Rabu, 11 Disember 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Pengajaran dari Singapura

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

BERATUS pekerja dari Asia Selatan merusuh di kawasan Little India, Singapura pada Ahad lalu. - AFP

KIRA-KIRA 12 tahun lalu di Singapura apabila anak seorang Amerika, Michael Faye menyembur cat pada sebuah kereta secara main-main, dia dijatuhi hukuman berat - didenda setimpal dengan perbuatannya.

Waktu itu Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton terus angkat telefon menghubungi Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong. Tetapi dijawab Chok Tong: "Jika Amerika Syarikat ada undang-undangnya, Singapura juga ada undang-undangnya."

Faye tetap didenda, sekali gus memperlihatkan ketegasan Singapura terhadap jenayah-jenayah berat, waima yang ringan sekali pun.

Namun, Ahad lalu di Singapura berlaku kejadian tidak disangka-sangka. Kira-kira 400 pekerja dari Asia Selatan terlibat dalam rusuhan yang menyaksikan 25 kenderaan termasuk bas serta 16 kereta polis musnah serta dibakar manakala 39 anggota polis dan petugas keselamatan awam cedera. Kumpulan perusuh mengganas setelah tersebar berita kematian seorang rakyat India dilanggar sebuah bas.

Jika selama ini Singapura dianggap negara paling efisien - bersih dari sudut anti-jenayah, kemajuan tiada tolok banding serta penguatkuasaan undang-undang antara tersohor di dunia - rusuhan Ahad lalu merobek segala-gala imej republik itu.

Sama ada kerajaan Singapura 'terlepas pandang' bibit-bibit sebelum insiden ini, itu persoalkan kemudian.

Cuma daripada peristiwa ganas pekerja asing India dan Bangladesh di Little India, dekat Serangoon Road dan Race Course Road, Singapura itu, Malaysia sepatutnya beroleh satu perbandingan yang perlu diambil berat dari sudut-sudut perundangan, kesan ekonomi dan badan-badan antara kaum.

"Apa yang berlaku di Litte India, Singapura itu satu pengajaran berguna kepada negara-negara jiran bagaimana majunya negara itu, masih ada ancaman terhadap sosio budaya dan politik. Dengan keadaan di Singapura, sekali gus tampak pekerja-pekerja asing ini apabila besar bilangannya tetap mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

"Masa bilangannya kecil, mereka hormat dan beradab tetapi bila bilangannya besar seperti di Singapura, Malaysia juga tidak mustahil mendepani masalah ini," kata Penasihat Kerajaan bagi Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim kepada penulis semalam.

Rais memberitahu, ancaman pekerja-pekerja asing di negara punca pencarian rezeki mereka bertambah berat dan serius apabila dibenarkan kelompok-kelompok kumpulan mereka 'mengadakan dunia mereka sendiri' seperti berhimpun.

"Kalau di Singapura, selain Little India, ribuan warga Filipina juga berhimpun setiap Ahad di Lucky Plaza dekat Orchard Road, sampaikan anda sendiri kalau ke sana 'sesak nafas' dibuatnya," katanya.

Dan apabila mereka ini mempunyai 'perpekanan' atau kawasan berhimpun secara sosial seperti di Serangoon Road dan Orchard Road, pihak berkuasa harus berwaspada dengan keadaan ini.

"Di Ampang contohnya, seperti mana Ampang Point dan Ampang Park, apa yang nampak kelibat besar warga Nigeria dan (benua) Afrika pada hujung minggu sehinggakan negara ini nampak negara Afrika.

"Bilangan mereka, apabila besar seperti mana di Singapura tempoh hari, mereka tak takut dah, sanggup buat apa sahaja, sekali pun bertempur dengan polis.

"Senario ini perlu dielakkan. Kaedah pencegahan perlu dicari dari sekarang. Juga, perlu berwaspada khabar-khabar angin bahawa sebahagian warga Bangladesh sudah dapat MyKad, selain ada laporan menunjukkan beberapa kumpulan pendatang dari Afrika memiliki dokumen-dokumen palsu," kata beliau.

Mengambil teladan daripada rusuhan di Singapura, kata Rais, isu di Malaysia adalah berkaitan soal ketenteraman awam dan langkah-langkah pencegahannya.

"Ini harus diwujudkan segera. Jika di Singapura pun yang sentiasa bersiap-siaga dengan penguatkuasaan anti-jenayah dan anti-rusuhannya yang cekap, apatah lagi dengan sistem kita," katanya.

Justeru, bagaimana penyelesaiannya? Rais antara lain menggariskan langkah-langkah berikut:

1. Di bawah tajuk pencegahan, wajar dilihat sudut penguatkuasaan, pemilikan kad pengenalan dan kad sah kerja di Malaysia. Setakat ini 'check point' mengejut jarang dilakukan. Dalam konteks ini juga, Rais ada mengemukakan kepada kerajaan mengenai keperluan undang-undang pekerja asing dibuat secara menyeluruh.

Yang tersedia ada, masing-masing penguatkuasaan 'berpecah' di Kementerian Dalam Negeri, pihak kerajaan tempatan serta Kementerian Kesihatan (kesihatan pekerja). Tidak ada sistem menyeluruh bagi pendatang asing.

2. Tidak membenarkan mana-mana warga asing mengadakan perhimpunan besar-besaran secara riadah atau berkaitan urusan kerja. Bila berhimpun terlalu ramai, akan wujudlah kumpulan gengster dan 'triad' (Cina).

3. Operasi pencegahan ini wajar diumum dan dilaksanakan supaya tampak oleh masyarakat.

Apa yang dikongsi oleh Rais amat berguna untuk direnung bersama oleh pihak berkuasa dan kerajaan negara ini. Dengan bilangan berjuta pekerja asing selain bilangan yang haram pun belum dimuktamadkan angkanya, nisbah ini cukup besar.

Dianggarkan terdapat 2.5 juta pekerja asing di Malaysia. Juga, harus dibuat sesuatu dengan meneliti niat warga asing berkahwin dengan warganegara Malaysia. Bila beranak-pinak, mereka kelak akan minta pula mahu menjadi penduduk kekal atau terus memperoleh taraf warganegara di bawah proses pendaftaran. Jika beribu-ribu warga asing buat begini, macam mana?

Akibatnya, mereka akan bersaing pula dengan rakyat Malaysia dalam berebut faedah/kemudahan kesihatan, persekolahan, perumahan dan peluang pekerjaan.

Rais mengakhiri perbualannya: "Di Malaysia, kita mesti curiga terhadap pekerja asing. Kecurigaan ini perlu diterjemahkan dengan penguatkuasaan imigresen yang cekap. Bukan perkara memalukan jika rondaan dibuat setiap hari.

"Di KLCC misalnya, perlu dikerapkan rondaan semasa musim perayaan setiap tahun.

"Dan dalam konteks ini tidak salah dicadang diwujudkan latihan nasional supaya warga Malaysia sendiri berupaya mengambil peranan pekerja asing dalam sektor tertentu seperti pembantu rumah.

"Ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung kerajaan terhadap warga asing."

Strategi pengkaderan suatu langkah bijak

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

SALAH satu strategi memperkasa UMNO yang disebut oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak ialah program pengkaderan. Pengkaderan atau lazim disebut tarbiyah dalam kalangan sesetengah pihak adalah sesuatu yang amat dituntut.

UMNO sejak ditubuhkan mempunyai idealisme memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara. Idealisme ini perlu sentiasa hidup dan dipupuk dalam kalangan ahli terutama Pemuda dan Puteri supaya perjuangan UMNO dilihat relevan dengan tuntutan zaman.

Ahli UMNO boleh lupa dengan idealisme perjuangan ini sekiranya pengkaderan tidak berlaku kerana realiti yang dihadapi oleh UMNO kini berbanding dengan realiti yang dihadapi oleh pejuang-pejuang UMNO sebelum dan selepas mereka adalah tidak sama.

Pejuang-pejuang UMNO pada masa lalu sanggup berkorban memperjuangkan cita-cita UMNO dan bersusah payah menghidupkannya sehingga asas yang mereka bina menyebabkan UMNO berkembang sehingga menjadi teras politik negara kini.

Pengkaderan pada hemat penulis ialah suatu proses menggilap semula kesedaran, keinsafan, pemahaman mengenai sejarah perjuangan, jatuh bangun parti, melihat cabaran kini dan masa depan dan membangun tekad bahawa idealisme perjuangan perlu hidup kerana tanpanya UMNO boleh hilang dukungan generasi muda.

Umpamanya dukungan terhadap memperkasa umat Melayu dengan menjadikan Islam sebagai tunjangannya adalah sesuatu yang amat relevan dengan perkembangan zaman. Islam yang sifatnya ketamadunan harus menjadi asas transformasi kepada parti UMNO dan orang UMNO.

Telah banyak pendekatan yang dilakukan oleh UMNO dan kerajaan untuk memperkasa Islam dalam institusi ilmu dan pendidikan, muamalah, tijarah dan ekonomi, menyantuni kelompok miskin dan terpinggir, syariat dan media yang seharusnya diperkukuhkan lagi dalam bidang-bidang yang lain.

Ia memerlukan proses pengkaderan kepada ahli-ahli UMNO supaya idealisme perjuangan sentiasa segar dalam ingatan, pemahaman terhadap cabaran terkini harus semasa dan persiapan untuk meneruskan perjuangan sentiasa berada di landasan yang strategik dan maslahah yang bijaksana.

Sejarah mengenai kemerdekaan, pendekatan menggubal Perlembagaan, kepentingan institusi Raja dan Sultan, Islam sebagai Agama Persekutuan, Hak Istimewa orang Melayu, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan banyak lagi adalah asas-asas fundamental yang perlu difahami benar hikmah ia diperuntukkan supaya generasi muda tidak lupa atau terjebak dengan perangkap memperkasa umat Melayu itu adalah asabiyah atau rasis.

Perjuangan UMNO dan umat Melayu adalah suatu simbiosis. Memperkasa umat Melayu adalah memperkasa Islam sekali gus. Konsep umat yang membawa maksud Islam apabila ditindikkan dengan potensi bangsa Melayu merupakan sinergi yang bertenaga untuk mencetuskan perubahan atau transformasi.

Keadaan ini akan menjadi lebih bermakna sekiranya ahli UMNO memahami tentang gagasan besar dan utama dalam haluan perjuangan supaya idealisme UMNO terus segar dan hidup dalam memberi respons terhadap realiti.

Dunia Islam kini sedang melihat suatu model yang mampu menampilkan wahdah atau kesatuan sesama warga umat, model alternatif yang Islami, keupayaan warga umat menyantuni situasi majmuk dan globalisasi yang menghimpit.

Yakinlah dengan strategi pengkaderan yang berterusan dalam kalangan seluruh warga UMNO, ia bakal mengukuhkan lagi tekad perjuangan untuk memartabat Islam sebagai asas perubahan dan kemajuan di Malaysia.

Ia adalah suatu taklif atau amanah bagi setiap warga UMNO bahawa perjuangan untuk memperkasa umat Melayu masih belum selesai. Ia menuntut iltizam atau komitmen yang tinggi supaya strategi UMNO dan pendekatan kerajaan mampu menjadikan umat Melayu disegani dan dihormati lantaran pada diri setiap ahli UMNO terutama kepimpinannya memiliki tekad tinggi untuk terus maju dan berubah dalam acuan kita sendiri.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved