Rabu, 11 Disember 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


'Mak Engku' direman

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

Oleh FAZRINA AYU RADUIAN
pengarang@utusan.com.my

WANITA dikenali sebagai 'Mak Engku' dibawa keluar dari Mahkamah Majistret setelah mendapat perintah reman ke atasnya di Kuala Selangor, semalam.

KUALA SELANGOR 11 Dis. - Seorang nenek berusia 60 tahun yang mempunyai 16 rekod jenayah dan dikenali sebagai 'Mak Engku' direman selama 14 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes pembunuhan penjaga cicak tokek yang berlaku di lombong Jalan Rantau Panjang, Bestari Jaya pada 30 Ogos lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Kuala Selangor, Shah Wira Abdul Halim dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 bersama Seksyen 12 akta yang sama.

Warga emas itu merupakan wanita pertama yang ditahan mengikut akta berkenaan di negara ini sejak rang undang-undang bagi meminda PCA 1959 diluluskan di Dewan Rakyat pada Oktober lalu.

Akta tersebut digubal untuk mencegah aktiviti jenayah berat dan jenayah terancang yang semakin meningkat di negara ini.

Warga emas yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor itu tiba di mahkamah pada pukul 10.50 pagi sebelum dibawa keluar pada pukul 11.30 pagi.

Suspek ditahan polis di satu lokasi di Kuala Selangor pada pukul 2 pagi, 11 September lalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan penjaga cicak tokek tersebut.

Selain wanita terbabit, polis turut menahan 16 lelaki berusia 21 hingga 48 tahun secara berperingkat di sekitar Selangor dan Hilir Perak.

Kesemua yang ditahan adalah ekoran kematian mangsa, Syairul Helmy Azhar, 24, dipercayai dibunuh dan mayatnya ditemui di dalam sebuah kereta yang separuh tenggelam di sebuah lombong.

Mangsa yang juga seorang ahli perniagaan dikatakan orang yang diamanahkan oleh wanita itu untuk memelihara cicak tokek yang dikatakan bernilai RM 1 juta dan mencari pembeli yang berpotensi.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan telah menghilangkan diri bersama reptilia itu sehingga menyebabkan wanita terbabit meminta sekumpulan lelaki untuk menjejaknya dan mangsa akhirnya ditemui mati dibunuh.

Sementara itu, hasil siasatan mendapati wanita warga emas terbabit mempunyai 16 rekod jenayah berkaitan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam kes penipuan urusan perniagaan di Perak dan Pahang.

Susulan itu, suspek kemudian turut disiasat berkaitan kes penipuan di Perak dan Pahang sebelum diserahkan semula kepada polis Selangor untuk meneruskan siasatan kes pembunuhan penjaga cicak tokek mengikut PCA.

Permohonan kedua gugur Muhammad Shafee 19 Disember

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

PUTRAJAYA 11 Dis. - Mahkamah Rayuan menetapkan 19 Disember ini bagi mendengar permohonan kali kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang itu.

Pada tarikh itu juga, mahkamah akan menetapkan tarikh rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Aziah Ali menangguhkan rayuan yang dijadualkan selama dua hari hingga esok bagi membolehkan barisan peguam bela diketuai oleh peguam Tommy Thomas membalas afidavit jawapan yang difailkan oleh Muhammad Shafee hari ini.

Muhammad Shafee memfailkan afidavit balasan berhubung permohonan kedua pihak pembelaan untuk menyingkirkan beliau daripada mengetuai pendakwaan dalam rayuan pendakwa raya terhadap pembebasan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu daripada tuduhan liwat tersebut.

Notis usul terhadap permohonan itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Karpal Singh & Co., pada 6 Disember lalu berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 21 November lalu yang memutuskan pelantikan Muhammad Shafee adalah sah di sisi undang-undang.

Permohonan terbaharu ini berpandukan kepada akuan berkanun (SD) bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim yang dibuat pada 7 Oktober lalu.

Sementara itu, Muhammad Shafee dalam afidavit jawapannya menyatakan, permohonan baharu yang bersandarkan kepada akuan berkanun Mat Zain, hanya bertujuan untuk melengah-lengahkan rayuan pendakwa raya.

Muhammad Shafee berkata, permohonan kali kedua berturut-turut Anwar yang berasaskan kepada alasan yang remeh-temeh, merupakan penyalahgunaan proses mahkamah dan seharusnya ditolak kerana akan menjurus kepada penangguhan demi penangguhan.

Dalam afidavitnya, Muhammad Shafee turut menafikan dakwaan dalam akuan berkanun Mat Zain yang menyentuh penglibatan beliau dengan pelbagai pihak yang mengaitkan plot dan konspirasi untuk memecat Peguam Negara berhubung beberapa isu sensitif.

Sehubungan itu, beliau memohon agar permohonan Anwar ditolak kerana kehadirannya selaku pendakwa raya semata-mata bertujuan berhujah dalam rayuan itu berdasarkan kepada rekod rayuan dan sama sekali tidak akan menyebabkan prejudis ke atas Ketua Pembangkang itu.

Hakim Aziah yang turut bersidang bersama Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh sepatutnya mendengar rayuan pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pada 9 Januari tahun lalu yang melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat.

Anwar, 66, didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Terdahulu, seorang lagi peguam bela, Ramkarpal Singh memohon agar pendengaran rayuan tersebut ditangguhkan ke satu tarikh baharu ekoran peguam utama Anwar, Karpal Singh sedang menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan jangkitan paru-paru.

Tambahnya, Karpal dimasukkan ke hospital sejak 7 Disember lalu dan dijangka menjalani rawatan sehingga hujung minggu ini.

Sementara itu, Muhammad Shafee memaklumkan kepada pihak media selepas selesai prosiding berhubung rasa tidak puas hatinya ekoran ketidakhadiran Anwar yang difahamkan kini berada di Washington bagi menghadiri satu seminar.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved