Sabtu, 2 November 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kedah negeri serius timbang projek yang memberi manfaat kepada rakyat

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

JERAI 1 Nov. - Kerajaan negeri melihat ada kewajaran dalam cadangan pihak swasta untuk membina sebuah pelabuhan di Pulau Bunting dekat sini yang dilihat mampu membawa manfaat kepada rakyat Kedah termasuk di Sungai Limau.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) berkata, cadangan pembinaan pelabuhan berkenaan yang akan digunakan untuk tujuan aktiviti eksport dan import itu dilihat dapat membantu kewujudan Taman Perindustrian Automatif Gurun secara langsung.

Beliau berkata, dengan terbinanya pelabuhan itu maka industri di situ tidak perlu terlalu bergantung kepada pelabuhan Pulau Pinang yang semakin hari semakin sesak.

"Keperluan sekarang ini mewajarkan sebuah pelabuhan baharu di Pulau Bunting. Ini secara langsung memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan Yan termasuk di Sungai Limau.

"Pembinaannya masih di peringkat cadangan tetapi cadangan itu agak serius. Memang saya bertujuan berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan cadangan pembinaan pelabuhan baharu di situ," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program latihan kemahiran automotif di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN), di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, selaras dengan cadangan pembinaan pelaburan itu, kerajaan negeri juga mempertimbangkan cadangan pembinaan sebuah loji janakuasa arang batu di Pulau Bunting untuk membekalkan tenaga elektrik ke Thailand.

Katanya, Kerajaan Kedah tiada halangan secara prinsip tetapi masih tertakluk kepada jawapan susulan terhadap syarat-syarat yang dikemukakan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kewujudan Taman Perindustrian Automotif Gurun meningkatkan keperluan untuk tenaga mahir berasaskan penggunaan mesin berteknologi tinggi.

"Di Jerai kita mempunyai potensi besar untuk dibangunkan khususnya melibatkan industri automotif yang kita pun sudah sedia maklum berjalan sejak wujudnya Taman Perindusrian Automatif Gurun.

"Kerajaan Persekutuan juga sudah meluluskan peruntukan untuk membina jalan yang akan menghubungkan Gurun termasuk Guar Chempedak sehingga ke Pulau Bunting," katanya.

Justeru, beliau berharap rakyat Kedah khususnya golongan muda mengejar ilmu pengetahuan yang sepadan dengan permintaan dan pasaran yang akan kerajaan negeri wujudkan.

"Saya berharap mereka dari semasa ke semasa mengambil tahu industri apa yang kita akan beri tumpuan supaya jurusan yang diambil itu menepati permintaaan tersebut," katanya.

JKJR Perlis yakin dapat kurangkan kematian

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

ZAHIDI Zainul Abidin (kanan) dan Mahmud Shahruddin Mustaffa (tengah) menyampaikan topi keledar kepada penunggang motosikal dalam Kempen TMTA JKJR bersama Allianz Insurance di Padang Besar, Perlis, kelmarin.

PADANG BESAR 1 Nov. - Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Perlis yakin dapat mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di negeri ini sekurang-kurangnya 10 peratus pada tahun ini.

Pemangku pengarahnya, Mahmud Shahruddin Mustaffa berkata, ini berikutan pelbagai program kempen keselamatan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya pengguna jalan raya, termasuk Tiada Minggu Tanpa Advokasi (TMTA).

"TMTA dijalankan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu di seluruh negeri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya selepas Kempen TMTA JKJR bersama Allianz Insurance yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin di Kilometer 12 Jalan Kangar-Padang Besar, di sini semalam.

Pada kempen tersebut sebanyak 50 buah topi keledar dan 20 buah tempat duduk kanak-kanak diedarkan kepada pengguna kenderaan di situ sempena cuti perayaan Deepavali.

Mahmud Shahruddin berkata, kempen TMTA itu diharap dapat menyedarkan pengguna jalan raya terutama penunggang dan pembonceng motosikal supaya menjaga keselamatan diri pada musim perayaan Deepavali.

"Mereka perlu menjaga keselamatan dengan tidak memperjudikan diri dengan memakai topi keledar tiruan," katanya.

Menurut beliau, dalam program TMTA pihaknya juga mengedarkan risalah Keselamatan Jalan Raya (KJR) kepada pemandu kereta, meletakkan pelekat pemantul cahaya kepada motosikal selain pertukaran topi keledar usang.

Selain itu, katanya, pihaknya turut menyusun beberapa program KJR berbentuk pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah menerusi penubuhan Kelab JKJR, program pendidikan bersama majikan dan masyarakat.

Menurut Mahmud Shahruddin, berdasarkan statistik kes kematian sebelum ini, sebanyak 79 kes dilaporkan pada 2011 manakala 2012 mencatatkan penurunan iaitu 71 kematian.

Beliau yakin kes kematian tahun ini akan menurun lagi bersandarkan usaha JKJR bersama agensi berwajib mempergiatkan kempen kesedaran kepada pengguna jalan raya.

Tambahnya, penunggang dan pembonceng motosikal masih merupakan penyumbang tertinggi kes kematian dalam kemalangan jalan raya di negeri ini.

Warga emas ditipu lelaki menyamar pekerja TNB

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

KUALA KANGSAR 1 Nov. - Seorang wanita warga emas kerugian RM10,000 selepas wang tunai dan barang kemasnya dilarikan dua lelaki yang menyamar sebagai pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Padang Asam, Padang Rengas, di sini baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Guan Beng Kang, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang Sabtu lalu melibatkan wang tunai RM3,000 dan sejumlah barang kemas milik mangsa yang berusia 74 tahun.

Menurut beliau, suspek sebelum itu datang ke rumah mangsa menyamar sebagai pekerja TNB kononnya untuk membaiki kerosakan elektrik di dalam rumah wanita berkenaan.

Katanya, salah seorang suspek meminta wanita berkenaan menanggalkan semua barang kemas yang dipakainya dengan alasan untuk mengelak terkena renjatan elektrik ketika kerja pembaikan dijalankan.

"Mangsa yang akur kemudian menanggalkan barang kemas yang dipakai lalu mengumpulkan barangan itu dalam sebuah beg dan disimpan dalam bilik.

"Salah seorang suspek kemudian mengarahkan wanita itu melihat rakannya yang sedang melakukan kerja-kerja pembaikan di bahagian dapur. Kedua-dua suspek kemudian keluar dari rumah dengan alasan untuk membeli beberapa barangan yang diperlukan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Beng Kang, sebaik saja kedua-dua lelaki itu beredar, mangsa mendapati begnya yang berisi barang kemas dan wang tunai telah hilang.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membenarkan individu yang tidak dikenali daripada memasuki rumah mereka, terutamanya ketika bersendirian.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved