Rabu, 13 November 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


DBKL naik cukai selepas 21 tahun

Posted: 13 Nov 2013 10:13 AM PST

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menaikkan kadar cukai taksiran pintu mulai tahun depan bagi membolehkan badan itu menawarkan khidmat terbaik memandangkan sudah 21 tahun cukai tersebut tidak dinaikkan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagaimanapun memberi jaminan kadar kenaikan cukai tersebut jauh lebih rendah berbanding notis yang sudah diagihkan DBKL kepada penduduk demi mencapai situasi menang-menang.

Beliau seterusnya menyelar sikap pembangkang yang gemar memutarbelitkan fakta mengenai kenaikan kadar cukai tersebut demi membangkitkan kebencian rakyat, sedangkan hakikat sebenar DBKL sudah 21 tahun memberi kelonggaran kepada penduduk.

"Ini masalahnya. Segambut (Lim Lip Eng-DAP) jangan kelirukan Dewan. Tetapi masalahnya dengan pembangkang mereka suka mengelirukan Dewan dan mengelirukan rakyat. Notis mengenai perkara itu akan dikeluarkan untuk mendapat maklum balas daripada penduduk sebelum 17 Disember ini.

"DBKL tidak pernah menaikkan cukai taksiran selama 21 tahun. Saya nak beritahu, kita laksanakan ini disebabkan nilai hartanah di Kuala Lumpur sudah jauh meningkat," katanya ketika menggulung sesi perbahasan kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata, Barisan Nasional (BN) merupakan sebuah kerajaan yang adil dan tidak akan menaikkan kadar cukai pintu sehingga membebankan rakyat tetapi bersesuaian dengan kadar semasa nilai hartanah di ibu kota.

Mengenai tindakan pemimpin pembangkang yang membantah notis mahkamah agar sebahagian tempat ibadat Hindu yang tidak menepati ciri-ciri sebuah kuil di Jalan P. Ramlee, dirobohkan Tengku Adnan berkata, beliau tidak mahu mempolitikkan isu tersebut.

Bagaimanapun apabila V. Sivakumar (DAP-Batu Gajah) berterusan mempersoal tindakan DBKL dalam isu tersebut, beliau kemudian memberi penjelasan kepada bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak itu tentang takrifan kuil yang sebenar.

"Sebenarnya saya tidak mahu jawab tetapi apabila Batu Gajah bertanya, terpaksa saya jelaskan. Ada 74,000 tempat ibadat Hindu di seluruh negara. Sebanyak 34,000 saya boleh takrifkan sebagai kuil, itu pun masih ada tanya tanya, selebihnya hanya 'shrine' (tempat suci).

"Kuil ini kena ada sumber air, mesti ada dewan, tidak boleh wujud bayang apabila pukul 12 tengah hari dan mesti menghadap ke arah timur, tetapi sayangnya antara kita ada yang dakwa sayang agama tetapi tidak mendalami agama masing-masing," katanya.

158 tan sampah dikutip di Pasar Raja Bot

Posted: 13 Nov 2013 10:13 AM PST

BAHAGIAN bumbung turut dibersihkan oleh pekerja Alam Flora dalam operasi pembersihan Pasar Raja Bot, Kuala Lumpur yang dilaksanakan selama dua hari berakhir semalam.

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Sebanyak 158 tan sampah pukal dipungut oleh Alam Flora Sdn. Bhd. di Pasar Raja Bot dalam operasi pembersihan besar-besaran yang dilaksanakan selama dua hari, bermula semalam, bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengurus Kawasan Tengah Wilayah Persekutuan Alam Flora, Mohd. Idris Mohamed Yusof berkata, kebanyakan sampah adalah barangan tidak digunakan lagi oleh peniaga tetapi disimpan di gerai masing-masing.

"Operasi hari pertama semalam bermula pukul 7 pagi dan berakhir 6 petang semalam. Kira-kira 80 peratus kerja pembersihan telah dilaksanakan semalam dan hari ini kami menyambung semula kerja-kerja itu dan berakhir pukul 5 petang," katanya ketika ditemui di pasar itu.

Menurut beliau, selain mengutip sampah, pihaknya turut membersihkan sistem perparitan pasar itu.

"Kelengkapan jentera untuk pembersihan oleh Alam Flora telah berada pada kedudukan yang telah dirancang dan operasi pembersihan ini berjalan mengikut jangkaan," jelasnya.

Katanya, dengan kekuatan anggota seramai 300 orang dengan dibantu lebih daripada sepuluh buah jentera untuk operasi berkenaan, sampah pukal itu terus dihantar ke Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin, Jinjang di Kepong.

Berikutan operasi berkenaan, atas saranan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, pasar itu ditutup selama dua hari bermula semalam.

Selain untuk memastikan pasar itu lebih bersih, operasi itu juga dibuat untuk menghapuskan tikus dan habitatnya di bangunan berusia 55 tahun itu.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz turut mengumumkan pasar yang turut dikenali Pasar Chow Kit itu akan ditutup sehari setiap bulan bagi memberi ruang kepada kerja-kerja pembersihan secara berkala dilaksanakan.

"Pihak kami amat mengalu-alukan penutupan pasar ini sehari pada setiap bulan selepas ini oleh DBKL. Selain memudahkan kerja kami, akan juga membolehkan pembersihan dibuat secara menyeluruh dalam usaha menjaga kebersihan pasar ini," ujar Mohd. Idris.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, keadaan pasar itu kelihatan bersih dan sebahagian jalan di situ juga telah diturap selain sistem perparitan juga sedang dibaiki oleh pihak DBKL.

Aliran air dalam longkang juga kembali lancar selepas dibersihkan kerana sebelum ini sering tersumbat. Dapat dilihat juga peniaga sedang sibuk membersihkan dan membaiki struktur gerai masing-masing.

Seorang peniaga buah-buahan, Mohd. Nor Shahwal, 33, berkata, dia menyambut baik penutupan pasar berkenaan demi kebaikan mereka dan pelanggan khususnya berkaitan aspek kebersihan serta kesihatan.

"Saya sendiri telah bersedia dengan penutupan ini untuk membersihkan sendiri premis. Kami tidak mahu pelancong melihat keadaan pasar ini yang kotor dan dipenuhi tikus," katanya.

Seorang lagi peniaga, Abdul Karim Mohamad, 39, pula berkata, dia akur dengan arahan penutupan tersebut dan bersedia memberi kerjasama terhadap pihak DBKL dan Alam Flora.

"Tidak boleh dinafikan pasar ini memang menjadi habitat tikus sejak dahulu lagi. Walaupun pasar ini banyak kali terlibat dengan aktiviti gotong-royong namun masalah masih berulang kerana tiada kesedaran sivik mengenai kebersihan dalam kalangan segelintir pihak," ujarnya.

7,391 tikus ditangkap di Pasar Raja Bot

Posted: 13 Nov 2013 10:13 AM PST

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Kempen pembasmian tikus yang dilaksanakan Dewan Bandar Kuala Lumpur (DBKL) khususnya di Pasar Raja Bot di Jalan Chow Kit dilihat dapat mengurangkan pembiakan haiwan itu dengan penangkapan 7,391 ekor tikus sejak Januari lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr. Hayati Abdullah berkata, pihaknya melakukan pelbagai cara untuk menangkap tikus termasuk memasang perangkap, menabur racun tikus dan menempatkan papan bergam di sekitar kawasan pasar.

"Sebanyak 1,168 buah perangkap, 223 kilogram racun tikus dan 12 papan bergam diletakkan di sekitar pasar. DBKL juga membuat kawalan makhluk perosak di pasar itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, usaha memerangi tikus turut dilakukan semasa operasi pembersihan Pasar Raja Bot yang bermula semalam.

Operasi dua hari itu dilakukan bersama anggota DBKL, Alam Flora Sdn. Bhd. dan para peniaga.

Dr. Hayati berkata, operasi hari ini menumpu kepada kerja-kerja pembersihan oleh Alam Flora dan membaiki jalan oleh DBKL.

Sementara itu tinjauan Bernama mendapati ramai yang masih mengunjungi pasar itu yang dibina pada 1955, tanpa menyedari ia ditutup dua hari bagi operasi pembersihan itu. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved