Rabu, 11 Disember 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Hargai peranan sungai

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

Mohamad Hasan (empat dari kanan) melawat Pintu Kawalan Pasang Surut selepas Perasmian Pintu Kawalan Pasang Surut (Tidal Gate J), Chuah, Port Dickson, Negeri Sembilan, kelmarin.

TELOK KEMANG 10 Dis. - Tanggungjawab untuk memelihara sungai yang menjadi nadi kehidupan serta penggerak kepada ekonomi sesebuah negara tidak hanya terletak pada agensi kerajaan dan badan yang bertanggungjawab.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tanggungjawab itu harus dipikul secara bersama oleh setiap individu selain kerjasama syarikat swasta bagi memastikan sungai yang ada di negeri ini terus menyumbang kepada keperluan rakyat.

Jelasnya, kejadian banjir yang berlaku secara tiba-tiba bukan hanya disebabkan kerana sungai menjadi cetek dan tidak mampu untuk menampung jumlah air yang banyak tetapi disebabkan sikap tidak ambil peduli masyarakat dan segelintir syarikat swasta terhadap kepentingan sumber berharga itu.

''Saya selalu sebut walaupun kita mahu jaringan jalan raya yang baik tetapi kita juga perlu ambil berat mengenai sungai kerana sungai juga menjadi nadi kepada masyarakat.

''Itu sebabnya apabila kita tidak ambil peduli, sikap tidak ambil kisah yang menebal tidak mahu menjaga sungai, maka alam akan bertindak kembali kepada kita dengan membawa bencana termasuklah banjir kilat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Pintu Kawalan Pasang Surut (Tidal Gate J), Chuah, Port Dickson dekat sini semalam.

Malah, kata Mohamad, sikap tidak ambil peduli masyarakat dapat dilihat apabila ada segelintir masyarakat yang mengambil mudah dengan membuang sampah ke dalam sungai memburukkan lagi keadaan, menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos bagi mendalamkannya.

Pada masa sama juga, kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak khususnya dari syarikat-syarikat swasta dalam memastikan alam terpelihara terutamanya dalam menjaga kepentingan penyelenggaraan, menaik-taraf serta memelihara sungai di negeri ini.

Malah, beliau turut menyeru pihak swasta mengambil inisiatif dan tanggungjawab dalam segala kegiatan industri yang dijalankan khususnya penjagaan sungai yang menjadi kepentingan utama dalam kehidupan kita.

''Sehubungan itu, kerjasama swasta seperti apa yang kita lihat hari ini, amat kita alu-alukan kerana pihak swasta juga memerlukan sebuah negara yang aman dan sebuah tempat yang boleh beroperasi dengan baik tanpa sebarang kesulitan seperti banjir dan sebagainya," katanya.

Negeri Sembilan sedia hadapi kemungkinan banjir rancang strategi cara agihan barangan

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

SEREMBAN 10 Dis. - Kerajaan negeri membuat persiapan untuk menghadapi banjir serta merancang strategi berhubung cara penyampaian barangan keperluan kepada mangsa agar ia dapat disalurkan dengan cepat dan lancar.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perancangan perlu supaya tidak timbul sebarang masalah berkaitan penyaluran barangan bantuan kepada penduduk terjejas banjir seperti yang berlaku sebelum ini.

''Tahap kesiapsiagaan amat baik dan kita banyak belajar musim banjir lalu berkenaan sistem penyampaian bantuan. Dahulu JKM kena bawa macam-macam, tapi di negeri ini kita sudah kenal pasti sesetengah kedai di Gemas dan Bahau yang mangsa boleh terus ambil barang.

''Daripada kita mengharapkan bantuan dari Seremban, berlori-lori datang tapi akhirnya bila nak sampai di tempat tersebut banjir berlaku dan bekalan makanan, pakaian dan sebagainya terputus," katanya selepas pelancaran konvoi 'Ops Banjir' Pemuda UMNO Negeri Sembilan di pekarangan Wisma Negeri, di sini hari ini.

Jelasnya, kedai runcit panel telah dilantik bagi memastikan penduduk terjejas banjir menerima barangan keperluan dengan cepat dan tidak menunggu saluran makanan daripada kerajaan negeri.

Mengulas mengenai bantuan banjir, Mohamad menjelaskan, seramai 120 ahli Pemuda UMNO negeri menyertai konvoi selama sehari itu yang melibatkan 12 buah kenderaan pacuan empat roda dalam misi bantuan kemanusiaan ke Kuantan, Pahang.

Menurutnya, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) juga menyalurkan bantuan 14,400 botol air dengan menggunakan 5 buah lori yang akan menghantar bantuan ke Kuantan dan Kemaman, Terengganu.

''Di peringkat kerajaan negeri pun kita akan hantar beberapa kakitangan kerajaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir secara berperingkat selain bantuan yang dihulurkan oleh beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Tampin, Ridzuan Ahmad berkata, Negeri Sembilan merupakan negeri pertama yang menghantar bantuan kerahan tenaga kepada rakyat di Kuantan bagi membersihkan rumah-rumah yang dilanda banjir.

''Program ini tercetus apabila Pemuda UMNO merasakan ini adalah misi kemanusiaan dan kita lupakan seketika tentang parti UMNO atau Pas. Kita mengambil inisiatif membantu rakyat di Pahang yang dilanda bencana banjir untuk membersihkan rumah mangsa dan kita mensasarkan 20 hingga 30 rumah untuk dibersihkan," katanya.

FoNS mampu ketengahkan sektor pelancongan

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

Tun Hairudin Abu Bakar (tiga dari kiri), Musa Yusof (tiga dari kanan), Mohammad Razi Kail (kiri) dan Zaidi Kassim (dua dari kanan) bersama melancarkan Kempen 'Friends of Negeri Sembilan' di Seremban, kelmarin.

SEREMBAN 10 Dis. - Tourism Malaysia Negeri Sembilan mengambil inisiatif baru dengan memperkenalkan Kempen 'Friends of Negeri Sembilan' (FoNS) bagi membawa industri pelancongan negeri ini ke tahap yang lebih tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan Negeri, Tun Hairudin Abu Bakar berkata, FoNS dilihat mempunyai potensi yang tinggi dalam membantu mempromosikan negeri ini sebagai salah satu destinasi pilihan.

''Ini merupakan salah satu usaha untuk mewujudkan satu rangkaian pelancongan di laman sosial media sekali gus membolehkan penggiat industri pelancongan dan masyarakat umum berhubung secara terus," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran FoNS dalam Persidangan Pelancongan Negeri Sembilan 2014 di Klana Resort di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof serta Pengerusi Lembaga Pelancongan Negeri, Datuk Mohammad Razi Kail.

Kata Tun Hairudin, keunikan adat dan budaya negeri ini serta keindahan alam semulajadi pantai peranginan Port Dickson merupakan ikon pelancongan utama negeri yang perlu diketengahkan kepada khalayak menerusi FoNS.

''Oleh yang demikian, penggiat industri perlu bersiap sedia untuk menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan menarik minat pelancong domestik mahupun luar negara agar berkunjung di negeri ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Tourism Malaysia Negeri, Zaidi Kassim berkata, penyertaan FoNS terbahagi kepada dua kategori iaitu orang awam dan penggiat industri pelancongan yang peserta hanya perlu like Facebook rasmi Tourism Malaysia Negeri Sembilan sebelum mengisi borang secara online.

''Kemudian, mereka yang sudah melengkapkan dan menghantar pendaftaran akan diminta menyertai grup FoNS di Facebook. Selesai kesemua langkah berikut, kita akan hubungi individu terbabit," katanya.

Beliau berkata, selain diberikan sijil keahlian, pelbagai intensif menarik ditawarkan kepada mereka yang mendaftar dan berpeluang memenangi cabutan bertuah dan menyertai pertandingan tertentu yang bakal diadakan setiap bulan, mulai Januari tahun depan.

''Berbeza pula bagi penggiat industri pelancongan kerana mereka akan dapat menyertai program promosi pelancongan yang dianjurkan Tourism Malaysia di peringkat tempatan mahupun antarabangsa seperti Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Pameran Matta)," katanya.

Dalam program tersebut, Tun Hairudin telah menyerahkan banner Kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 kepada sembilan pengusaha homestay.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved