Sabtu, 2 November 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Perkasa buat 9 laporan polis

Posted: 02 Nov 2013 10:48 AM PDT

Oleh HELMI MOHD. FOAD
kota@utusan.com.my

ABU Bakar Yahya (lima dari kanan) bersama beberapa ahli Perkasa Selangor membawa sepanduk bagi mengutuk tindakan empat individu yang terlibat dalam klip video yang didakwa menghina keputusan mahkamah selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam, kelmarin.

SHAH ALAM 2 Nov. - Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor membuat sembilan laporan polis berhubung sebuah klip video di laman You Tube yang didakwa menghina keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald.

Sekumpulan anggota pertubuhan itu yang diketuai Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Balai Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini kira-kira pukul 3.45 petang semalam.

Klip video That Effing Show #95: Allah, Apa Lagi? berdurasi kira-kira enam minit itu memaparkan empat individu membincangkan mengenai keputusan berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkenaan dalam bentuk komedi.

Abu Bakar ketika ditemui berkata, pihaknya meminta pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam pembikinan dan penyiaran klip video tersebut.

"Kita melihat klip video tersebut seolah-olah menghina keputusan mahkamah berkenaan larangan penggunaan kalimah Allah selain menghina Perkasa.

"Perkara ini perlu diteliti bagi mengelak tercetus rasa tidak puas hati dan suasana tidak harmoni dalam negara yang aman ini," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Pada 21 Oktober lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan hanya merujuk kepada kes penggunaan kalimah Allah di dalam penerbitan The Herald sahaja, bukan secara umum diputuskan kepada kalimah Allah yang terkandung di dalam semua Bible.

Kesal ada penduduk bising hingga awal pagi

Posted: 02 Nov 2013 10:48 AM PDT

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Sebahagian besar penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin di Jinjang di sini, kesal atas sikap beberapa orang penduduk yang membuat bising dan aksi kurang menyenangkan sehingga awal pagi semalam.

Menurut seorang penduduk yang tidak mahu namanya didedahkan, mereka itu dipercayai mabuk dan memasang muzik sekuatnya seperti di disko di bawah khemah di blok A PPR tersebut sehingga menyebabkan penduduk terganggu dan tidak dapat tidur.

"Mereka hanya berhenti setelah kereta peronda polis datang kira-kira pukul 4 pagi. Kejadian sebegini boleh menjejaskan keharmonian penduduk di sini.

"Kita mohon agar pihak berkuasa seperti polis memastikan kejadian ini tidak berulang lagi," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, penduduk berkenaan yang sedang menyambut keraian tidak memikirkan langsung keselesaan jiran-jiran yang lain walaupun sudah awal pagi.

Sementara itu, seorang penduduk di situ berkata, letupan mercun dan bunga api turut kedengaran di seluruh blok PPR Beringin yang mempunyai enam blok tanpa tindakan daripada pihak berkuasa sehingga ke subuh.

Katanya lagi, beliau kecewa dengan tindakan lewat pihak polis walaupun anggota peronda bermotosikal kerap melakukan rondaan di kawasan perumahan itu.

"Saya berharap selepas ini, mereka lebih peka dengan penduduk yang lain agar ketenteraman dan keharmonian dapat terus dijaga," ujarnya.

Dia juga mencadangkan agar polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyenaraihitamkan penghuni yang bersikap melampau.

"Pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta mencontohi tindakan tegas pihak berkuasa Singapura dalam menjaga ketenteraman penduduk.

"Polis dan DBKL tidak wajar membenarkan acara sedemikian dilakukan di tempat terbuka. Saya hairan bagaimana mereka boleh diberikan kebenaran mengadakan acara itu sehingga awal pagi?" jelasnya.

Pelajar vokasional jalani latihan praktikal parah dilanggar MPV

Posted: 02 Nov 2013 10:48 AM PDT

SABAK BERNAM 2 Nov. - Seorang pelajar vokasional, Mohd. Saiful Hafiz Shahid, 16, yang sedang menjalani latihan praktikal parah setelah dilanggar oleh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di simpang empat Paket 60, Simpang Lima, Sungai Besar, Jalan Kuala Selangor-Teluk Intan di sini petang ini.

Menurut saksi, dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, mangsa yang dalam perjalanan ke pekan Simpang Lima, Sungai Besar dirempuh oleh kenderaan itu yang tiba-tiba membuat pusingan sebelum melanggar mangsa.

Kenderaan MPV tersebut dikatakan tidak berhenti walaupun cuba ditahan oleh orang awam di situ.

Mangsa yang patah kaki dibawa ke Hospital Tuanku Jamaah, Sabak Bernam dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supritendan Noor Mushar Muhammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan menyatakan pihaknya telah menerima laporan daripada pemandu MPV berkenaan.

Menurutnya, pemandu terbabit berasa takut dan terus meninggalkan tempat kejadian untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kemalangan menyebabkan kecederaan parah," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved