Rabu, 13 November 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Bangkai, najis tikus 'huni' dapur

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

KAKITANGAN Jabatan Kesihatan membuat pemeriksaan di sebuah restoran makanan laut di Bayan Lepas, kelmarin.

PULAU PINANG 12 Nov. - Para pelanggan yang sering mengunjungi sebuah restoran makanan laut di Bayan Lepas di sini berikutan hidangannya yang dikatakan lazat, mungkin akan berfikir dua kali untuk datang ke situ lagi jika mengetahui ada bangkai dan najis tikus serta lipas mati menjadi 'penghuni' di ruang dapurnya.

Keadaan menjijikkan itu dikesan oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri ketika melakukan pemeriksaan di beberapa premis makanan di sekitar Pulau Pinang lewat petang semalam.

Selain itu, keadaan dapur yang kotor, bahan mentah dan sayur-sayuran disimpan di dalam peti ais yang tidak sejuk serta longkang tersumbat turut dikesan dalam Op Seafood tersebut.

Pegawai Kesihatan Kanan Seberang Perai Selatan, Dr. K. Thiruloga berkata, kesalahan lain yang dilakukan ialah peralatan makanan tidak bersih, bahan makanan diletakkan di atas lantai serta bumbung ruang dapur yang berkarat serta reput.

"Ada restoran yang membiarkan bangkai tikus mereput dan najis haiwan itu di bahagian dapur tanpa dibersihkan selain kehadiran lipas.

"Beberapa pengendali makanan juga dikesan melanggar peraturan dan tidak mengamalkan sistem pengendalian yang bersih, tidak mendapat suntikan serta tidak menghadiri Latihan Pengendali Makanan," katanya di sini hari ini.

Jelasnya, terdapat segelintir peniaga enggan bekerjasama dengan pihaknya dengan tidak menandatangani kompaun serta membuat provokasi kepada pegawai jabatan.

Sebanyak 46 kompaun dikeluarkan ke atas 27 premis yang diperiksa kerana gagal mematuhi peraturan dengan 14 daripadanya diarahkan tutup untuk kerja pembersihan.

Tambah Thiruloga, jumlah kompaun yang dikenakan adalah RM6,580 selain tiga notis amaran dikeluarkan.

"Pihak jabatan boleh membuat laporan polis serta membuka kertas siasatan sekiranya pemilik premis enggan bekerjasama ketika pemeriksaan," ujarnya.

Pada masa sama, jelasnya, kehadiran anggota-anggota polis juga mampu membendung kegiatan tonto yang dilihat semakin berani melindungi peniaga.

MBI akan komersialkan produk inovasinya

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

IPOH 12 Nov. - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengkomersialkan hasil penyelidikan dan inovasi yang dijalankan oleh pihaknya ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Setiausaha MBI, Datuk Abdul Rahim Ariff berkata, langkah tersebut diambil bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memberi perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat melalui produk inovasi yang dihasilkannya.

Katanya, MBI juga sentiasa terbuka dan mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak yang berminat untuk membeli produk inovasi milik PBT itu.

''Kejayaan MBI dalam memenangi tiga anugerah inovasi baru-baru ini telah membuktikan kualiti perkhidmatan yang diberikan pihak majlis berada pada kelasnya yang tersendiri.

''Oleh itu, kita sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk syarikat swasta yang ingin membeli produk yang telah dihasilkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi MBI di Dewan Azlan Shah, Bangunan MBI di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, setakat ini produk inovasi yang telah dikenal pasti untuk dikomersialkan adalah pam hidrolik mudah alih yang dihasilkan oleh Jabatan Kejuruteraan MBI.

Katanya, produk yang diiktiraf sebagai johan Anugerah Inovasi Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan itu juga telah dipatenkan sebagai hak cipta MBI.

''Pam hidrolik mudah alih ini dicipta bagi memudahkan proses pembuangan sampah khususnya bagi lori-lori pengangkut sampah.

''Jika sebelum ini lori-lori sampah milik syarikat swasta sering menghadapi masalah di tapak pelupusan kerana sampah tersekat, namun dengan menggunakan alat baru ini ia dapat melicinkan proses pembuangan sampah tersebut," ujarnya.

Jalan mendap, keselamatan penduduk terancam

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

KULIM 12 Nov. - Lebih 1,200 penduduk di Kampung Seri Bongsu, Terap, Karangan dekat sini terpaksa berhadapan dengan bahaya kemalangan disebabkan masalah jalan mendap yang berlaku sejak hampir sebulan lalu.

Kerosakan jalan sepanjang hampir 10 meter itu tidak pernah dibaiki dan menjadi lebih serius dari semasa ke semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Ismail Osman, 54, berkata, kerosakan jalan itu berlaku selepas hujan turun dengan lebat setiap hari hampir sebulan lalu.

"Jalan ini merupakan laluan utama yang digunakan penduduk kampung setiap hari dan disebabkan tiada penyeliaan, kerosakannya semakin teruk dan membahayakan keselamatan pengguna," katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Ismail berkata, selepas berlaku mendapan tanah, penduduk kampung turut menghadapi masalah bekalan paip terputus akibat paip utama pecah.

"Bagaimanapun, masalah itu diatasi selepas Syarikat Bekalan Air Kedah Darulaman (Sada) membuat kerja-kerja pembaikan," katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Kulim Bandar Baharu tetapi belum ada tindakan susulan.

"Pihak JKR ada datang melawat lokasi tetapi hanya melakukan kerja-kerja memasang papan tanda amaran manakala kerja pembaikan tidak pula dilakukan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Chua Thiong Ghee ketika meninjau lokasi kejadian berharap JKR dapat bertindak segera membaiki kerosakan jalan tersebut.

"Kita memohon jasa baik JKR supaya mempercepatkan kerja-kerja baik pulih tebing jalan raya tersebut kerana bimbang akan berlaku kemalangan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya, jalan tersebut mudah rosak ekoran dilalui oleh banyak lori besar.

"Lebih membimbangkan, pemandu lori bukan sahaja membawa muatan lebih tetapi memandu dengan laju. Sehubungan itu, saya akan berbincang dengan pihak penguat kuasa bagi mengatasi masalah itu," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved