Rabu, 13 November 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Melaka iktiraf sumbangan OKU

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 12 Nov. - Kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini bagi memastikan hak dan penyertaan mereka disamaratakan dalam pembangunan masyarakat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (gambar) berkata, pelbagai inisiatif akan terus dilaksana dalam memastikan golongan ini terus diiktiraf.

"Ini termasuklah mengiktiraf kepentingan kebolehaksesan OKU kepada persekitaran fizikal, sosial, ekonomi dan kebudayaan bagi membolehkan penyertaan penuh mereka dalam masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Pelancaran Abilympics Melaka di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Roslan Ahmad.

Yang hadir sama, Pengerusi Majlis Pemulihan Malaysia (MCR), Datin Paduka Katijah Suleiman dan Penolong Pengarah Kanan Unit Pembangunan OKU negeri, Ismail Baharom.

Jelas Idris, melalui Akta OKU 2008, golongan tersebut berpeluang membangun dan menggunakan potensi kreatif, artistik dan intelek mereka bukan hanya demi kepentingan diri malah untuk memperkayakan masyarakat.

Sementara itu, katanya, Abylimpics atau Olimpik bagi OKU merupakan pentas bagi golongan berkenaan untuk membuktikan kemahiran mereka kepada masyarakat.

"Program Abilympics ini adalah bukti jelas golongan OKU tidak diketepikan selain sentiasa mendapat sokongan berterusan.

"Jadi, saya menyokong penuh usaha murni bagi membantu golongan tersebut agar mereka dapat disosialisasikan dengan baik dalam kelompok masyarakat amnya," ujarnya.

Tambah beliau, program berkenaan diharap turut dapat menarik pihak luar, badan korporat, swasta dan individu untuk bersama-sama menunjukkan komitmen membantu OKU selaras aspirasi kerajaan negeri.

Kompleks KDN retak: 300 kakitangan diarah kosongkan bangunan

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

SEBAHAGIAN daripada 300 kakitangan dan orang ramai gempar dan bergegas keluar dari Kompleks Kementerian Dalam Negeri Ayer Keroh, Melaka berikutan keretakan di bangunan berkenaan semalam.

MELAKA 12 Nov. - Kira-kira 300 kakitangan dan orang ramai yang berada di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Ayer Keroh di sini cemas setelah diarah mengosongkan bangunan itu berikutan berlaku keretakan.

Dalam kejadian pukul 3 petang itu, semua yang berada di bangunan tersebut berpusu-pusu keluar memenuhi tempat lapang di kawasan tersebut setelah berlaku rekahan lantai dan beberapa keretakan kecil pada struktur bangunan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supritendan Muhammad Koey Abdullah berkata, kejadian berlaku apabila sebahagian lantai jubin di bilik jamuan tingkat empat bangunan tersebut tiba-tiba tercabut dan pecah.

Menurut beliau, kejadian itu disaksikan kira-kira 20 orang yang sedang menjamu selera di tempat itu sebelum dimaklumkan kepada pihak yang berkenaan.

"Bagi menjamin keselamatan, satu proses pemindahan orang ramai dilakukan dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat serta JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) negeri di bangunan itu," katanya ketika ditemui di kompleks tersebut hari ini.

Yang turut berada di lokasi itu, Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail; Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Sohaimi Mohamed dan Juru Ukur Bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Kristy Gilbert.

Bangunan empat tingkat yang dirasmikan pada tahun 2007 itu menempatkan beberapa jabatan kerajaan termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Melaka, Bahagian Kawalan Filem Negeri Sembilan/Melaka, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Muhammad Koey berkata, sejurus selepas pemindahan itu, satu mesyuarat melibatkan ketua-ketua jabatan di bangunan tersebut diadakan dan atas nasihat pakar, mereka bersetuju bahawa tiada kerosakan struktur besar berlaku pada bangunan tersebut.

"Pemeriksaan yang telah dijalankan di setiap bahagian bangunan ini hanya mendapati terdapat keretakan kecil sahaja dan pemeriksaan daripada pakar forensik turut akan dijalankan bagi memastikan bangunan ini benar-benar selamat.

"JKR juga telah membuat penandaan keretakan pada dinding untuk melihat pergerakan retakan tersebut dan jika masih berlaku, tindakan susulan akan dilakukan," ujarnya.

Katanya, hasil mesyuarat itu turut memutuskan bahawa kompleks ini akan beroperasi seperti biasa kepada orang ramai esok.

Aplikasi permainan moden ancam permainan tradisional

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

SEREMBAN 12 Nov. - Lambakan aplikasi permainan yang boleh diakses dari peralatan teknologi terkini secara meluas menyebabkan masyarakat terutamanya generasi muda kian melupakan permainan tradisional.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Abd. Razak Ab. Said berkata, keadaan itu menyebabkan permainan tradisional pupus sedikit demi sedikit.

''Sekiranya ia hilang adalah amat sukar untuk dicari ganti dan kalau ditukar dengan yang baharu sekalipun, tidak akan sama auranya dengan yang dahulu. Jadi kita harus memelihara dan mengekalkan warisan dan budaya ini.

''Permainan tradisional ini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh ibu bapa dan nenek moyang kita sewaktu zaman kanak-kanak dahulu. Bukan semata-mata mengisi masa lapang tetapi juga satu kaedah pembelajaran, mengasah minda dan belajar menjadi ketua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Festival Permainan Tradisional Negeri Sembilan di pekarangan Muzium Negeri di sini hari ini.

Pihaknya berhasrat untuk membina kompleks khas permainan tradisional agar program dan aktiviti yang berkaitan dengannya dapat dijalankan sepanjang masa terutama kepada para pelajar dan golongan belia.

Dalam masa sama, Abd. Razak berkata, pihaknya menyarankan agar kajian mengenai permainan tradisional didokumentasi dalam bentuk penerbitan buku dan video secara terperinci agar menjadi rujukan pada masa depan dan tidak dilenyapkan oleh arus kemajuan.

Antara permainan tradisional diketengahkan dalam festival berkenaan adalah congkak, dam aji gergasi, boling kelapa, sepak raga ratus, musang berjanggut, galah panjang dan pecah belon.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved