Rabu, 13 November 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Ringkas tapi mewah

Posted: 12 Nov 2013 09:34 PM PST

SYOMIR Izwa (kanan) menekuni dunia rekaan fesyen sejak tahun 2002.

Dia memberanikan diri menghasilkan pakaian pengantin untuk kawan-kawan dan bermula tahun 2002, Syomir meletakkan dirinya sebagai pereka fesyen yang bergerak sendiri hingga tahun 2009.

"Ketika itu jenama-jenama terkenal antarabangsa belum banyak di pasaran. Kebanyakan golongan yang berada mencari baju eksklusif untuk menghadiri majlis makan malam di luar negara. Namun tidak semua mampu berbuat begitu. Maka ketika itu saya hadir menawarkan perkhidmatan.

"Daripada baju tunang, baju kahwin, baju rasmi hingga ke majlis eksklusif, orang mula mengenali Syomir Izwa. Pelanggan saya tahu identiti setiap rekaan saya iaitu ringkas tapi nampak mewah," cerita Syomir yang ditemui di premis perniagaannya di 89, Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur.

Setelah menyertai pertunjukkan fesyen pertama pada Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia 2009 anjuran Pertubuhan Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFA), Syomir bertambah yakin lebih-lebih lagi apabila rakan niaganya, Ena Sommers turut memberi galakan untuk menyertai pelbagai acara minggu fesyen dalam dan luar negara.

"Nama Syomir Izwa makin dikenali selepas penyanyi Yuna menggunakan busana rekaan saya untuk anugerah Shout 2010. Serentak dengan itu trend tudung satin rekaan saya untuk Yuna juga mula popular.

"Yuna juga suka dengan rekaan saya dan turut menggunakan busana Syomir Izwa pada persembahan di Istana Budaya.

"Sebenarnya, bukan Yuna sahaja, malah beberapa selebriti lain seperti Datuk Sheila Majid juga memilih rekaan saya ketika membuat persembahan di Dewan Filharmonik. Semua ini secara tidak langsung membakar semangat saya untuk menghasilkan rekaan-rekaan yang menarik," imbas Syomir yang merupakan jejaka kelahiran Ipoh, Perak.

Kerjasama

Pada tahun ini, Syomir Izwa berkolaborasi dengan Zawara, label fesyen Muslimah, dengan menghasilkan lima rekaan unik. Ini diikuti dengan penghasilan koleksi pakaian untuk mereka bertubuh besar menerusi Syomir Izwa Loves SuriSara.

Kedua-dua kolaborasi itu menurut Syomir, umpama hadiah untuk peminatnya.

"Respon yang diterima sangat menggalakkan, walaupun rekaan hanya ada lima untuk setiap jenama. Ia tetap menjadi pilihan peminat fesyen.

"Saya memang berhasrat Syomir Izwa menjadi satu jenama mewah yang sebaris dengan nama pereka fesyen terkenal di luar," katanya.

Halal di udara

Posted: 12 Nov 2013 09:34 PM PST

MENJEJAKI negara matahari terbit, Jepun, adalah suatu peluang yang mengujakan namun bagi kalangan pelancong Muslim aspek 'makanan halal' tidak dapat lari daripada menjadi persoalan utama.

MENJEJAKI negara matahari terbit, Jepun, adalah suatu peluang yang mengujakan namun bagi kalangan pelancong Muslim aspek 'makanan halal' tidak dapat lari daripada menjadi persoalan utama.

Kebimbangan ini tercetus berikutan hasil daripada reaksi kebanyakan mereka yang melancong, belajar mahupun bekerja di sana mengakui akan kesukaran mendapatkan makanan halal di negara yang terkenal dengan komik Manga.

Perkara ini tidak dipandang ringan kerana bagi seseorang yang beragama Islam amat penting untuk memastikan setiap makanan dan minuman diambil adalah daripada sumber halal dan disediakan mengikut cara ditetapkan syarak.

Biarpun ia sekadar roti, mahupun mee, namun ruang lingkup 'halal' itu adalah luas kerana ada kemungkinan makanan tersebut dicampuri dengan bahan terlarang dalam agama Islam seperti alkohol dan daging babi dalam penyediaannya.

Justeru, apabila diberitahu oleh Naib Presiden Komersial-Produk, Malaysia Airlines (MAS), Iskandar Ezzahuddin Ahmad Zulkiflee bahawa MAS bekerjasama dengan penyaji utama dari negara itu untuk penyediaan makanan dalam pesawat untuk laluan timur, yang sebelum ini menimbulkan keraguan akan status kehalalan makanan berkenaan.

"Penyediaan makanan dalam penerbangan MAS, akan disediakan oleh Brahim's Airline Catering Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur dan syarikat penyediaan makanan lain di setiap destinasi penerbangan MAS," jelasnya kepada Bernama.

Sekadar pengetahuan, syarikat penerbangan nasional ini menjalinkan kerjasama dengan TFK Corporation (menyediakan dan membekalkan makanan dalam penerbangan) di Narita, Jepun selama 12 tahun.

Bagi tujuan ini, kolaborasi hanya berlangsung sebaik sahaja penyaji utama di Narita berjaya memperoleh sijil halal selepas diambil kira menepati akan piawaian-piawaian ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Namun demikian, timbul kebimbangan sama ada prosedur halal yang diperoleh itu diikuti sebaiknya apatah lagi apabila dimaklumkan bahawa kesemua pekerja TFK Corporation adalah bukan Islam.

Ia menjadi persoalan akan kemungkinan berlakunya penyalahgunaan 'sijil halal', namun melihat sendiri pengoperasiannya di TFK Corporation semasa mengikuti Media Familiarisation Trip dengan MAS di Narita, Jepun, menjawab keraguan berkenaan.

Sekiranya ada yang mengandaikan bahawa penyediaan makanan halal untuk penerbangan MAS disediakan di ruang sama dengan zon tidak halal dan hanya dibezakan oleh penggunaan kuali berlainan, anda silap.

Salah faham ini mungkin timbul berikutan penyaji makanan itu tidak hanya menyediakan dan membekalkan makanan kepada MAS tetapi juga kepada syarikat-syarikat penerbangan lain.

Walaupun demikian, kepatuhan mengikuti prosedur halal yang ditetapkan dalam pengoperasiannya adalah jelas apabila melihat sendiri dapur TFK Corporation yang mengasingkan ruang penyediaan makanan halal dan tidak halal.

Bagi pembekalan makanan syarikat penerbangan MAS, terdapat dapur khusus untuk tujuan itu yang mana di pintu masuknya terdapat label 'halal' yang terpampang secara terangan menggunakan huruf Roman.

Istimewanya juga, setiap perkakas masakan yang ada di situ seperti kuali, senduk, garpu mahupun sudu telah ditanda dengan pelekat berwarna bermaksud 'hanya untuk penyediaan makanan halal' biarpun komposisi penyimpanannya sudah khusus di dapur berkenaan.

"Sangat tersusun, rapi dan mengikut piawaian-piawaian yang ditetapkan. Semua peralatan masakan yang ada di dapur halal ini tidak akan dikongsi dengan penyediaan masakan tidak halal. Malahan, perkakas ini juga tidak akan dibenar langsung untuk dibawa keluar dari situ.

"Chiller (tempat penyimpanan makanan siap secara selamat) juga hanya untuk halal sahaja dan tidak dicampur," kata Executive Sous Chef MAS, Chef Abdul Razak Rejab.

Beliau yang berkhidmat dengan MAS sejak 2008, bertanggungjawab untuk pemilihan menu bagi laluan Jepun dan terlibat dalam pemantauan prosedur halal, TFK Corporation.

Bahan halal

Selain itu, penggunaan seperti sos, minyak masak, kicap dan bahan perasa diambil perhatian berikutan ada antaranya mengandungi bahan terlarang seperti lemak babi dan alkohol.

Abdul Razak berkata MAS amat memberi penekanan berhubung penyediaan makanan halal mengikut garis prosedur ditetapkan Jakim kerana ada kemungkinan besar bahan itu juga boleh diragui tahap halalnya.

"Dalam mengekalkan kesegaran menu, kerjasama dijalinkan dengan katerer penerbangan di sesebuah negara termasuk di Jepun. Bagi saya, bukan sukar untuk mendapatkan barang halal di sini hanya ia agak terhad.

"Macam sos soya boleh dapat tetapi kita (MAS) lebih tegas kerana ada kemungkinan ia dicampuri dengan bahan terlarang dalam agama Islam," katanya.

Ini kerana, terdapat sesetengah syarikat penerbangan menawarkan makanan yang bukan diperbuat daripada daging babi, tetapi itu tidak bererti ia halal.

Dalam mendapatkan persijilan halal, aspek pemerhatiannya begitu meluas dan tidak hanya merangkumi proses penyediaan, penghantaran, penyimpanan akan tetapi turut menyentuh mengenai kebersihan dan keselamatan.

Atau dalam kata ringkasnya ia merujuk kepada konsep halalan thoyyiban yang mana sumber makanan itu adalah halal dan diproses dalam keadaan bersih dan selamat dimakan.

Pengaplikasian konsep ini di dapur halal TFK Corporation bermula sebaik melangkah masuk ke bahagian berkenaan apabila setiap seorang perlu mengenakan kot makmal manakala kasut pula disarung dengan plastik berwarna biru.

Kebersihan mereka yang keluar masuk tidak terkecuali kepada rombongan media ke dapur berkenaan dan ini meliputi penggunaan hand sanitizer disusuli dengan pembasuhan tangan dan melalui satu mesin yang bertindak seperti 'vakum'.

Ini penting, kerana tidak mahu setiap individu yang keluar masuk membawa bakteria atau kotoran luar apabila memasuki ruang masak berkenaan.

Tidak terkecuali, kekemasan dan sistem sanitasi di dapur ini juga amat bersih, bahan-bahan masakan tidak berterabur manakala sayur-sayuran dibersihkan satu persatu walaupun dalam kuantiti yang banyak.

Dalam kata mudah, melihat komitmen para petugasnya melaksanakan tanggungjawab membuktikan kebenaran bahawa orang Jepun sememangnya terkenal dengan gaya hidup penuh berdisiplin. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved