Rabu, 11 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Jalan mendap sukarkan Orang Asli

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Ahmad Zubair (tiga dari depan) bersama penduduk Orang Asli menunjukkan jalan yang mendap dan rosak di Pos Pantos, Kuala Lipis, semalam.

KUALA LIPIS 11 Dis. - Sebanyak 1,500 Orang Asli di Kampung Pantos dan Projek Pemajuan Kawasan (PPK), Hulu Jelai dekat sini hampir terputus hubungan berikutan masalah mendapan dan kerosakan jalan raya antara Kuala Medang ke Pos Pantos, kelmarin.

Kejadian itu berpunca daripada hujan lebat sejak beberapa hari lalu yang menyebabkan berlakunya hakisan di laluan tersebut.

Berikutan mendapan itu, penduduk Orang Asli etnik Semai kini sukar keluar ke pekan Sungai Koyan dan bandar Kuala Lipis kecuali menggunakan laluan alternatif di ladang sawit berdekatan.

Ketua PPK Pos Pantos, Ahmad Zubair, 46, berkata, mendapan tanah kini semakin besar dan dikhuatiri boleh mengakibatkan runtuhan lebih serius sekali gus mengundang risiko keselamatan.

"Kawasan jalan yang berturap terus mendap kerana cerun dihakis oleh air hujan dengan cepat dan tanah mulai runtuh menyebabkan laluan ini tidak boleh digunakan oleh kenderaan," katanya.

Menurutnya, usaha membaik pulih jalan itu perlu dilaksanakan segera memandangkan penduduk Orang Asli sering berulang alik ke tempat kerja dan berbelanja di bandar berdekatan khususnya untuk membuat persiapan persekolahan tidak lama lagi.

Seorang penduduk Pos Pantos, Shahrim Abdullah, 36, berkata, mendapan di kawasan jalan itu agak besar dan dikesan pada pukul 6.30 petang kelmarin.

"Mendapan ini membabitkan jarak sepanjang 50 meter manakala terdapat kawasan yang berlaku mendapan sedalam 10 meter.

"Sebagai alternatif, penduduk terpaksa menggunakan laluan di ladang sawit berdekatan tetapi menghadapi kesukaran kerana mengharungi jalan berlumpur dan licin sebelum sampai ke Kuala Medang," katanya.

Cakna Anak Pahang hantar bekalan makanan

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

Raja Borhan Raja Jaafar (kiri) menunjukkan bekalan makanan yang dikumpulkan di Arked Mara Temerloh untuk diedarkan kepada mangsa banjir di Temerloh, semalam.

TEMERLOH 11 Dis. - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Cakna Anak Pahang (CAP) telah menghantar lebih 20 tan bekalan makanan dan pakaian kepada mangsa banjir di beberapa daerah di negeri ini sejak minggu lalu.

Timbalan Pengerusinya, Raja Borhan Raja Jaafar berkata, pihaknya mula menggerakkan tenaga sukarelawan bagi menghantar bantuan sejak hari pertama banjir melanda Kuantan seterusnya meliputi beberapa daerah lain termasuk Bera, Maran, Jengka, Jerantut dan Temerloh.

Katanya, usaha ini menepati tujuan penubuhan CAP pada tahun lalu iaitu untuk membantu penduduk di negeri ini yang memerlukan pertolongan akibat bencana di samping membantu kebajikan penghuni rumah anak yatim.

"Sejak banjir melanda, kami menerima lebih 20 tan sumbangan barangan keperluan asas seperti makanan, susu bayi serta kanak-kanak, pakaian, lampin pakai buang dan tuala wanita sama ada daripada penduduk di negeri ini mahu pun orang luar termasuk dari Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak dan Negeri Sembilan.

"Kita membuat iklan untuk sumbangan menerusi laman sosial Facebook Cakna Anak Pahang dan orang ramai boleh mendapatkan pelbagai maklumat di situ," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pusat pengumpulan barangan CAP di Bangunan Arked Majlis Amanah Rakyat (Mara) Temerloh di sini hari ini.

Menurutnya, selain bantuan dalam bentuk makanan dan pakaian, pihaknya turut menerima sumbangan wang tunai daripada orang ramai yang digunakan untuk membeli barangan sebelum diagihkan kepada mangsa banjir.

Sementara itu, Raja Borhan berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada mangsa banjir yang terputus hubungan kerana mereka kekurangan bekalan berbanding di pusat pemindahan yang mendapat bantuan segera daripada agensi terlibat.

"Kami akan redah ke mana sahaja sama ada menggunakan bot atau kenderaan pacuan empat roda (4WD) demi membantu mangsa banjir yang terputus hubungan agar mereka mendapat bekalan makanan bagi meneruskan hidup sehingga air surut," katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya turut mendapat bantuan daripada agensi pelancongan, kelab bermotor dan Pusat Belia Antarabangsa di Cheras bagi mendapatkan sumbangan terutama daripada pihak di luar negeri ini.

Tambahnya, CAP memerlukan lebih banyak bekalan makanan, susu untuk bayi serta kanak-kanak dan lampin pakai buang bagi diedarkan kerana masih ramai mangsa banjir yang terputus hubungan.

"Kita juga mengalu-alukan khidmat sukarelawan serta pengangkutan seperti lori dan bot untuk memudahkan kerja-kerja menghantar bantuan kepada mangsa banjir," jelasnya.

Raja Borhan berkata, Temerloh menjadi pusat pengumpulan bantuan dari semua tempat kerana bandar ini terletak di tengah negeri Pahang dan pihaknya akan menghubungi wakil di setiap daerah untuk mengambil bekalan sebelum dihantar kepada mangsa banjir.

"Pusat pengumpulan di Arked Mara Temerloh ini beroperasi daripada pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam dan mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh datang terus ke sini atau menghubungi saya di 019-9623410," katanya.

Yadim sumbang makanan

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

KUANTAN 11 Dis. - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyumbangkan sebanyak 300 bungkusan makanan dan barangan keperluan kepada penduduk di tiga buah kampung di daerah ini yang terlibat dengan banjir.

Pengurus Besar Yadim, Dr. Shamsuddin Moner berkata, bungkusan berkenaan diedarkan dari rumah ke rumah oleh sukarelawan Al-Fatah Yadim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang.

"Tiga kampung itu adalah Kampung Belukar, Kampung Razali dan Kampung Chendering yang terjejas teruk akibat bencana banjir ini.

"Secara keseluruhan sebanyak 300 buah rumah dapat dikunjungi oleh sukarelawan yang terlibat untuk disampaikan sumbangan ini," katanya di sini semalam.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved