Rabu, 11 Disember 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Polis Kelantan rampas pil kuda bernilai RM3 juta

Posted: 10 Dec 2013 10:47 PM PST

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

KOTA BHARU 11 Dis. - Polis Kelantan berjaya menumpaskan sindiket penjualan pil kuda selepas menahan empat orang lelaki serta merampas 60,200 pil berkenaan dianggarkan bernilai RM1.5 juta di sebuah rumah di Jalan Sultan Yahya Petra di sini, Khamis lalu.

Tangkapan itu susulan kejayaan polis menumpaskan sindiket sama didalangi oleh tujuh keluarga serta merampas sebanyak 62,400 biji pil kuda bernilai RM1.56 juta di Kampung Pulau Panjang, Pengkalan Chepa dekat sini 2 Disember lalu.

Kes terbaharu itu menjadikan dalam tempoh empat hari, Polis Kelantan melalui Op Cantas Khas Narkotik yang dilaksanakan di sekitar negeri ini, berjaya merampas sebanyak 122,614 pil kuda dianggarkan bernilai lebih RM3 juta.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Mit Embong memberitahu, empat lelaki tersebut yang berumur dalam lingkungan 26 sehingga 29 tahun, ditahan di sebuah kedai tayar di Jalan Cherang, Kampung Bayam Lundang di sini.

Katanya, hasil maklumat, polis telah menyerbu kedai berkenaan sebelum menahan suspek terbabit yang juga penggangur dan merampas sebanyak 200 biji pil kuda yang disembunyikan di dalam timbunan tayar di kedai tersebut.

Ujarnya, selepas melakukan soal-siasat terhadap suspek, polis kemudiannya menyerbu rumah sewa mereka di Jalan Sultan Yahya Petra di sini dan melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Honda Jazz yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, telah menemukan sebanyak 30 bungkusan yang dibalut dengan surat khabar diikat dengan gelang getah di atas alas kaki bahagian belakang sebelah kanan kereta itu.

"Di dalam 30 bungkusan tersebut mengandungi sebanyak 60,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM1.5 juta. Polis juga telah menyita lima buah kereta pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM200,000.

"Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sejak Khamis lalu dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori serta Seksyen 32 akta sama," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

18 buah rumah kedai terbakar

Posted: 10 Dec 2013 10:26 AM PST

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

Orang ramai menyaksikan kebakaran yang memusnahkan deretan 18 buah rumah kedai di Batu 1 (Kilometer 1.6), Jalan Lintang, Sungai Siput, Perak, semalam. - BERNAMA

SUNGAI SIPUT 10 Dis. - Sederet 18 buah rumah kedai musnah dalam kebakaran mengakibatkan kerugian sebanyak RM1.5 juta di Batu 1 (Kilometer 1.6), Jalan Lintang, di sini awal pagi ini.

Antara kedai yang terlibat dalam kejadian pukul 12.20 tengah malam itu adalah kedai perabot, kedai runcit, kedai menjual motosikal, bengkel motosikal, kedai makan serta kedai bunga.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba 1 Wan Azmi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pukul 12.30 tengah malam dan jentera pertama tiba di lokasi dalam tempoh tiga minit.

"Enam buah jentera bersama 34 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Kuala Kangsar, Ipoh dan Meru Raya terlibat memadamkan kebakaran tersebut.

"Pihak kami berjaya mengawal api daripada merebak ke premis bersebelahan dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh hampir tiga jam. Kebanyakan premis terbakar diperbuat daripada kayu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Wan Azmi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni premis berkenaan sempat menyelamatkan diri ketika kejadian berlaku.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Unit Forensik jabatan itu sedang menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian dianggarkan RM1.5 juta.

"Pihak bomba terpaksa mendapatkan bekalan air dari sungai berdekatan kerana bekalan air yang disalurkan ke kawasan itu berada pada tekanan rendah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved