Abdullah yang juga Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM) berkata, misi bantuan itu merupakan satu inisiatif GWGF dalam menyumbang tenaga bagi meringankan beban mangsa terlibat.

Menurutnya, keperluan asas seperti 40 dapur gas, 400 botol air mineral, dan makanan ringan berkhasiat disalurkan bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.

Katanya, objektif misi berkenaan adalah bagi memberi bantuan asas dan membantu kawasan kediaman warga Felda yang terjejas akibat bencana itu.

"Ini menunjukkan bahawa semangat kekitaan menjadi tunjang perjuangan Pengerusi GWGF, Tan Sri Rozali Ismail yang sentiasa prihatin dengan kesulitan yang dialami warga Felda," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved