Sabtu, 2 November 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Elakkan pembelian panik

Posted: 02 Nov 2013 10:48 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Shahiruddin Ab. Moin diiringi Pengarah Nirwana Group, Ng Chong Keong (kiri) melihat bawang yang diimport dari India semasa lawatan pemeriksaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2013 negeri Pahang di Nirwana Hypermarket di Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 2 Nov. - Kerajaan memberi jaminan semua barang keperluan asas akan dipastikan mencukupi bukan sahaja setiap kali tiba musim perayaan malah ketika musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, pengguna diingatkan supaya tidak panik sehingga ada yang bertindak menyimpan barang keperluan tertentu.

"Saya ingin maklumkan kepada pengguna bahawa kita beri jaminan bukan sahaja setiap kali musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina mahupun Deepavali tetapi pada musim tengkujuh dan banjir juga kita akan pastikan barang keperluan cukup.

"Jadi, jangan bimbang sehingga ada yang membuat pembelian panik kerana takut barang keperluan tidak mencukupi, kerajaan negeri melalui Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sentiasa memantau perkara ini," katanya ketika ditemui pemberita pada program lawatan pemeriksaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2013 negeri Pahang di Nirwana Hypermarket di sini kelmarin.

Sebanyak 14 jenis barang kawalan dikuatkuasakan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2013 bermula 28 Oktober lalu sehingga 6 November ini.

Antara 14 barang kawalan tersebut ialah ayam, daging kambing, telur ayam, tomato, bawang merah kecil, ubi kentang import dan kacang dal.

Beliau dalam pada itu meminta seluruh pengguna di negeri ini supaya melaporkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di setiap daerah jika mengesan sebarang salah laku peniaga.

MPK serius tangani gerai haram

Posted: 02 Nov 2013 10:48 AM PDT

KUANTAN 2 Nov. - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memandang serius operasi gerai haram di beberapa kawasan di daerah ini demi melindungi kepentingan pengguna khususnya dari aspek kebersihan.

Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, kewujudan gerai yang dibina tanpa kebenaran itu juga didapati menyumbang kepada penularan penyakit bawaan makanan selain mencacatkan pemandangan.

Menurutnya, walaupun telah diroboh, pemilik masih berdegil apabila dikesan mendirikan semula gerai di bahu jalan di beberapa kawasan seperti di Taman Tas, Sungai Isap dan Balok.

"MPK telah menjalankan operasi ke atas gerai haram baru-baru ini, tetapi bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, mereka ini berdegil dengan mendirikannya semula.

"Mereka perlu sedar cara yang mereka gunakan untuk mencari rezeki itu adalah salah kerana tidak boleh bina gerai di tapak yang tidak dibenarkan pihak berkuasa," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MPK di sini semalam.

Tambah Zulkifli, kewujudan gerai tanpa kebenaran tidak boleh diambil mudah masyarakat kerana pemiliknya tidak menitikberatkan soal kebersihan makanan yang dijual di bahu jalan yang berhabuk dan berdebu.

Katanya, terdapat juga pemilik gerai haram menggajikan pekerja asing dan pekerja berkenaan pula tidak menjalani ujian kesihatan termasuk mengambil suntikan tertentu seperti yang disyaratkan.

''Kita juga mendapati peniaga terlibat tidak mengendahkan soal kebersihan alam sekitar seperti membuang sisa makanan, sampah dan minyak yang telah digunakan ke dalam longkang berhampiran kawasan operasi gerai mereka.

''Masalah pembuangan sisa dan sampah ke dalam sistem saliran menyebabkan saliran tersumbat dan ini menyumbang kepada pembiakan nyamuk aedes,'' ujarnya.

MPK menurut Zulkifli, telah menyediakan banyak gerai dan tapak untuk disewakan kepada peniaga yang berminat namun sambutan terhadapnya dingin.

''Selain itu, perniagaan gerai makanan di dalam kawasan rumah juga banyak didirikan akhir-akhir ini dan turut tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

''Kami sedang melakukan pemantauan secara menyeluruh ketika ini dan dalam waktu terdekat ini, kami akan sekali lagi menggempur gerai-gerai haram ini termasuk perniagaan yang dijalankan dalam kawasan rumah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved