Sabtu, 2 November 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Hati-hati perang saraf pembangkang - Khairy

Posted: 02 Nov 2013 01:52 AM PDT

YAN 2 Nov. - Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap para pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau tidak terpengaruh dengan perang saraf pihak pembangkang di saat akhir kempen pilihan raya kecil (PRK) DUN itu yang akan berakhir 12 tengah malam Ahad.

Beliau berkata, seperti kebiasaan dalam tempoh-tempoh akhir sebegini, pelbagai taktik dan hasutan akan digunakan pihak pembangkang, termasuk isu pengundi hantu yang tidak akan dapat dibuktikan mereka sehingga hari ini.

"Kalau kita tengok pada pilihan raya umum pun, macam-macam tuduhan yang dibuat oleh pembangkang yang tidak dapat dibuktikan. Mereka kata 40,000 pengundi asing dibawa masuk dari Sabah dan Sarawak dan tempat-tempat lain, tetapi sampai hari ini tak ada seorang pun pengundi asing dapat dibuktikan mereka di mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian peralatan barangan sukan di Sekolah Kebangsaan Dulang, dekat sini, Sabtu.

Mengulas tindakan Pas menampilkan Ustaz Azhar Idrus dalam program ceramah mereka esok, Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, pengundi perlu menilai apa yang disampaikan oleh penceramah bebas itu sebelum menerimanya bulat-bulat.

"Ceramah beliau ada selit dengan mesej politik, bila dah selitkan dengan mesej politik, dia sudah pasti berat sebelah. Dia bukan bagi ceramah agama tumpu kepada agama tetapi dia bagi ceramah politik yang berat sebelah," katanya.

Mengulas mengenai kempen jentera BN sehingga kini, Khairy berkata, kempen berjalan lancar dan aman tanpa sebarang gangguan dengan momentum jentera sejak kebelakangan ini turut meningkat dengan sokongan menggalakkan masyarakat setempat.

"Saya dapati sambutan setakat hari ini untuk program-program kita buat untuk orang muda begitu menggalakkan. Walaupun kita tak tahu siapa atau macam mana mereka akan mengundi pada hari Isnin ini, tetapi daripada sambutan dan kemesraan itu... memang menggalakkan," katanya.

Sebelum itu, Khairy turut menyertai golongan belia bermain sepak raga tuju sebelum bergerak ke Karnival Sepak Raga Tuju Pemuda BN di belakang Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Aik Ming di sini. - BERNAMA

Pelantikan Yong Kong bergantung perkenan Tunku Annuar - Mukhriz

Posted: 02 Nov 2013 01:47 AM PDT

JERLUN 2 Nov. - Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Dr. Leong Yong Kong sebagai Ahli Exco kerajaan negeri bergantung kepada perkenan pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, pelantikan bagi mengisi kuota yang diperuntukkan kepada MCA itu akan dibuat sebelum persidangan DUN pada 18 November ini, selepas diperkenankan.

Katanya, MCA dilaporkan meminta dua kerusi Exco tetapi belum membuat permohonan rasmi kecuali surat yang diserah sendiri presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang mencadangkan ADUN Kulim, Chua Thiong Gee turut dilantik sebagai Exco.

Mukhriz ditemui selepas menutup program 1 Komuniti 1 JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) (SKSJ) peringkat Parlimen Jerlun di Sekolah Menengah Megat Dewa di sini Sabtu.

Soi Lek dilaporkan akan melobi satu kerusi tambahan untuk wakilnya dilantik sebagai Exco menjadikan kuota parti itu dua kerana tiada wakil Gerakan memenangi kerusi DUN pada pilihan raya umum lepas.

Selepas dilantik sebagai Menteri Besar, Mukhriz melantik lapan daripada 10 Ahli Exco dengan mengosongkan dua kerusi yang secara tradisinya diperuntukkan masing-masing satu kepada MCA dan Gerakan.

Mengenai program SKSJ, beliau berkata, ia amat diperlukan oleh masyarakat Jerlun yang kadang-kadang menggunakan kenderaan untuk pelbagai urusan tanpa lesen.

"Dalam pada kita hendak kurangkan kemalangan, memandu tanpa lesen mengundang risiko. Program ini adalah untuk merakyatkan perkhidmatan kerajaan terus kepada rakyat," kata Mukhriz.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad dalam ucapan yang dibacakan timbalannya, Datuk Ariffin Che Mat berkata, program itu bermula 31 Julai dan berakhir 18 Oktober lepas melibatkan 243 peserta.

Katanya peserta khususnya warga emas hanya membuat bayaran minimum RM150 untuk mendapat lesen B2 berbanding RM261 melalui institut memandu.

Menurut Ismail, 462,423 orang terlibat dengan kemalangan jalan raya sepanjang tahun lepas iaitu peningkatan 13,383 orang atau tiga peratus berbanding 449,040 pada tahun 2011.

Katanya statistik polis menunjukkan kematian akibat kemalangan jalan raya meningkat 40 orang (enam peratus) daripada 6,877 pada 2011 kepada 6,917 orang tahun lepas. - BERNAMA

Pendidikan Ulul Albab dilaksana tahun depan - Idris Jusoh

Posted: 02 Nov 2013 01:44 AM PDT

KUALA TERENGGANU 2 Nov. - Program pendidikan Ulul Albab akan dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah secara berperingkat mulai tahun depan bagi melahirkan generasi yang seimbang dalam aspek duniawi dan ukhrawi.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program berkenaan yang diterapkan dalam kurikulum akan diubah suai mengikut program terkini yang ada mengikut kesesuaian, tempat dan juga apa yang telah ada di kementerian.

"Untuk memantapkan kurikulum pengajian Islam, seluruh sekolah terutama di sekolah menegah (harian) dan sekolah menengah agama kita akan mengenal pasti kurikulum Ulul Albab dilaksanakan sekurang-kurangnya satu sekolah di setiap negeri.

"Insya-Allah ia akan bermula pada tahun hadapan ataupun tahun selepasnya mengikut kemampuan sekolah masing-masing," katanya selepas merasmikan penutupan majlis Khatam al-Quran Perdana dan pertandingan Kalam Jama'ie peringkat kebangsaan di sini Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Idris berkata, kementerian akan memanjangkan program Khatam al-Quran yang merupakan tradisi ulama secara berterusan ke sekolah-sekolah melalui pelaksanaan program J-Qaf yang dilancarkan sejak 2005.

"Sejak itu, kita lihat perkembangan demi perkembangan pengajian Islam yang lebih mantap di sekolah-sekolah. Kali ini ditambah pula dengan Bahasa Arabnya melalui Arabic Chorus Speaking (pertuturan) dalam pertandingan Kalam Jama'ie yang telah dibuat buat kali kedua ini," katanya.

"Tradisi budaya khatam membaca al-Quran dan pembudayaan Bahasa Arab di sekolah-sekolah wajar diteruskan untuk memastikan pelajar mantap menguasai bidang berkenaan," katanya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved